Legal

Your Hardware Warranty

Waranti Terhad Apple Selama Satu (1) Tahun – iOS
Bagi Produk Berjenama Apple Sahaja

KAITAN ANTARA UNDANG-UNDANG PENGGUNA DENGAN WARANTI INI

Bagi pengguna di Australia: Hak-hak yang dinyatakan di dalam waranti ini ialah tambahan pada hak-hak statutori yang mungkin layak anda terima menurut Akta Persaingan Dan Pengguna 2010 dan undang-undang dan peraturan perlindungan pengguna Australia lain yang dikenakan. Barangan kami diiringi jaminan yang tidak boleh dikecualikan menurut Undang-undang Pengguna Australia. Anda berhak mendapat barangan ganti atau bayaran balik jika berlaku kegagalan yang besar dan anda berhak menerima pampasan jika berlaku kerugian atau kerosakan lain yang terduga secara munasabahnya. Anda juga berhak meminta barangan itu dibaiki atau digantikan jika barangan tersebut tidak boleh terima kualitinya dan kegagalan yang berlaku itu bukan suatu kegagalan yang besar. Pembaikan barangan itu mungkin menyebabkan kehilangan data. Barangan yang diserahkan untuk dibaiki mungkin tidak dibaiki tetapi digantikan dengan barangan lain yang sama jenisnya yang telah dibaiki. Bahagian yang telah dibaiki mungkin akan digunakan untuk membaiki barangan tersebut.

WARANTI INI MEMBERI ANDA HAK UNDANG-UNDANG YANG SPESIFIK, DAN ANDA MUNGKIN JUGA MEMPUNYAI HAK-HAK LAIN YANG BERBEZA MENGIKUT NEGERI (ATAU MENGIKUT NEGARA ATAU WILAYAH). KECUALI DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG, APPLE TIDAK MENGECUALIKAN, MENGEHADKAN ATAU MENGGANTUNG HAK-HAK LAIN YANG MUNGKIN ADA PADA ANDA, TERMASUK HAK-HAK YANG MUNGKIN TIMBUL DARIPADA KETIDAKPATUHAN SESUATU KONTRAK JUALAN. UNTUK MEMAHAMI SEPENUHNYA HAK-HAK ANDA, ANDA HARUSLAH MERUJUK KEPADA UNDANG-UNDANG NEGARA, WILAYAH ATAU NEGERI ANDA.

BATASAN WARANTI MENURUT UNDANG-UNDANG PENGGUNA

SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG, WARANTI INI DAN REMEDI-REMEDI YANG DINYATAKAN ADALAH EKSKLUSIF DAN MENGGANTIKAN SEMUA WARANTI, REMEDI DAN SYARAT LAIN, SAMA ADA SECARA LISAN, BERTULIS, STATUTORI, NYATA ATAUPUN TERSIRAT. APPLE MENAFIKAN KESEMUA WARANTI STATUTORI DAN TERSIRAT, YANG MERANGKUMI TETAPI TIDAK TERBATAS KEPADA WARANTI TENTANG KEBOLEHDAGANGAN DAN KESESUAIAN BAGI SESUATU TUJUAN YANG TERTENTU DAN WARANTI TERHADAP KECACATAN YANG TERSEMBUNYI ATAU TERPENDAM, SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG. JIKA WARANTI SEDEMIKIAN TIDAK DAPAT DINAFIKAN, APPLE MENGEHADKAN JANGKA MASA DAN REMEDI WARANTI TERSEBUT KEPADA JANGKA MASA WARANTI NYATA INI, DAN ATAS PILIHAN APPLE, KHIDMAT PEMBAIKAN ATAU PENGGANTIAN YANG DITERANGKAN DI BAWAH INI. BEBERAPA NEGERI (NEGARA DAN WILAYAH) TIDAK MEMBENARKAN PEMBATASAN TEMPOH MASA WARANTI TERSIRAT (ATAU SYARAT), OLEH YANG DEMIKIAN, PEMBATASAN YANG DINYATAKAN TADI MUNGKIN TIDAK BERKENAAN DENGAN ANDA.

APAKAH YANG DILINDUNGI OLEH WARANTI INI?

Apple menjamin bahawa Produk perkakasan iPhone, iPad atau iPod berjenama Apple dan aksesori-aksesori yang terkandung di dalam bungkusannya yang asal (“Produk Apple”) tidak cacat dari segi bahannya dan mutu pembuatannya apabila digunakan secara normal selaras dengan garis panduan Apple yang diterbitkan selama tempoh SATU (1) TAHUN dari tarikh pembeliannya yang asal oleh pembeli yang juga pengguna akhir (“Tempoh Waranti”). Garis panduan Apple yang diterbitkan merangkumi tetapi tidak terbatas kepada maklumat yang terkandung di dalam spesifikasi teknikal, manual pengguna dan komunikasi perkhidmatan.

Harap maklum: Semua tuntutan yang dibuat menurut Waranti Terhad Apple Selama Satu Tahun ini tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam dokumen waranti ini.

APAKAH YANG TIDAK DILINDUNGI OLEH WARANTI INI?

Waranti ini tidak meliputi mana-mana Produk Apple perkakasan yang tidak berjenama Apple atau mana-mana perisian, sungguhpun dibungkus ataupun dijual bersama-sama dengan perkakasan Apple. Pengilang, pembekal, atau penerbit selain Apple mungkin akan memberikan waranti mereka sendiri kepada anda. Hubungilah mereka untuk mendapatkan maklumat selanjutnya. Perisian yang diedarkan oleh Apple, sama ada yang berjenama Apple ataupun tidak (yang merangkumi tetapi tidak terbatas kepada perisian sistem) tidak dilindungi oleh Waranti ini. Rujuklah perjanjian pelesenan yang disertakan dengan perisian yang berkenaan untuk mengetahui butir-butir hak anda berhubung dengan penggunaannya.

Apple tidak menjamin bahawa pengendalian Produk Apple ini tidak akan terganggu atau tidak mengandungi ralat. Apple tidak bertanggungjawab terhadap kerosakan yang timbul akibat tidak mengikuti arahan yang berhubung dengan penggunaan Produk Apple ini.

Waranti ini tidak merangkumi: (a) bahagian-bahagian guna habis, seperti bateri atau salutan pelindung yang memang akan menyusut selepas beberapa lama melainkan kegagalan berlaku akibat kecacatan pada bahan atau mutu pembuatan; (b) kerosakan kosmetik, yang merangkumi tetapi tidak terbatas kepada kesan calar, kemik dan bahagian plastik yang pecah pada portnya; (c) kerosakan akibat penggunaannya bersama-sama dengan produk lain; (d) kerosakan akibat kemalangan, kekasaran, salah guna, terkena cecair, kebakaran, gempa bumi atau sebab-sebab luaran yang lain; (e) kerosakan akibat cara penggunaan Produk Apple yang tidak mengikuti garis panduan Apple yang diterbitkan; (f) kerosakan akibat servis (termasuklah peningkatan taraf dan perluasan) yang dilakukan oleh sesiapa yang bukan wakil Apple atau yang bukan Penyedia Perkhidmatan Yang Diluluskan Oleh Apple (“AASP”); (g) Produk Apple yang telah diubahsuaikan untuk mengubah fungsinya atau kemampuannya tanpa kebenaran bertulis daripada Apple; (h) kecacatan berupa haus dan lusuh disebabkan penggunaan biasa atau disebabkan peningkatan hayat Produk Apple dengan peredaran masa; atau (i) keadaan nombor siri dibuang atau dirosakkan pada Produk Apple tersebut.

BATASAN PENTING BAGI PERKHIDMATAN iPHONE DAN iPAD

Apple boleh membatasi servis waranti bagi iPhone dan iPad kepada negara tempat Apple ataupun Pengedarnya Yang Diluluskan menjual alat tersebut.

TANGGUNGJAWAB ANDA

ANDA PATUT MEMBUAT SALINAN SANDARAN SECARA BERKALA BAGI MAKLUMAT YANG TERKANDUNG DI DALAM MEDIUM SIMPANAN PRODUK APPLE INI UNTUK MELINDUNGI KANDUNGANNYA DAN SEBAGAI LANGKAH BERJAGA-JAGA TERHADAP KEMUNGKINAN BERLAKUNYA KEGAGALAN KENDALIANNYA.

Sebelum mendapatkan servis waranti, Apple ataupun ejen-ejennya mungkin memerlukan anda mengemukakan butir-butir bukti pembelian, menjawab soalan-soalan yang disusun dengan tujuan membantu dalam mengenal pasti isu-isu yang mungkin timbul dan mengikuti prosedur Apple sebelum mendapatkan servis waranti. Sebelum menghantar Produk Apple anda untuk diberi servis waranti, anda perlu menyimpan salinan sandaran kandungan medium simpanannya secara berasingan, mengeluarkan semua maklumat peribadi yang ingin anda lindungi dan melumpuhkan semua kata laluan keselamatan.

SEMASA SERVIS WARANTI DILAKUKAN, KANDUNGAN MEDIUM PENYIMPANANNYA AKAN DIPADAMKAN DAN DIFORMATKAN SEMULA. APPLE DAN EJEN-EJENNYA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP KEHILANGAN PROGRAM PERISIAN, DATA ATAU MAKLUMAT LAIN YANG TERKANDUNG DI DALAM MEDIUM PENYIMPANANNYA ATAU PADA MANA-MANA BAHAGIAN LAIN PRODUK APPLE ITU YANG DISERVIS.

Selepas menjalani servis waranti, Produk Apple anda atau alat gantiannya akan diberikan kepada anda dengan konfigurasi Produk Apple itu seperti semasa mula-mula dibeli, tertakluk kepada kemas kini yang ada. Apple boleh memasang perisian sistem yang terkini sebagai sebahagian daripada servis waranti itu untuk menghalang Produk Apple tersebut kembali kepada versi perisian sistem yang lebih awal. Aplikasi pihak ketiga yang dipasang pada Produk Apple itu mungkin tidak serasi atau tidak boleh digunakan dengan Produk Appleitu disebabkan kemas kini perisian sistem tersebut. Anda bertanggungjawab memasang semula semua program perisian yang lain, dan memasukkan data dan maklumat. Pemulihan dan pemasangan semula semua program perisian yang lain, data dan maklumat tidak diliputi oleh Waranti ini.

Penting: Jangan buka Produk Apple ini. Membuka Produk Apple ini boleh menyebabkan kerosakan yang tidak diliputi oleh Waranti ini. Hanya Apple atau AASP boleh melakukan servis pada Produk Apple ini.

APAKAH YANG AKAN DILAKUKAN OLEH APPLE SEKIRANYA SYARAT-SYARAT WARANTI DILANGGAR?

Sekiranya dalam Tempoh Waranti anda menyerahkan tuntutan yang sah kepada Apple ataupun kepada mana-mana AASP, Apple akan, atas pilihannya, (i) membaiki Produk Apple itu dengan menggunakan bahagian-bahagian yang baru ataupun yang terpakai yang setaraf dengan yang baru dari segi prestasi dan kebolehpercayaan, (ii) menggantikan Produk Apple dengan alat yang sekurang-kurangnya setaraf fungsinya dengan Produk Apple tadi dan diperbuat daripada bahagian yang baru dan/atau yang terpakai yang setaraf dengan yang baru dari segi prestasi dan kebolehpercayaan, atau (iii) menggantikan Produk Apple itu dengan bayaran balik harga beliannya.

Apple mungkin akan meminta anda menggantikan bahagian atau Produk Apple tertentu yang boleh dipasang sendiri oleh pengguna. Bahagian atau Produk Apple ganti, termasuk bahagian yang boleh dipasang sendiri oleh pengguna, yang telah dipasang mengikut arahan yang diberikan oleh Apple, akan dilindungi sepanjang tempoh Waranti yang tinggal, ataupun selama sembilan puluh (90) hari dari tarikh penggantian atau pembaikan, bergantung pada tempoh yang memberi anda perlindungan yang lebih lama. Apabila sesuatu Produk Apple atau bahagian digantikan, atau apabila bayaran balik diberikan, barang ganti yang berkenaan menjadi milik anda dan barang yang digantikan ataupun yang dibayar balik menjadi milik Apple.

BAGAIMANA CARA MENDAPATKAN SERVIS WARANTI?

Sila dapatkan dan baca sumber bantuan dalam talian yang dinyatakan di bawah ini sebelum memohon servis waranti. Sekiranya Produk Apple anda masih tidak berfungsi dengan betul selepas menggunakan sumber ini, hubungilah wakil Apple, atau jika berkenaan, hubungilah mana-mana kedai milik Apple (“Kedai Apple”) atau mana-mana AASP, menggunakan maklumat yang diberikan di bawah ini. Wakil Apple atau AASP itu akan membantu menentukan sama ada Produk Apple anda itu memerlukan servis, dan sekiranya diperlukan, akan memaklumkan kepada anda cara Apple akan melakukannya. Apabila menghubungi Apple melalui telefon, caj-caj lain mungkin akan dikenakan bergantung pada lokasi anda.

Maklumat dalam talian yang mengandungi butir-butir tentang cara mendapatkan servis waranti diberikan di bawah ini.

PILIHAN SERVIS WARANTI

Apple akan melakukan servis waranti dengan satu atau beberapa cara yang berikut:

(i) Datang sendiri. Anda boleh memulangkan Produk Apple anda ke lokasi Kedai Apple atau AASP yang menawarkan khidmat melayan pelanggan yang datang sendiri. Servis akan dilakukan di lokasi tersebut, atau Kedai Apple atau AASP itu mungkin akan menghantar Produk Apple anda ke lokasi Servis Pembaikan Apple (“ARS”) untuk diservis. Setelah anda dimaklumkan bahawa servis selesai dilakukan, anda hendaklah segera mengambil balik Produk Apple itu dari lokasi Kedai Apple atau AASP tersebut, ataupun Produk Apple anda akan dihantar terus ke lokasi anda dari lokasi ARS tersebut.

(ii) Pos. Sekiranya Apple menentukan bahawa Produk Apple anda layak diberi servis secara pos, Apple akan menghantar kepada anda surat angkutan prabayar dan jika perlu, bahan pembungkusan, supaya anda boleh menghantar Produk Apple anda ke suatu lokasi ARS atau AASP mengikut arahan Apple. Setelah selesainya servis, lokasi ARS atau AASP itu akan mengembalikan Produk Apple tersebut kepada anda. Apple akan menanggung bayaran penghantaran pergi balik dari lokasi anda sekiranya kesemua arahan dipatuhi.

(iii) Lakukan sendiri servis bahagian . Cara ini membolehkan anda menservis Produk Apple anda itu sendiri. Jika servis bahagian boleh dilakukan sendiri dalam sesuatu keadaan, proses yang berikut akan dijalankan.

(a) Apple memerlukan Produk Apple atau bahagian yang digantikan itu dikembalikan. Apple mungkin memerlukan kebenaran kad kredit sebagai cagaran bagi harga jualan Produk Apple atau bahagian ganti dan kos penghantaran yang mungkin tertanggung. Seandainya anda tidak dapat memberikan kebenaran kad kredit, servis bahagian mungkin tidak dapat anda lakukan sendiri dan Apple akan menawarkan cara servis yang lain. Apple akan menghantar Produk Apple atau bahagian ganti kepada anda, berserta arahan pemasangan jika perlu, dan permohonan mengembalikan Produk Apple atau bahagian yang digantikan, jika perlu. Sekiranya anda mematuhi arahan, Apple akan membatalkan kebenaran kad kredit tadi dan anda tidak akan dikenakan bayaran bagi Produk Apple atau bahagian itu, mahupun bagi penghantaran pergi balik dari lokasi anda. Sekiranya anda tidak memulangkan Produk Apple atau bahagian yang digantikan sebagaimana yang diarahkan atau jika anda mengembalikan Produk Apple atau bahagian yang tidak layak servis, Apple akan mengenakan caj melalui kad kredit anda bagi amaun yang telah dibenarkan tadi.

(b) Apple tidak memerlukan Produk Apple atau bahagian yang digantikan itu dikembalikan. Apple akan menghantar kepada anda Produk Apple atau bahagian ganti secara percuma, diiringi arahan pemasangannya, jika berkenaan, dan syarat-syarat pelupusan Produk Apple atau bahagian yang digantikan itu.

(c) Apple tidak bertanggungjawab terhadap kos buruh yang anda tanggung berhubung dengan servis bahagian yang anda lakukan sendiri. Sekiranya anda memerlukan bantuan selanjutnya, hubungi Apple melalui talian telefon yang disenaraikan di bawah ini.

Apple berhak mengubah cara servis warantinya ini disediakan kepada anda, dan kelayakan Produk Apple anda menerima kaedah servis yang tertentu. Servis terhad kepada kaedah-kaedah yang terdapat di negara tempat servis dipohon. Pilihan kaedah servis, ketersediaan bahagian dan tempoh gerak balas mungkin berbeza di setiap negara. Anda mungkin perlu menanggung bayaran penghantaran dan pengendalian sekiranya Produk Apple anda tidak dapat diservis di lokasinya. Sekiranya anda memohon servis di negara yang bukan negara pembelian yang asal, anda hendaklah mematuhi segala undang-undang dan peraturan import eksport yang dikenakan dan anda perlu menanggung duti kastam, V.A.T. serta semua cukai dan caj lain yang berkait dengannya. Jika servis antarabangsa disediakan, Apple mungkin akan membaiki ataupun menggantikan Produk Apple atau bahagiannya dengan Produk Apple atau bahagian yang setanding yang mematuhi piawaian tempatan.

BATASAN LIABILITI

KECUALI DIPERUNTUKKAN DI DALAM WARANTI INI DAN SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG, APPLE TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP GANTI RUGI LANGSUNG, KHAS, SAMPINGAN ATAU TURUTAN YANG DISEBABKAN OLEH PELANGGARAN WARANTI ATAU SYARAT, ATAU MENURUT MANA-MANA TEORI UNDANG-UNDANG YANG LAIN, YANG MERANGKUMI TETAPI TIDAK TERBATAS KEPADA KEHILANGAN PENGGUNAAN; KEHILANGAN HASIL PENDAPATAN, KEHILANGAN KEUNTUNGAN YANG SEBENAR ATAU YANG DIJANGKA (TERMASUK KEHILANGAN KEUNTUNGAN ATAS KONTRAK); KEHILANGAN PENGGUNAAN WANG; KEHILANGAN SIMPANAN YANG DIJANGKA; KEHILANGAN PERNIAGAAN; KEHILANGAN PELUANG; KEHILANGAN NAMA BAIK; KEHILANGAN REPUTASI; KEHILANGAN ATAU KEROSAKAN DATA; ATAU APA-APA KEHILANGAN ATAU KEROSAKAN TIDAK LANGSUNG ATAU TURUTAN WALAU BAGAIMANAPUN BERLAKU, TERMASUK PENGGANTIAN PERALATAN DAN HARTA BENDA, KOS UNTUK MEMULIHKAN, MEMPROGRAMKAN ATAU MENGHASILKAN SEMULA APA-APA PROGRAM ATAU DATA YANG DISIMPAN DI DALAM ATAU YANG DIGUNAKAN DENGAN PRODUK APPLE INI ATAU KEGAGALAN MENJAGA KERAHSIAAN MAKLUMAT YANG DISIMPAN DI DALAM PRODUK APPLE INI.

BATASAN INI TIDAK DIKENAKAN TERHADAP TUNTUTAN DALAM KEADAAN KEMATIAN ATAU KECEDERAAN DIRI, ATAU TERHADAP LIABILITI STATUTORI BAGI PERBUATAN YANG DISENGAJAKAN DAN KECUAIAN MELAMPAU DAN/ATAU TERHADAP PENINGGALAN. APPLE MENAFIKAN JAMINAN BAHAWA APPLE BOLEH MEMBAIKI MANA-MANA PRODUK APPLE MENURUT WARANTI INI ATAU MENGGANTIKAN PRODUK APPLE INI TANPA RISIKO TERHADAP ATAU KEHILANGAN MAKLUMAT YANG DISIMPAN DI DALAM PRODUK APPLE INI.

BEBERAPA NEGERI (NEGARA DAN WILAYAH) TIDAK MEMBENARKAN PENGECUALIAN ATAU PEMBATASAN GANTI RUGI SAMPINGAN ATAU TURUTAN, MAKA PEMBATASAN ATAU PENGECUALIAN INI MUNGKIN TIDAK BERKENAAN DENGAN ANDA.

PRIVASI

Apple akan menyimpan dan menggunakan maklumat pelanggan mengikut Dasar Privasi Pelanggan Apple yang terdapat di www.apple.com/legal/internet-services/privacy.

UMUM

Penjual semula, ejen, atau kakitangan Apple tidak dibenarkan membuat apa-apa pengubahsuaian, pelanjutan, atau penambahan pada Waranti ini. Jika mana-mana terma didapati tidak sah ataupun tidak boleh dikuatkuasakan, kesahihan dan kebolehkuatkuasaan terma-terma yang lain tidak akan terjejas atau dilemahkan. Waranti ini ditadbirkan oleh dan ditafsirkan menurut undang-undang di negara Produk Apple ini dibeli. Apple dikenal pasti pada penghujung dokumen ini mengikut negara atau kawasan tempat Produk Apple ini dibeli. Apple atau pengganti hak miliknya ialah penjamin menurut waranti ini.

MAKLUMAT DALAM TALIAN

Maklumat selanjutnya mengenai yang berikut boleh didapati dalam talian:

PENANGGUNG OBLIGASI WARANTI BAGI RANTAU ATAU NEGARA PEMBELIAN

Rantau/Negara Belian Apple Alamat
Asia Pasifik
Australia; New Zealand; Fiji, Papua New Guinea; Vanuatu Apple Pty. Limited. PO Box A2629, Sydney South, NSW 1235, Australia Tel: 133 622
Hong Kong Apple Asia Limited 2401 Tower One, Times Square, Causeway Bay; Hong Kong
India Apple India Private Ltd. 19th Floor, Concorde Tower C, UB City No 24, Vittal Mallya Road, Bangalore 560-001, India
Jepun Apple Japan Inc. 6-10-1 Roppongi, Minato-ku Tokyo 106-6140, Japan
Korea Apple Korea Ltd. 3901, ASEM Tower; 159, Samsung-dong, Gangnam-Gu; Seoul 135-798, Republic of Korea
Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, Guam, Indonesia, Laos, Singapura, Malaysia, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Vietnam Apple South Asia Pte. Ltd. 7 Ang Mo Kio Street 64
Singapore 569086
TRepublik Rakyat China Apple Computer Trading (Shanghai) Co. Ltd. Room 1815, No. 1 Jilong Road, Waigaoqiao Free Trade Zone, Shanghai 200131 China
Thailand Apple South Asia (Thailand) Limited 44th Floor, Room No. HH4401-6, The Offices at Central World, 999/9 Rama 1 Road, Pathumwan, Pathumwan, Bangkok 10330 Thailand
Taiwan Apple Asia LLC 19F., No.1, Songzhi Rd., Xinyi Dist., Taipei City 110, Taiwan
Negara Asia Pasifik yang Lain Apple Inc. 1 Infinite Loop; Cupertino, CA 95014, U.S.A.