Siri, Perencanaan & Privasi

Apple menyimpan transkrip interaksi anda dengan Siri dan mungkin menyemak subset daripada transkrip tersebut. Siri juga mungkin menghantar maklumat seperti audio, persediaan Siri, kenalan dan lokasi anda kepada Apple untuk memproses permintaan anda. Data tidak dikaitkan dengan Akaun Apple anda.
 

Siri direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.


Siri, Perencanaan & Privasi menggariskan kelakuan lalai untuk Siri dan Perencanaan. Jika anda mengikut serta dalam Tingkatkan Siri dan Perencanaan, data tambahan dikumpulkan, disimpan dan disemak. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lawati www.apple.com/legal/privacy/data/ms/improve-siri-dictation.

Siri dan Perencanaan

Apabila anda menggunakan Siri, peranti anda akan menandakan dalam Seting Siri sama ada perkara yang anda sebutkan diproses pada peranti anda dan tidak dihantar kepada pelayan Apple. Jika tidak, audio anda dihantar dan diproses pada pelayan Apple. Melainkan anda mengikut serta dalam Tingkatkan Siri dan Perencanaan, data audio anda tidak disimpan oleh Apple. Dalam semua kes, transkrip interaksi anda akan dihantar kepada Apple untuk memproses permintaan anda dan mungkin disimpan oleh Apple.

Apabila anda menggunakan Perencanaan, peranti anda akan menandakan dalam Seting Papan Kekunci jika audio dan transkrip anda diproses pada peranti anda dan tidak dihantar ke pelayan Apple. Jika tidak, perkara yang anda rencanakan dihantar dan diproses pada pelayan, tetapi tidak akan disimpan melainkan anda mengikut serta dalam Tingkatkan Siri dan Perencanaan.

Apple juga akan menyimpan data permintaan yang berkaitan, seperti kategori permintaan yang anda lakukan dan sama ada ia berjaya dilengkapkan, spesifikasi peranti, konfigurasi peranti, statistik prestasi dan jika anda telah mengaktifkan Perkhidmatan Lokasi untuk Siri, lokasi anggaran peranti anda pada waktu permintaan dibuat.

Transkrip Siri anda dan sebarang data permintaan berkaitan dikaitkan dengan pengecam rawak yang dijana peranti yang digilirkan berbilang kali setiap jam dan tidak terikat kepada Akaun Apple atau alamat e‑mel anda. Apple boleh menyimpan dan menggunakan data ini hingga dua tahun untuk membangunkan serta meningkatkan Siri, Perencanaan, Carian dan fungsi pemprosesan bahasa lain yang terhad dalam produk serta perkhidmatan Apple. Contohnya, transkrip mungkin digunakan untuk memperhalus Siri, Carian, Kawalan Suara, Terjemah dan model pengecaman pertuturan automatik. Apple juga mungkin menyemak subset transkrip interaksi anda dengan Siri dan subset kecil interaksi ini yang telah disemak mungkin disimpan selama lebih daripada dua tahun untuk peningkatan berterusan produk serta perkhidmatan ini.

Sejarah interaksi Siri dan Perencanaan anda disimpan pada peranti anda dan mungkin digunakan untuk memperibadikan pengalaman Siri anda.

Apabila anda menggunakan Siri dan Perencanaan, peranti anda mungkin menghantar data kontekstual lain kepada Apple, termasuk daripada app pihak ketiga yang anda benarkan untuk disepadukan dengan Gunakan dengan Permintaan Siri, seperti:

  • Nama kenalan, nama panggilan dan perhubungan (contohnya “ayah saya”) jika anda menyediakannya dalam kenalan anda
  • Bentuk sapaan, jika disetkan dalam seting bahasa dan rantau
  • Muzik dan podcast yang anda nikmati
  • Nama peranti anda dan ahli Perkongsian Keluarga anda
  • Nama aksesori, rumah, suasana, ahli rumah dikongsi dalam app Rumah dan profil pengguna Apple TV
  • Label untuk item, seperti nama orang dalam Foto, nama Penggera dan nama senarai Peringatan
  • Nama app yang dipasang pada peranti anda dan pintasan yang anda tambahkan melalui Siri

Data ini dikaitkan dengan pengecam rawak yang dijana peranti yang tidak dikaitkan dengan Akaun Apple atau alamat e‑mel anda. Ia digunakan oleh Apple hanya untuk menentukan sama ada Siri memahami permintaan anda dan untuk membantu peranti iOS anda serta sebarang peranti Apple bersambung, seperti Apple Watch, HomePod atau aksesori HomeKit disokong anda, memahami anda dengan lebih baik dan mengecam perkara yang anda sebut.

Data kontekstual ini, serta transkrip Siri dan data permintaan berkaitan anda, tidak digunakan untuk membina profil pemasaran dan tidak pernah dijual kepada sesiapa.

App Pihak Ketiga

Apabila Siri berinteraksi dengan app atau perkhidmatan pihak ketiga bagi pihak anda, anda tertakluk pada terma dan syarat serta dasar privasi app atau perkhidmatan tersebut. Selain itu, jika anda memilih untuk membenarkan app menggunakan Pengecaman Pertuturan untuk transkripsi, data audio untuk ditranskripsikan mungkin dihantar kepada Apple.

Cadangan Siri

Cadangan Siri menggunakan pemprosesan setempat pada peranti untuk mempelajari cara anda menggunakan peranti dan app anda untuk memperibadikan pengalaman anda. Menggunakan maklumat yang disimpan pada peranti anda, seperti sejarah pelayaran Safari, e‑mel, mesej, imej, pemberitahuan dan kenalan anda, serta maklumat yang didermakan atau disumbangkan oleh app lain yang dipasang, Siri boleh mencadangkan pintasan dan memberikan cadangan dalam carian, helaian kongsi, kalendar, Rujuk, Rujukan Visual, Safari, app dan banyak lagi. Contohnya, Siri boleh menggunakan kecerdasan pada peranti untuk mencadangkan orang untuk berkongsi foto dalam helaian kongsi berdasarkan orang dalam foto. Cadangan mungkin digunakan untuk memperibadikan perkhidmatan Apple tetapi tidak disimpan pada pelayan Apple atau dikongsi dengan app pihak ketiga yang lain. Apabila anda menjalankan pintasan dicadangkan Siri, anda tertakluk pada terma dan syarat serta dasar privasi app.

Perkhidmatan Lokasi

Jika anda telah mengaktifkan Perkhidmatan Lokasi untuk Siri, lokasi peranti anda pada masa anda membuat permintaan akan dihantar kepada Apple untuk membantu Siri dan Perencanaan meningkatkan ketepatan responsnya kepada permintaan anda. Untuk memberikan respons dan cadangan yang berkaitan, Apple mungkin menggunakan alamat IP sambungan internet anda untuk menganggarkan lokasi anda dengan memadankannya ke rantau geografi.

Penyelarasan iCloud

Seting Siri dan pemeribadian Cadangan Siri anda akan diselaraskan merentas peranti Apple anda menggunakan penyulitan hujung ke hujung jika anda menggunakan iCloud. Jika anda telah menyediakan Siri, sampel kecil permintaan anda juga akan diselaraskan menggunakan penyulitan hujung ke hujung untuk meningkatkan pengecaman Siri yang diperibadikan pada setiap peranti. Model pengecaman pertuturan yang diperibadikan dan interaksi anda dengan Siri dan Perencanaan yang dilakukan pada peranti mungkin memanfaatkan maklumat pada peranti anda untuk meningkatkan ketepatan dan prestasi model. Status pemasa, penggera, media dikongsi anda yang berdekatan dan, jika anda mengikut serta dalam Permintaan Peribadi pada HomePod, status panggilan telefon, daripada peranti anda dan kehampiran peranti sedemikian mungkin dikongsi secara setempat dengan peranti Apple berdekatan anda supaya orang lain dapat mengawalnya daripada peranti berdekatan anda dengan Siri didayakan.

Anda Mempunyai Pilihan dan Kawalan

Anda boleh menyahdayakan Minta Siri atau Perencanaan pada bila-bila masa. Untuk menyahaktifkan Siri, pergi ke Seting > Siri > Cakap dengan Siri dan ketik Tak Aktif, serta pergi ke Seting > Siri > Cakap dengan Siri dan ketik untuk menyahaktifkan “Tekan Butang Utama untuk Siri” atau “Tekan Butang Sisi untuk Siri”. Untuk menyahaktifkan Perencanaan, pergi ke Seting > Umum > Papan Kekunci, kemudian ketik untuk menyahaktifkan Dayakan Perencanaan. Jika anda menyahaktifkan Minta Siri dan Perencanaan, Apple akan memadamkan transkrip Siri dan Perencanaan yang dikaitkan dengan pengecam rawak.

Anda boleh memadamkan transkrip permintaan Siri dan Perencanaan anda yang disimpan pada peranti anda dengan pergi ke Seting > Siri > Sejarah Siri & Perencanaan dan mengetik Padam Sejarah Siri & Perencanaan.

Anda boleh mengawal app yang boleh bersepadu dengan Benarkan Permintaan Siri pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > Siri > App > [nama app] > Gunakan dengan Permintaan Siri.

Jika anda tidak mahu Cadangan Siri dalam app, atau apabila berkongsi, mencari atau mendengar, anda boleh menyahdayakan Cadangan Siri dengan pergi ke Seting > Siri dan mengetik untuk menyahaktifkan “Tunjukkan dalam Pustaka App”, “Tunjukkan dalam Spotlight”, “Tunjukkan Semasa Berkongsi” atau “Tunjukkan Semasa Mendengar”.

Anda boleh melihat dan mengawal senarai penuh ciri yang diperibadikan Siri serta app yang Siri cadangkan pintasan dengan pergi ke Seting > Siri. Untuk menghentikan app daripada menyumbangkan maklumat bagi memperibadikan Siri, pergi ke Seting > Siri > [nama app], kemudian ketik untuk menyahaktifkan Belajar daripada App ini. Untuk menghentikan klip app daripada memberi maklumat untuk memperibadikan Siri, pergi ke Seting > Siri > Klip App dan ketik untuk menyahaktifkan Belajar daripada Klip App.

Jika anda telah mendayakan Perkhidmatan Lokasi, anda boleh menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi untuk Siri dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi > Siri dan mengetik Jangan.

Jika anda telah mendayakan Perkhidmatan Lokasi, anda boleh menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi untuk Cadangan Siri dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi > Perkhidmatan Sistem dan mengetik untuk menyahaktifkan Cadangan & Carian.

Jika anda tidak mahu pemeribadian Siri diselaraskan merentas peranti, anda boleh menyahdayakan Siri dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud > Disimpan ke iCloud > Lihat Semua dan mengetik untuk menyahaktifkan Siri.

Anda juga boleh mengehadkan terus keupayaan untuk menggunakan Siri dan Perencanaan dengan pergi ke Seting > Masa Skrin > Kandungan & Privasi > App & Ciri Dibenarkan dan mengetik Siri & Perencanaan.

Anda boleh mengawal app yang menggunakan Siri untuk transkripsi dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Pengecaman Pertuturan.

Dengan menggunakan Siri, Perencanaan atau Cadangan Siri, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan maklumat ini oleh Apple dan subsidiari serta ejennya, untuk menyediakan dan meningkatkan Siri, Perencanaan, Carian dan fungsi pemprosesan bahasa lain yang terhad dalam produk dan perkhidmatan Apple seperti yang diterangkan di atas. Apple mungkin memproses dan menyimpan maklumat ini dengan penyedia khidmat pihak ketiga yang dipercayai. Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy.

Tarikh Terbitan: 15 September 2025