-
Mesej & Privasi
-
Anda boleh mendaftarkan nombor telefon atau Akaun Apple anda untuk menghantar iMessage. Apple mengekalkan maklumat terhad tentang penggunaan iMessage, seperti sama ada peranti anda layak untuk menggunakan iMessage, sehingga 30 hari.
Mesej direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.
-
- Mesej disandarkan dalam iCloud dan disulitkan jika anda mendayakan Sandaran iCloud atau Mesej dalam iCloud.
- iMessage disulitkan hujung ke hujung. Nombor telefon atau alamat e-mel yang anda gunakan ditunjukkan kepada orang yang anda hubungi dan anda boleh memilih untuk berkongsi nama serta foto anda.
- Apple mengekalkan maklumat terhad tentang penggunaan iMessage, seperti sama ada peranti anda layak untuk menggunakan iMessage, sehingga 30 hari.
Mesej ialah app yang membolehkan pengguna berkomunikasi melalui SMS, MMS, RCS, iMessage dan Apple Messages for Business. iMessage ialah perkhidmatan pemesejan Apple yang boleh digunakan untuk menghantar dan menerima iMessage dalam app Mesej pada iPhone, iPad, Mac, Apple Vision Pro atau Apple Watch anda. Mesej yang dihantar melalui iMessage boleh menyertakan foto, video dan maklumat lain, serta ia tidak diambil kira dalam pelan pemesejan pembawa anda.
Kami mereka bentuk iMessage untuk menggunakan penyulitan hujung ke hujung, supaya Apple tidak dapat menyahsulitkan kandungan perbualan anda apabila ia sedang dihantar antara peranti. Lampiran yang anda hantar melalui iMessage (seperti foto atau video) disulitkan supaya tiada sesiapa kecuali pengirim dan penerima boleh mengaksesnya. Lampiran disulitkan ini mungkin dimuat naik kepada Apple. Untuk meningkatkan prestasi, peranti anda mungkin memuat naik lampiran kepada Apple secara automatik semasa anda mengarang iMessage. Jika mesej anda tidak dihantar, lampiran dipadamkan daripada pelayan selepas 30 hari. Apabila kod laluan atau kata laluan disetkan pada peranti iOS, iPadOS, visionOS atau watchOS anda, mesej yang disimpan disulitkan pada peranti anda supaya ia tidak boleh diakses melainkan peranti telah dibuka kunci.
Jika anda hilang sambungan selular dan tidak mempunyai akses internet, iPhone yang layak mungkin menggesa anda untuk mula menghantar serta menerima mesej melalui satelit. Ini membolehkan anda menghantar dan menerima mesej iMessage serta SMS melalui satelit. Rakan dan keluarga yang cuba menghantar anda iMessage setelah anda mula menghantar serta menerima mesej melalui satelit mungkin melihat bahawa anda menghantar mesej melalui satelit. Penghantaran dan penerimaan SMS, termasuk apabila ia berlaku melalui satelit, ialah perkhidmatan yang disediakan oleh pembawa anda dan bukan Apple.
Anda boleh memilih untuk memadamkan iMessage anda secara automatik daripada peranti anda selepas 30 hari atau setahun, atau menyimpannya pada peranti anda selama-lamanya. Untuk kemudahan anda, SMS, MMS, RCS, Mesej Perniagaan RCS, Apple Messages for Business dan iMessage disandarkan dalam iCloud dan disulitkan jika anda telah mendayakan sama ada Sandaran iCloud atau Mesej dalam iCloud. Anda boleh menyahaktifkan Sandaran iCloud dan juga Mesej dalam iCloud pada bila-bila masa anda inginkan. Pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud. Pada Mac anda, pergi ke Mesej > Seting > iMessage dan nyahpilih Dayakan Mesej dalam iCloud.
Anda boleh mendaftar masuk ke iMessage menggunakan Akaun Apple anda atau hanya nombor telefon anda. Jika anda mendaftar masuk ke Akaun Apple anda pada peranti anda, anda akan daftar masuk ke iMessage secara automatik. Akaun Apple atau nombor telefon anda akan ditunjukkan kepada orang yang anda hubungi dan orang dapat menghubungi anda menggunakan Akaun Apple anda serta alamat e‑mel atau nombor telefon pada akaun anda. Anda boleh memilih nombor telefon atau alamat e-mel yang ingin anda gunakan untuk memulakan perbualan baharu dan nombor telefon atau alamat e-mel yang boleh digunakan untuk menerima dan membalas mesej anda, dalam seting iMessage. Anda boleh menambah dan mengesahkan maklumat Boleh Dihubungi Di tambahan daripada halaman Akaun Apple anda di account.apple.com. iMessage bertujuan untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakan serta bukan untuk menjalankan aktiviti komersial atau menyebarkan mesej yang tidak diingini. Salah guna iMessage mungkin menyebabkan pengehadan perkhidmatan.
Dikongsi dengan Anda berfungsi merentas sistem untuk mencari artikel, muzik, rancangan TV, foto dan banyak lagi yang dikongsi dalam perbualan Mesej dan memaparkannya dengan mudah dalam app seperti Foto, Safari, News, Muzik dan Podcast, yang memudahkan anda mengakses maklumat dalam konteks dengan cepat. Apple tiada akses kepada kandungan yang ditanda tanpa keizinan anda. Anda boleh menyahdayakan Dikongsi dengan Anda pada bila-bila masa pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda dengan pergi ke Seting > App > Mesej, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Dikongsi dengan Anda. Pada Mac anda, pergi ke Mesej > Seting > Dikongsi dengan Anda. Anda juga boleh mengawal sama ada setiap app mengambil bahagian dalam Dikongsi dengan Anda dengan mengetik atau memilihnya di bahagian Dikongsi dengan Anda.
Anda boleh menggunakan penapisan mesej untuk membantu menyusun mesej anda. Saring Pengirim Tidak Dikenali mengisih mesej daripada pengirim yang tiada dalam senarai kenalan anda ke senarai berasingan dan mesej kemudiannya boleh diisih ke subkategori.
Selain itu, Penapis Spam menggunakan gabungan peraturan pada peranti, corak mesej dan carian pengirim untuk menapis keluar spam daripada pengirim tidak dikenali. Penapisan tidak mendedahkan sebarang kandungan mesej kepada Apple. Carian pengirim tidak mendedahkan maklumat pengirim atau penerima mesej kepada Apple. Anda boleh menyahaktifkan penapis spam pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > App > Mesej > Tapis Spam.
Kongsi Nama dan Foto membenarkan anda berkongsi nama dan foto dengan orang yang anda iMessage. Anda boleh memilih untuk berkongsi hanya dengan kenalan anda secara automatik, atau untuk digesa setiap kali. Nama dan foto dikongsi anda akan dihantar dengan iMessage seterusnya anda kepada orang yang anda kongsikan serta disimpan pada peranti mereka. Jika anda berkongsi nama dan foto anda dengan perbualan iMessage bersama berbilang orang, nama dan foto anda akan dihantar kepada semua orang dalam perbualan. Anda boleh mengemas kini nama dan foto anda pada bila-bila masa. Jika anda berkongsi secara automatik, kemas kini akan dihantar apabila anda kemudiannya menghantar iMessage kepada setiap orang yang anda kongsikan. Jika anda telah kongsikan nama dan foto anda serta kemudiannya menyahaktifkan perkongsian, orang lain yang menerima nama dan foto anda sebelum ini mungkin masih mempunyai maklumat anda pada peranti mereka. Nama dan foto yang anda pilih untuk mesej akan dihantar kepada Apple dan disimpan pada pelayan Apple serta disulitkan dengan cara yang Apple tidak dapat lihat.
Apple mungkin merekodkan dan menyimpan sesetengah maklumat berkaitan dengan penggunaan app Mesej serta perkhidmatan iMessage anda untuk mengendalikan dan meningkatkan produk dan perkhidmatan Apple:
- Apple mungkin merekodkan dan menyimpan maklumat tentang penggunaan iMessage anda dalam cara yang tidak mengenal pasti anda, termasuk apabila anda menghantar dan menerima mesej melalui satelit.
- Apple mungkin menyimpan maklumat yang dihantar kepada Apple apabila anda atau orang lain melaporkan spam atau sarap. Apple mungkin menyimpan dan menggunakan maklumat yang terkandung dalam atau berkaitan dengan laporan mesej spam dan sarap untuk tujuan pencegahan penipuan dan penyalahgunaan.
- Apple boleh menyimpan iMessage yang dijadualkan untuk dihantar atau yang tidak boleh dihantar, hingga 30 hari untuk penghantaran.
- Sesetengah app pada peranti anda (termasuk Mesej) mungkin berkomunikasi dengan pelayan Apple untuk menentukan sama ada orang lain boleh dihubungi melalui iMessage. Apabila ini berlaku, Apple mungkin menyimpan nombor telefon dan alamat e-mel berkaitan dengan akaun anda ini, sehingga 30 hari.
Dengan menggunakan ciri ini, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan maklumat ini oleh Apple dan subsidiari serta ejennya seperti yang diterangkan di atas.
Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy.
Tarikh Terbitan: 15 September 2025