Kata Laluan & Privasi

Simpan dan kongsi kata laluan anda dengan selamat, serta dapatkan pemberitahuan apabila kata laluan anda lemah, digunakan semula atau mungkin sebahagian daripada kebocoran data.


Kata Laluan boleh menyimpan maklumat akaun disimpan anda seperti kata laluan, kunci laluan, kata laluan satu kali anda dan nama pengguna atau alamat e‑mel yang berkaitan secara selamat. Apabila anda digesa untuk memasukkan maklumat akaun anda, seperti dalam app atau dalam tapak web, Kata Laluan mungkin membantu anda memasukkan maklumat secara automatik. Maklumat yang disimpan dalam Kata Laluan disulitkan pada peranti anda dan tidak boleh dilihat oleh Apple.

Kata Laluan mungkin mencadangkan tindakan untuk anda ambil bagi meningkatkan kekuatan kata laluan. Contohnya, Kata Laluan mungkin memaklumkan anda bahawa kata laluan yang disimpan adalah lemah, digunakan semula merentas berbilang akaun atau biasa digunakan. Cadangan ini hanya berdasarkan pemprosesan yang berlaku pada peranti anda.

Ciri Kesan Kata Laluan Diceroboh dalam app Kata Laluan mungkin juga memaklumkan anda jika salah satu kata laluan anda telah diceroboh dalam kebocoran data, tanpa mendedahkan akaun atau kata laluan anda kepada Apple. Ciri ini menggunakan teknik kriptografi yang kukuh untuk menyemak terbitan kata laluan anda secara kerap terhadap senarai kata laluan terbocor dengan cara yang selamat dan peribadi. Apple akan menghantar senarai kata laluan biasa yang hadir dalam kebocoran data kepada peranti anda. Untuk kata laluan anda yang tidak berada dalam senarai ini, Kata Laluan akan menghantar maklumat yang dikira daripada kata laluan anda kepada Apple untuk menyemak jika kata laluan tersebut hadir dalam kebocoran data. Anda akan menerima amaran untuk sebarang kata laluan yang ditentukan sebagi berkemungkinan telah termasuk dalam kebocoran data. Kata laluan sebenar anda tidak akan dikongsi dengan Apple dan Apple tidak menyimpan maklumat yang dikira daripada kata laluan anda. Anda boleh menyahdayakan ciri ini pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > App > Kata Laluan > Kesan Kata Laluan Diceroboh.

Jika anda telah mendayakan Kata Laluan & Rantai Kunci iCloud, anda boleh berkongsi kata laluan, kunci laluan, kata laluan satu kali dan maklumat yang berkaitan dengan orang lain, termasuk kumpulan. Apabila anda berkongsi maklumat dalam app Kata Laluan dengan kumpulan, sesiapa dalam kumpulan tersebut akan dapat mengubah suai atau memadamkan entri. Apabila seseorang menyertai kumpulan, mereka akan mempunyai akses kepada semua entri yang dikongsi kepada kumpulan. Apabila seseorang meninggalkan kumpulan, mereka menyimpan sebarang entri yang mereka kongsi dengan kumpulan, tetapi kehilangan akses kepada entri yang dikongsi oleh orang lain dalam kumpulan tersebut. Perkongsian entri disulitkan hujung ke hujung dan Apple tidak boleh melihat entri yang anda kongsi.

Maklumat yang dipadamkan dalam app Kata Laluan boleh dipulihkan selama hingga 30 hari, melainkan dikeluarkan lebih awal.

Kata Laluan mungkin memaparkan ikon di sebelah entri. Jika entri berkaitan dengan tapak web, ikon mungkin didapati daripada tapak tersebut dengan memuat turun ikon menggunakan dua geganti berasingan yang dikendalikan oleh entiti berbeza. Entiti pertama mengetahui alamat IP anda, tetapi bukan ikon yang dimuat turun Kata Laluan. Entiti kedua mengetahui ikon yang sedang anda muat turun, tetapi bukan alamat IP anda dan sebaliknya memberikan identiti yang umum kepada destinasi. Melalui cara ini, tiada satu entiti mempunyai maklumat untuk mengenal pasti anda dan juga ikon yang anda muat turun.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 6 November 2024