Apple Podcasts & Privasi

Langganan podcast yang anda beli dalam Apple Podcasts dikaitkan dengan Apple ID anda. Skor kepercayaan peranti anda digunakan untuk mencegah penipuan. Data tentang pendengaran dan interaksi podcast anda dikumpulkan untuk meningkatkan serta memperibadikan perkhidmatan dan tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.
 

Apple Podcasts direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • Langganan podcast yang anda beli dalam Apple Podcasts dikaitkan dengan Apple ID anda.
  • Data pendengaran podcast anda dihubungkan dengan pengecam peranti rawak yang tidak disimpan dengan Apple ID anda.
  • Kami mengumpulkan data pendengaran podcast anda untuk memahami dan melaporkan kepada penyedia podcast secara teragregat tentang aktiviti pendengaran podcast.
  • Kami juga mengumpulkan data tentang penggunaan Apple Podcasts anda, contohnya, ketikan.
  • Untuk membantu mengecam dan mencegah penipuan, maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk anggaran bilangan panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar serta terima, akan digunakan untuk mengira skor kepercayaan peranti apabila anda mencuba pembelian. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai sebenar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.

Melindungi privasi dan keselamatan maklumat anda ialah keutamaan semua orang di Apple. Kami berusaha keras untuk hanya mengumpulkan data yang kami perlukan untuk menjadikan pengalaman anda lebih baik. Apabila kami mengumpulkan data, kami percaya penting untuk anda mengetahui perkara yang kami kumpulkan dan sebab kami memerlukannya, supaya anda boleh membuat pilihan termaklum. Apple Podcasts, seperti setiap produk dan perkhidmatan Apple, direka bentuk berpandukan prinsip ini.

Menyediakan dan Meningkatkan Apple Podcasts

Kami mengumpulkan data tentang pendengaran dan interaksi podcast untuk menyediakan dan meningkatkan perkhidmatan serta memahami dan memberikan laporan agregat tentang maklumat pendengar podcast. Data ini termasuk maklumat tentang podcast yang anda dengar, seperti, tempoh anda mendengar podcast, masa anda mendengar dan masa anda menstrim, memuat turun atau mengikuti podcast tersebut. Untuk membantu meningkatkan dan memperibadikan perkhidmatan, kami mengumpulkan maklumat tentang interaksi anda dengan Apple Podcasts, seperti pautan yang anda ketik. Kami mereka bentuk Apple Podcasts supaya data ini tidak dikaitkan dengan perkhidmatan Apple lain. Maklumat ini dikaitkan dengan pengecam unik rawak yang khusus kepada Apple Podcasts dan tidak disimpan dengan Apple ID anda. Kami menggunakan iCloud untuk menyelaraskan pengecam merentas peranti anda yang didaftar masuk ke iCloud. Untuk mereset pengecam yang disertakan dengan data main balik yang dihantar kepada Apple pada peranti iOS atau iPadOS, pergi ke Seting > Podcast > Reset Pengecam. Ini juga akan mereset pengecam untuk sebarang peranti watchOS yang dipasangkan.

Untuk kemudahan anda, Apple Podcasts menyelaraskan kedudukan main episod podcast yang anda dengar, serta kandungan pustaka anda, termasuk rancangan yang anda ikuti, episod yang telah anda simpan dan stesen anda supaya anda boleh menikmati pengalaman Apple Podcasts yang sama daripada sebarang peranti anda. Maklumat ini disimpan secara berkaitan dengan Apple ID anda. Anda boleh menyahdayakan pelarasan pustaka anda dalam Seting.

Kami menggunakan maklumat tentang langganan saluran, Podcast diikuti, main Podcast terbaharu dan pengesyoran terbaharu anda untuk memperibadikan perkhidmatan serta membantu anda menemui kandungan yang paling berkaitan dengan anda. Anda boleh menyahdayakan pemeribadian dalam Apple Podcasts, serta dalam App Store, Apple Books, iTunes Store, Apple TV dan langganan daripada Apple, dengan menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan untuk Apple ID anda. Pada peranti iOS atau iPadOS anda, pergi ke Seting > [nama anda] > Media & Pembelian > Lihat Akaun, kemudian ketik untuk menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan. Kami berkongsi data dengan penyedia podcast hanya dalam bentuk agregat. Kami tidak berkongsi sebarang data peribadi anda dengan pihak ketiga. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa apabila anda memainkan atau memuat turun episod podcast daripada sesetengah penyedia podcast atau menggunakan Siri untuk mendengar ringkasan audio, penyedia tersebut mungkin dapat mengumpulkan maklumat tentang penggunaan podcast mereka oleh anda dan pengumpulan tersebut ditadbir oleh dasar dan amalan privasi mereka. Contohnya, apabila anda menambah rancangan menggunakan URL atau mendengar podcast yang dihoskan oleh platform pengehosan pihak ketiga, peranti anda bersambung terus ke platform pengehosan pihak ketiga untuk menyediakan anda kandungan yang diminta. Apabila ia bersambung, alamat IP peranti anda akan kelihatan kepada platform pengehosan pihak ketiga. Pengendalian alamat IP anda oleh platform pengehosan pihak ketiga ditadbir oleh dasar privasi pihak ketiga ini.

App dan peranti lain yang menawarkan integrasi Apple Podcasts mungkin meminta akses kepada Apple Podcasts dan Pustaka Podcast anda. Jika anda memberikan kebenaran kepada integrasi app atau peranti, ia boleh mengakses maklumat seperti pustaka anda, aktiviti main podcast anda serta pengesyoran anda. App atau peranti yang diizinkan juga boleh mengubah suai data yang dikaitkan dengan akaun anda, seperti podcast yang berada dalam pustaka anda. Anda boleh menyahdayakan akses app iOS atau iPadOS pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Media & Apple Music. Anda boleh menyahdayakan akses oleh app atau peranti lain dalam seting akaun Apple Music anda.

Berkomunikasi dengan Anda

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki dan langganan anda kepada perkhidmatan Apple, untuk berkomunikasi dengan anda tentang Apple Podcasts dan produk, perkhidmatan, serta tawaran lain Apple yang mungkin menarik minat anda. Apple juga mungkin menggunakan maklumat tentang aktiviti pembelian anda dalam Apple Podcasts untuk menghantar e-mel dan pemberitahuan push kepada anda tentang ciri baharu, kandungan dan tawaran yang tersedia pada Apple Podcasts. Anda boleh menukar keutamaan e‑mel anda dan menarik diri daripada menerima e‑mel ini dengan pergi ke appleid.apple.com/my. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan anda pada peranti iOS atau iPadOS, pergi ke Seting > Pemberitahuan > Podcast. Apple menggunakan maklumat tentang interaksi anda dengan komunikasi kami, termasuk pemberitahuan, untuk meningkatkan perkhidmatan kami.

Langganan Apple Podcasts

Jika anda membeli langganan podcast daripada Apple Podcasts, kami akan menggunakan data peribadi yang diperlukan untuk memproses transaksi pembelian anda, seperti maklumat akaun dan bayaran anda, yang boleh anda akses serta tukar dalam Seting dan sejarah pembelian anda. Kami juga mungkin menggunakan data peribadi anda untuk menyemak sama ada anda layak untuk percubaan percuma atau tawaran istimewa daripada Apple Podcasts.

Kami menggunakan maklumat tentang langganan aktif perkhidmatan Apple anda dan pihak ketiga yang dibeli menerusi App Store untuk menyemak sama ada anda layak mengakses kandungan langganan tambahan dalam Apple Podcasts. Jika sebelum ini anda telah membeli langganan secara terus daripada pihak ketiga dengan kandungan yang tersedia, anda akan dapat mengesahkan langganan anda dengan pihak ketiga dan mendapatkan akses kepada kandungan sedemikian.

Mencegah Penipuan dan Aktiviti Berniat Jahat Lain

Apabila anda menggunakan kad bayaran, Apple mungkin mengekalkan dan mengemas kini nombor kad serta maklumat pengebilan anda secara automatik untuk pembelian masa depan, transaksi berulang atau penggunaan lain yang anda benarkan. Apple mungkin mendapatkan maklumat ini daripada institusi kewangan atau rangkaian bayaran anda dan turut menggunakannya untuk pencegahan penipuan serta pengesahan.

Kami juga akan mengira skor kepercayaan peranti pada peranti anda apabila anda cuba membeli menggunakan maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk bilangan anggaran panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar dan terima. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai dasar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang penggunaan Apple Podcasts oleh anda untuk menghalang atau mengambil tindakan terhadap aktiviti yang melanggar atau mungkin melanggar Perjanjian Lesen Perisian iOS atau iPadOS atau undang-undang yang berkenaan.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam Apple Podcasts umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses data peribadi mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga, untuk:

  • Memaparkan kandungan yang tersedia kepada anda
  • Selaraskan kedudukan main balik dan pustaka anda merentas peranti
  • Mengoptimumkan dan meningkatkan perkhidmatan untuk anda serta orang lain dan menghantar komunikasi kepada anda tentang Apple Podcasts serta produk, perkhidmatan, dan tawaran berkaitan Apple lain yang mungkin menarik minat anda
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain

Data yang digunakan termasuk:

  • Penggunaan Apple Podcasts oleh anda, termasuk kedudukan main dan kandungan dalam pustaka anda
  • Langganan podcast yang anda beli dalam Apple Podcasts
  • Akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki dan langganan perkhidmatan Apple anda
  • Alamat IP anda

Pengekalan

Kami mengekalkan data peribadi yang dikaitkan dengan pembelian anda dalam Apple Podcasts untuk tempoh yang ditentukan oleh undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan pelaporan kewangan yang berbeza-beza mengikut rantau. Untuk kebanyakan pelanggan, ini memerlukan tempoh pengekalan sekurang-kurangnya selama 10 tahun, tetapi di rantau seperti China, tempoh tersebut boleh menjadi 30 tahun. Kami juga mengekalkan rekod pembelian anda selama sekurang-kurangnya tempoh masa anda mempunyai akaun dengan kami untuk membolehkan anda mengakses kandungan tersebut, sekali lagi selaras dengan syarat kami yang berkenaan. Sesetengah maklumat, seperti transaksi, tetapi bukan butiran kad disimpan anda, mungkin dikekalkan sebagai rekod perniagaan walaupun selepas anda menutup akaun anda atau berhenti menggunakan Apple Podcasts.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023