-
Terma Perkhidmatan TestFlight
-
-
Ringkasan Terma Penting:
• Log kerosakan dan maklumat statistik yang berkaitan dengan penggunaan setiap App Beta oleh anda akan diberikan kepada Apple dan Penyedia Aplikasi sebagai sebahagian daripada TestFlight.
• Anda boleh mengemukakan cadangan dan idea kepada Penyedia Aplikasi App Beta tersebut.
• App Beta mungkin rosak dan mengakibatkan kehilangan data di dalam App Beta tersebut.
• Jika anda telah pun mempunyai versi lengkap sebuah app, pemasangan App Beta mungkin mengakibatkan kehilangan data.
• Anda boleh berhenti mengambil bahagian dalam ujian beta untuk App Beta dengan memadamkan App Beta tersebut daripada peranti anda.
-----
Penggunaan perkhidmatan TestFlight ("TestFlight") oleh anda, termasuk sebarang ujian beta bagi mana-mana aplikasi belum dilancarkan untuk Mac, iPhone, iPad, Apple Watch, Apple TV yang dimuat turun melalui TestFlight ("App Beta"), tertakluk pada terma dan syarat berikut ("Terma Perkhidmatan TestFlight"). Kecuali seperti yang dipinda secara khusus di bawah, Terma dan Syarat Perkhidmatan Media Apple lengkap untuk rantau anda terpakai dan dengan ini digabungkan melalui rujukan, dan terma tertakrif dinyatakan maknanya dalam Terma dan Syarat Perkhidmatan Media Apple, kecuali seperti yang dinyatakan di dalam ini. Bagi tujuan Terma Perkhidmatan TestFlight ini, istilah "Aplikasi Berlesen" termasuk App Beta. Lihat Terma dan Syarat Perkhidmatan Media Apple: https://www.apple.com/legal/internet-services/itunes/
Terma Khusus untuk Penguji Beta
Kanak-kanak di bawah umur 13 tahun, atau umur minimum setaraf dalam bidang kuasa yang berkaitan, tidak dibenarkan untuk menggunakan TestFlight. Jika anda berumur 13 tahun atau umur minimum setaraf dalam bidang kuasa yang berkaitan atau lebih tua, namun masih di bawah umur 18 tahun, anda harus menyemak Perjanjian ini bersama ibu bapa atau penjaga anda untuk memastikan bahawa anda serta ibu bapa atau penjaga anda faham dan bersetuju dengan terma berikut.
TestFlight direka untuk membantu pembangun pihak ketiga ("Penyedia Aplikasi") melaksanakan ujian beta dan meningkatkan prestasi aplikasi belum dilancarkan mereka untuk Mac, iPhone, iPad, Apple Watch dan Apple TV dan menyediakan penguji beta dengan App Beta. Sekiranya Penyedia Aplikasi meluluskan anda sebagai penguji beta dan anda memilih untuk memuat turun App Beta berkaitan daripada Penyedia Aplikasi melalui TestFlight, maka tertakluk pada pematuhan anda terhadap Terma Perkhidmatan TestFlight ini, Penyedia Aplikasi memberikan anda lesen terhad, bukan eksklusif, tidak boleh diperuntuk, tidak boleh disublesen untuk mengakses, memuat turun dan menggunakan App Beta yang anda telah dipilih sebagai penguji beta dan apa-apa dokumentasi berkaitan yang tersedia di dalam talian, semata-mata untuk tujuan pengujian beta untuk tempoh yang terhad dan tertakluk pada Terma Perkhidmatan TestFlight ini.
Antara anda dan Penyedia Aplikasi, dan selain daripada lesen terhad yang dinyatakan di atas, Penyedia Aplikasi memiliki semua hak, hak milik dan kepentingan terhadap App Beta termasuk tetapi tidak terhad kepada hak harta intelektual. Sehingga ke tahap maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, anda tidak boleh: (a) mengubah suai, menterbalik atur, menyahkompil atau menyahhimpun mana-mana App Beta; (b) menyewa, memajak, meminjam, menjual, mensublesen, mengedar, menyiar ataupun memindah mana-mana App Beta dalam apa jua cara lain; (c) membuat sebarang salinan ataupun secara lainnya menghasilkan semula mana-mana App Beta; atau (d) memaparkan sebarang App Beta kepada pihak ketiga yang tidak dibenarkan tanpa kebenaran Penyedia Aplikasi.
Anda bersetuju untuk menggunakan usaha yang munasabah untuk melakukan ujian beta terhadap mana-mana App Beta.
Anda mengakui bahawa anda memahami yang App Beta ialah perisian yang belum dilancarkan, alfa, atau beta dan mungkin tidak lengkap atau mungkin mengandungi ralat atau ketidaktepatan. Anda tidak harus menggunakan App Beta dalam persekitaran operasi komersial atau dengan data penting. Anda harus membuat sandaran apa-apa data sebelum menggunakan mana-mana App Beta pada peranti berjenama Apple anda. Apple mahupun Penyedia Aplikasi tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kos, perbelanjaan atau liabiliti lain yang mungkin dikenakan terhadap anda akibat daripada penggunaan mana-mana App Beta, termasuk tetapi tidak terhad kepada apa-apa kerosakan atau kehilangan sebarang perisian, maklumat atau data. Selanjutnya, App Beta mungkin tidak serasi dengan App pengeluaran. Jika anda mempunyai versi pengeluaran App Beta yang telah dipasang pada peranti berjenama Apple anda, anda harus membuat sandaran mana-mana data yang berkaitan dengan aplikasi tersebut sebelum memasang versi beta kerana data mungkin rosak atau hilang dalam versi-versi berbeza antara aplikasi yang sama. Anda dengan jelas mengakui dan bersetuju bahawa apa-apa kegunaan App Beta dilakukan sepenuhnya atas risiko anda sendiri.
Selain itu, jika anda mempunyai versi penuh aplikasi yang dipasang pada peranti anda dan anda memasang App Beta yang sama, data aplikasi anda mungkin rosak atau hilang dan mungkin tidak boleh diperoleh semula. Anda harus membuat sandaran maklumat anda sebelum memasang App Beta. Hanya untuk tujuan menguji App Beta dan hanya untuk tempoh ujian sedemikian, sebarang pembelian dalam aplikasi yang dibuat dalam App Beta akan disediakan kepada anda tanpa sebarang kos dan pembelian tersebut tidak akan dicaj kepada Akaun anda. Jika anda membeli atau memuat turun Aplikasi daripada App Store, data anda mungkin tidak kekal tersedia daripada dalam versi penuh. Kami mengesyorkan anda untuk menyandarkan data anda sebelum memadam App Beta atau membeli versi penuh daripada App Store.
App Beta yang disediakan oleh Apple dan/atau pembangun pihak ketiga mungkin tidak tersedia dalam semua bahasa atau di semua negara, dan Apple tidak membuat apa-apa representasi bahawa App Beta adalah sesuai atau tersedia untuk digunakan di mana-mana lokasi tertentu. Setakat mana anda memilih untuk mengakses dan menggunakan App Beta melalui TestFlight, anda melakukan demikian atas inisiatif anda sendiri dan bertanggungjawab untuk mematuhi mana-mana undang-undang yang berkenaan. App Beta bersifat masa terhad dan TestFlight mungkin menukar, mengehadkan atau menghentikan akses kepada App Beta pada bila-bila masa tanpa notis atau liabiliti kepada anda. Anda selanjutnya memahami dan bersetuju bahawa maklumat tertentu tentang App Beta yang dimuat turun melalui TestFlight mungkin tidak tersedia kepada anda sebelum memuat turun, termasuk tanpa batasan penarafan usia App Beta, keperluan perkakasan minimum dan ketersediaan item yang tersedia untuk pembelian dalam App Beta (contohnya, pembelian dalam aplikasi). Dengan memuat turun App Beta, anda bersetuju untuk menggunakan App Beta tanpa maklumat dan pendedahan sedemikian.
Anda mengakui dan bersetuju bahawa anda tidak akan dibayar untuk menilai mana-mana App Beta atau untuk sebarang Input Beta dan anda akan menanggung semua kos anda sendiri daripada penggunaan TestFlight dan mana-mana App Beta (contohnya, pembawa mudah alih dan kos data). Selanjutnya, anda dengan ini mengakui dan bersetuju bahawa kandungan yang terkandung dalam, dan penggunaan anda terhadap mana-mana App Beta yang belum tersedia secara awam akan dianggap sulit kecuali jika Penyedia Aplikasi secara nyata membenarkan pendedahan awam. Anda bersetuju untuk tidak menyebarkan App Beta dan untuk menganggapnya sebagai rahsia. Contohnya, tidak mengongsi aplikasi tersebut dengan orang lain yang tidak memasang App Beta.
Jika anda mempunyai aduan tentang App Beta, anda harus mengajukannya terus kepada Penyedia Aplikasi. Anda mengakui dan bersetuju bahawa Penyedia Aplikasi, bukan Apple, yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk mana-mana App Beta, melainkan Apple ialah pemberi lesen App Beta tersebut.
Data Ujian Beta dan Maklum Balas Beta
Apabila anda menggunakan App Beta melalui TestFlight, Apple dan Penyedia Aplikasi akan mengumpul log kerosakan dan data penggunaan ("Data Ujian Beta") secara automatik dan anda tidak boleh memilih keluar daripada pengumpulan Data Ujian Beta.
TestFlight juga akan memberikan anda keupayaan untuk menghantar maklum balas bertulis atau visual (contohnya, tangkapan skrin dan komen) mengenai App Beta kepada Apple dan/atau Penyedia Aplikasi ("Maklum Balas Beta"). Jika anda mengemukakan Maklum Balas Beta, anda mengakui dan bersetuju bahawa anda berbuat demikian atas inisiatif anda sendiri dan bahawa Penyedia Aplikasi (termasuk Apple, jika ia App Beta Apple) berhak untuk menggunakan Maklum Balas Beta anda seperti yang dinyatakan di bawah. Anda membuat representasi kepada Penyedia Aplikasi bahawa anda memiliki semua hak yang perlu untuk memberikan Maklum Balas Beta dan memberikan hak tersebut kepada Penyedia Aplikasi.
Penyedia Aplikasi boleh menggunakan Data Ujian Beta dan Maklum Balas Beta untuk memperbaiki App mereka dan produk berkaitan, dan boleh menghubungi anda mengenai penggunaan App Beta mereka. Penggunaan Data Ujian Beta dan Maklum Balas Beta oleh Penyedia Aplikasi tertakluk pada batasan dan keperluan yang ditetapkan oleh Apple dalam Perjanjian Lesen Program Pembangun Apple dan Dasar Privasi Penyedia Aplikasi. Apple boleh menggunakan Data Ujian Beta untuk memperbaiki produk dan perkhidmatannya.
Data Ujian Beta dan Maklum Balas Beta mungkin termasuk maklumat yang boleh mengenal pasti anda secara peribadi. Ini merangkumi tangkapan skrin yang anda serahkan, seperti tangkapan skrin yang mengandungi foto, imej dan paparan diri anda, dan maklumat mengenai peranti anda, termasuk tetapi tidak terhad kepada pelbagai pengecam peranti unik, spesifikasi sistem perkakasan dan operasi, statistik prestasi dan data mengenai cara anda menggunakan peranti, sistem dan perisian aplikasi anda, maklumat rangkaian dan peranti persisian. Apabila anda menggunakan TestFlight dan App Beta, butiran akan diberikan mengenai data yang dihantar kepada Apple dan Penyedia Aplikasi, dan cara maklumat itu boleh digunakan. Anda boleh mengetahui lebih lanjut dengan melawat https://testflight.apple.com/#privacy-data . Pada setiap masa, Apple akan mengendalikan maklumat anda mengikut Dasar Privasi kami yang boleh dilihat di https://www.apple.com/legal/privacy.
Apple komited terhadap kepelbagaian dan penyediaan pengalaman yang selamat dan bebas gangguan untuk semua orang. Maklum Balas Beta hendaklah dikemukakan dalam cara yang menghormati orang lain dan tidak boleh menyertakan penulisan, imej atau tangkapan skrin yang menyakitkan hati, berniat jahat atau menghina.
TIADA WARANTI
ANDA SECARA NYATA MENGAKUI DAN BERSETUJU BAHAWA PENGGUNAAN TESTFLIGHT DAN MANA-MANA APP BETA YANG DIPEROLEH MELALUI TESTFLIGHT ADALAH SEPENUHNYA ATAS RISIKO ANDA SENDIRI DAN BAHAWA SELURUH RISIKO BERKENAAN KEPUASAN KUALITI, PRESTASI, KETEPATAN DAN USAHA ADALAH ATAS ANDA. APP BETA MUNGKIN MENGANDUNGI RALAT PERISIAN, PERKHIDMATAN DAN RALAT LAIN, DAN PENGGUNAAN TESTFLIGHT DAN/ATAU APP BETA YANG DIIMUAT TURUN MELALUI TESTFLIGHT OLEH ANDA MUNGKIN TIDAK TERSEDIA SECARA BERTERUSAN, BEBAS DARIPADA RALAT, BEBAS DARIPADA VIRUS ATAU KOD HASAD LAIN DAN MUNGKIN TIDAK MENYIMPAN DATA DENGAN TEPAT ATAU SAMA SEKALI. CIRI DAN KEFUNGSIAN TESTFLIGHT DAN APP BETA YANG DIIMUAT TURUN MELALUI TESTFLIGHT ADALAH TERTAKLUK PADA PERUBAHAN DAN MUNGKIN TIDAK TERSEDIA KEPADA ANDA PADA BILA-BILA MASA DENGAN ATAU TANPA NOTIS. SEHINGGA KE TAHAP MAKSIMUM YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG BERKENAAN, TESTFLIGHT, APP BETA YANG DIPEROLEH MELALUI TESTFLIGHT, DAN SEBARANG PERKHIDMATAN YANG DILAKSANAKAN ATAU DIBEKALKAN OLEH TESTFLIGHT DAN/ATAU APP BETA SEDEMIKIAN DISEDIAKAN “SEPERTI ADANYA” DAN “SEPERTI TERSEDIA”, DENGAN SEMUA KESILAPAN DAN TANPA SEBARANG WARANTI DALAM APA JUA BENTUK, DAN APPLE DAN PENYEDIA APLIKASI DENGAN INI MENAFIKAN SEMUA WARANTI DAN SYARAT YANG BERKENAAN DENGAN TESTFLIGHT, APP BETA DAN SEBARANG PERKHIDMATAN, SAMA ADA NYATA, TERSIRAT ATAU STATUTORI, TERMASUK, TETAPI TIDAK TERHAD KEPADA, WARANTI YANG TERSIRAT DAN/ATAU SYARAT KEBOLEHDAGANGAN, BAGI KUALITI MEMUASKAN, BAGI KESESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU, BAGI KETEPATAN, BAGI KENIKMATAN AMAN, DAN BAGI TIADA PELANGGARAN HAK PIHAK KETIGA. APPLE DAN PENYEDIA APLIKASI TIDAK MENJAMIN BAHAWA KENIKMATAN ANDA TERHADAP TESTFLIGHT DAN/ATAU APP BETA ADALAH BEBAS GANGGUAN, BAHAWA FUNGSI YANG TERKANDUNG DALAM ATAU PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN OLEH TESTFLIGHT DAN/ATAU APP BETA AKAN MEMENUHI KEPERLUAN ANDA, BAHAWA PENGENDALIAN APP BETA ATAU TESTFLIGHT ADALAH BEBAS GANGGUAN ATAU BEBAS RALAT, ATAU BAHAWA KECACATAN PADA APP BETA ATAU TESTFLIGHT AKAN DIBETULKAN. TIADA MAKLUMAT ATAU NASIHAT LISAN ATAU BERTULIS YANG DIBERIKAN OLEH PENYEDIA APLIKASI ATAU WAKIL SAHNYA AKAN MEWUJUDKAN WARANTI. SEKIRANYA APP BETA ATAU TESTFLIGHT DIBUKTIKAN ROSAK, ANDA MENANGGUNG SELURUH KOS BAGI SEMUA PENYELENGGARAAN, PEMBAIKAN ATAU PEMBETULAN YANG PERLU. SESETENGAH BIDANG KUASA TIDAK MEMBENARKAN PENGECUALIAN WARANTI ATAU BATASAN TERSIRAT TERHADAP HAK STATUTORI PENGGUNA YANG BERKENAAN, OLEH ITU PENGECUALIAN DAN BATASAN DI ATAS MUNGKIN TIDAK TERPAKAI KEPADA ANDA.
Penamatan
Untuk menamatkan penyertaan anda dalam pengujian beta terhadap App Beta tertentu, padamkan App Beta daripada peranti anda. Pemadaman App Beta daripada peranti anda juga akan memadam sebarang data yang anda janakan dalam App Beta tersebut, dan mungkin memadam sebarang data yang diwujudkan dalam versi penuh App yang dipasang sebelumnya. Pemadaman App Beta tidak akan memadam Data Ujian Beta atau Input Beta yang anda, TestFlight atau App Beta telah bekalkan kepada Penyedia Aplikasi dan Apple. Untuk meminta pemadaman maklumat peribadi anda, hubungi Penyedia Aplikasi atau Apple secara langsung. Apple dan/atau Penyedia Aplikasi berhak untuk menamatkan penyertaan anda dalam ujian beta bagi mana-mana App Beta pada bila-bila masa, mengikut budi bicara mereka sendiri. Contohnya, penamatan ini mungkin berlaku jika anda memberikan Maklum Balas Beta yang mengandungi imej yang menyinggung dan tidak sesuai kepada Penyedia Aplikasi.
21/06/2023