Analitis & Privasi Perlindungan Data Lanjutan

Apabila anda mendayakan Perlindungan Data Lanjutan, Apple mengumpul maklumat terhad berkaitan penggunaan ciri anda dan maklumat tentang pemulihan akaun. Maklumat ini dikaitkan dengan Apple ID anda dan digunakan untuk meningkatkan ciri serta untuk memastikan kebolehpercayaan akaun dan proses pemulihan data.
 

Perlindungan Data Lanjutan menggunakan penyulitan hujung ke hujung untuk menyediakan tahap keselamatan data awan Apple yang tertinggi dan direka bentuk untuk melindungi maklumat anda.

Privacy Icon

  • Perlindungan Data Lanjutan menggunakan penyulitan hujung ke hujung untuk memastikan yang kebanyakan data iCloud anda hanya boleh dinyahsulitkan daripada peranti dipercayai anda.
  • Anda mesti menyediakan kunci pemulihan dan/atau satu atau lebih kenalan pemulihan untuk mendayakan Perlindungan Data Lanjutan. Disebabkan Apple tidak mempunyai kunci yang diperlukan untuk memulihkan data anda, hanya kaedah pemulihan akaun anda boleh membantu anda mendapatkan data anda kembali jika anda kehilangan akses.
  • Disebabkan kepentingan pemulihan data, jika anda mendayakan Perlindungan Data Lanjutan, Apple mengumpul maklumat terhad tentang penggunaan ciri anda, interaksi anda dengan kaedah pemulihan akaun dan maklumat tentang cara kunci penyulitan anda dikendalikan untuk meningkatkan serta memastikan kebolehpercayaan akaun dan proses pemulihan data.

Kami berusaha keras untuk hanya mengumpulkan data yang kami perlukan untuk menjadikan pengalaman anda lebih baik. Apabila kami mengumpulkan data, kami percaya penting untuk anda mengetahui perkara yang kami kumpulkan dan sebab kami memerlukannya, supaya anda boleh membuat pilihan termaklum. Perlindungan Data Lanjutan, seperti setiap produk dan perkhidmatan Apple, direka bentuk berpandukan prinsip ini.

Perlindungan Data Lanjutan untuk iCloud ialah seting pilihan yang menawarkan tahap keselamatan data awan Apple yang tertinggi dengan menawarkan penyulitan hujung ke hujung untuk majoriti data iCloud anda. Walaupun iCloud sedang melindungi kategori data sensitif dengan penyulitan hujung ke hujung, termasuk kata laluan, Rantai Kunci iCloud dan data Kesihatan, Perlindungan Data Lanjutan mengembangkan kategori data yang dilindungi oleh penyulitan hujung ke hujung dengan menyertakan kategori tambahan, termasuk Sandaran iCloud, Nota, Foto serta banyak lagi.

Apabila Perlindungan Data Lanjutan didayakan, Apple tidak mempunyai kunci penyulitan yang diperlukan untuk membantu anda memulihkan data disulitkan hujung ke hujung anda. Jika anda kehilangan akses kepada akaun, anda perlu menggunakan salah kaedah pemulihan akaun anda — kod laluan atau kata laluan peranti anda, kenalan pemulihan atau kunci pemulihan anda — yang tidak diketahui Apple, untuk memulihkan data iCloud anda. Oleh sebab majoriti data iCloud anda akan dilindungi oleh penyulitan hujung ke hujung, anda akan dibimbing untuk menyediakan sekurang-kurangnya seorang kenalan pemulihan atau satu kunci pemulihan sebelum anda mengaktifkan Perlindungan Data Lanjutan.

Untuk meningkatkan dan memastikan kebolehpercayaan proses pemulihan akaun serta data, Apple mengumpulkan maklumat terhad tertentu yang berkaitan dengan Apple ID anda apabila anda mendayakan Perlindungan Data Lanjutan, termasuk:

  • Kadar kejayaan atau kegagalan daripada mendayakan atau menyahdayakan Perlindungan Data Lanjutan.
  • Perjalanan dan kekerapan anda berjaya atau menghadapi isu semasa mendaftar masuk ke Apple ID, menyediakan peranti baharu menggunakan peranti lain yang sudah anda miliki secara dekat, mengemas kini seting Apple ID anda dan mengesahkan ke akaun anda untuk mengakses data anda.
  • Peristiwa yang merekodkan prestasi dan kebolehpercayaan penciptaan serta penggunaan kenalan pemulihan anda, termasuk interaksi anda dengan proses kenalan pemulihan semasa menetapkan kenalan pemulihan dan semasa menggunakan kenalan pemulihan untuk memulihkan akses kepada data anda. Apple tidak mengetahui atau mempunyai akses kepada kenalan pemulihan anda.
  • Peristiwa yang merekodkan prestasi dan kebolehpercayaan penciptaan serta penggunaan kunci pemulihan anda, termasuk interaksi anda dengan proses penciptaan kunci pemulihan dan peristiwa yang dikaitkan dengan proses apabila anda menggunakan kunci pemulihan anda untuk memulihkan akses kepada data anda. Apple tidak mengetahui atau mempunyai akses kepada kunci pemulihan anda.
  • Peristiwa yang merekodkan prestasi dan kebolehpercayaan penggunaan kod laluan atau kata laluan peranti anda untuk memulihkan akses kepada data anda, termasuk kekerapan anda berjaya atau menghadapi isu apabila cuba memulihkan data menggunakan pengetahuan kod laluan anda dan perjalanan serta interaksi anda dengan proses pemulihan apabila menggunakan kod laluan anda sebagai kaedah pemulihan. Apple tidak mengetahui atau mempunyai akses kepada kod laluan atau kata laluan peranti anda.
  • Data tentang cara kunci penyulitan diurus pada peranti anda apabila anda mendayakan atau menyahdayakan Perlindungan Kunci Lanjutan, termasuk kekerapan kunci penyulitan digunakan semula dan peristiwa yang berkaitan dengan proses mereset serta memadamkan semua data iCloud anda untuk menentukan kesan pemulihan akaun dan data yang gagal.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang yang berkenaan.

Pengekalan

Apple mengekalkan data peribadi hanya setakat yang perlu untuk memenuhi tujuan yang data tersebut dikumpulkan, termasuk seperti yang diterangkan dalam notis ini dan selaras dengan Dasar Privasi Apple atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang. Apabila menilai tempoh pengekalan, kami mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sama ada perlu mengekalkan data peribadi yang dikumpulkan, jika pengekalan diperlukan, berusaha untuk mengekalkan data peribadi bagi tempoh sah paling singkat yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023