Pengiklanan Apple & Privasi

Pengiklanan dihantar Apple membantu orang ramai menemui app, produk dan perkhidmatan sambil menghormati privasi pengguna. Platform pengiklanan Apple direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan memberikan anda kawalan tentang cara kami menggunakan maklumat anda. Platform pengiklanan kami tidak berkongsi data peribadi dengan pihak ketiga.

Iklan yang disiarkan oleh platform pengiklanan Apple mungkin dipaparkan pada app App Store, Apple News, Saham dan Apple TV. Platform pengiklanan Apple tidak menjejaki anda, bermaksud ia tidak mengaitkan data pengguna atau peranti yang dikumpulkan daripada app kami dengan data pengguna atau peranti yang dikumpulkan daripada pihak ketiga untuk tujuan pengiklanan disasarkan atau ukuran pengiklanan dan tidak berkongsi data pengguna atau peranti dengan broker data.

Maklumat Kontekstual

Maklumat kontekstual boleh digunakan untuk menyiarkan iklan kepada anda, seperti:

  • Maklumat Peranti: Seting bahasa papan kekunci, jenis peranti, versi OS dan jenis sambungan anda.
  • Lokasi Peranti: Jika Perkhidmatan Lokasi diaktifkan dan anda telah memberikan keizinan kepada app App Store, Apple News atau Apple TV untuk mengakses lokasi anda, lokasi anggaran anda boleh digunakan untuk menyiarkan iklan dengan perkaitan geografi kepada anda. Platform pengiklanan Apple tidak membina profil daripada lokasi anda dan tidak menggunakan atau menyimpan lokasi tepat anda walaupun anda membenarkan app mengakses lokasi tepat anda. Untuk mengakses seting ini, pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi.
  • App Store: Pertanyaan anda apabila anda melakukan carian dan maklumat tentang halaman yang sedang anda lihat boleh digunakan untuk menyiarkan iklan yang berkaitan kepada anda.
  • Apple News dan Saham: Jenis cerita yang anda baca mungkin digunakan untuk memilih iklan yang bersesuaian.

Segmen

Kami mencipta segmen untuk menyiarkan iklan diperibadikan pada App Store, Apple News dan Saham. Segmen ialah kumpulan orang yang berkongsi sifat yang serupa. Maklumat tentang anda mungkin digunakan untuk menentukan segmen yang ditetapkan pada anda dan dengan itu, iklan yang anda terima. Untuk melindungi privasi anda, iklan diperibadikan akan disiarkan hanya jika lebih daripada 5,000 orang memenuhi kriteria penyasaran yang dipilih oleh pengiklan.

Kami mungkin menggunakan maklumat seperti berikut untuk menetapkan anda kepada segmen:

  • Maklumat Akaun: Nama, alamat, umur, jantina dan peranti anda yang didaftarkan kepada akaun Apple ID anda. Maklumat seperti nama pertama anda dalam halaman pendaftaran Apple ID anda atau gelaran dalam akaun Apple ID anda boleh digunakan untuk menentukan jantina anda. Anda boleh mengemas kini maklumat akaun anda di tapak web Apple ID.
  • Muat Turun, Pembelian & Langganan: Muzik, filem, buku, rancangan TV dan app yang anda muat turun serta sebarang pembelian in-app dan langganan. Kami tidak membenarkan penyasaran berdasarkan muat turun app khusus atau pembelian dalam app khusus (termasuk langganan) daripada App Store, melainkan penyasaran dilakukan oleh pembangun app tersebut.
  • Apple News dan Saham: Topik dan kategori cerita yang anda baca serta penerbitan yang anda ikuti, langgan atau aktifkan pemberitahuan.
  • Pengiklanan: Interaksi anda dengan iklan yang disiarkan oleh platform pengiklanan Apple.

Semasa memilih iklan untuk dipaparkan daripada berbilang iklan yang anda layak, kami mungkin menggunakan sesetengah maklumat yang disebutkan di atas, serta carian dan aktiviti pelayaran App Store anda, untuk menentukan iklan yang berkemungkinan paling berkaitan untuk anda. Aktiviti pelayaran App Store termasuk kandungan dan app yang anda ketik serta lihat semasa melayari App Store. Maklumat ini diagregatkan merentas pengguna supaya ia tidak mengenal pasti anda. Kami juga boleh menggunakan pemprosesan setempat pada peranti untuk memilih iklan bagi dipaparkan, menggunakan maklumat yang disimpan pada peranti anda, seperti app yang kerap anda buka.

Platform pengiklanan Apple menerima maklumat tentang iklan yang anda ketik dan lihat daripada pengecam rawak yang tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.

Apple tidak berkongsi sebarang data peribadi dengan pihak ketiga. Kami menyediakan data bukan peribadi tertentu kepada pengiklan dan rakan kongsi strategik kami yang bekerjasama dengan Apple untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kami, membantu Apple memasarkan kepada pelanggan dan menjual iklan mewakili Apple. Transaksi Apple Pay atau data app Kesihatan tidak boleh diakses untuk platform pengiklanan Apple atau digunakan untuk tujuan pengiklanan. Apple tidak mengetahui atau menjadikan maklumat tentang orientasi seksual, kepercayaan keagamaan atau persekutuan politik anda tersedia untuk pengiklan.

Keutamaan Pengiklanan

Perihal Iklan Ini
Untuk memahami sebab iklan tertentu dipaparkan kepada anda pada App Store, Apple News atau Saham, ketik butang Iklan pada iklan. Ini akan menunjukkan segmen dan data lain, seperti maklumat demografi, yang digunakan untuk menentukan iklan yang anda terima.

Maklumat Penyasaran Iklan
Untuk melihat maklumat tentang anda yang mungkin digunakan untuk menyiarkan iklan disasarkan oleh platform pengiklanan Apple, termasuk segmen yang anda berada.

Untuk melihat maklumat ini pada peranti iOS atau iPadOS anda, pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple dan ketik Lihat Maklumat Penyasaran Iklan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Privasi, klik Pengiklanan Apple, kemudian klik Lihat Maklumat Penyasaran Iklan.

Jika anda berpendapat maklumat tentang anda tidak tepat, anda boleh mengemas kini maklumat akaun Apple ID anda.

Iklan Berdasarkan Lokasi
Jika anda membenarkan app App Store, Apple News atau Apple TV untuk mengakses lokasi anda, platform pengiklanan Apple mungkin menggunakan anggaran lokasi semasa peranti anda untuk memberi anda iklan disasarkan secara geografi.

Anda boleh menarik diri daripada fungsi app berdasarkan lokasi termasuk pengiklanan. Pada peranti iOS atau iPadOS anda, pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi dan sama ada nyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi atau setkan keizinan app App Store, Apple News atau Apple TV kepada Jangan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Privasi, klik Perkhidmatan Lokasi dan nyahaktifkan Dayakan Perkhidmatan Lokasi atau nyahaktifkan keizinan lokasi untuk News atau TV. Pada tvOS, pergi ke Seting > Umum > Privasi > Perkhidmatan Lokasi dan nyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi atau setkan keizinan app Apple TV kepada Jangan.

Platform pengiklanan Apple tidak menerima maklumat berdasarkan lokasi apabila anda menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi pada peranti anda.

Iklan Diperibadikan
Jika anda mengaktifkan Iklan Diperibadikan, platform pengiklanan Apple boleh menggunakan maklumat anda untuk menyiarkan iklan yang lebih berkaitan dengan anda pada App Store, Apple News dan Saham. Menyahaktifkan Iklan Diperibadikan akan menghalang Apple daripada menggunakan maklumat ini untuk pemeribadian iklan. Ini mungkin tidak mengurangkan bilangan iklan yang anda terima, tetapi iklan mungkin kurang berkaitan dengan anda.

Anda boleh menyahaktifkan Iklan Diperibadikan pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple dan mengetik untuk menyahaktifkan Iklan Diperibadikan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Privasi, klik Pengiklanan Apple dan nyahpilih Iklan Diperibadikan. Pilihan Iklan Diperibadikan mungkin tidak tersedia jika anda di bawah umur, mempunyai akaun terurus atau berada di lokasi yang Apple tidak menyiarkan pengiklanan kepada appnya.

Mencegah Penipuan dan Aktiviti Berniat Jahat Lain

Untuk membantu mengenal pasti dan mencegah penipuan serta aktiviti berniat jahat lain dalam iklan, platform pengiklanan Apple mungkin menggunakan maklumat tentang carian anda pada App Store, iklan yang anda lihat dan ketik, serta app yang anda beli dan muat turun daripada iklan. Maklumat ini dikumpulkan daripada pengecam rawak yang tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 6 April 2023