Apple Books & Privasi

Apple mengumpul data penggunaan buku, tidak dikaitkan dengan Apple ID anda, untuk meningkatkan dan memperibadikan Apple Books. Carian, pelayaran, pembelian dan skor kepercayaan peranti anda mungkin digunakan untuk memperibadikan pengalaman anda, menghantar pemberitahuan kepada anda termasuk bagi pemasaran Apple, meningkatkan kedai serta mencegah penipuan.
 

Apple Books direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • Kami mengumpulkan data peribadi anda supaya kami dapat menyediakan kepada anda kandungan yang anda beli, muat turun atau mahu kemas kini dalam App Store dan kedai dalam talian Apple lain.
  • Kami juga menggunakan maklumat tentang akaun, pembelian dan muat turun anda dalam kedai untuk menawarkan pengiklanan bagi memastikan Iklan dalam App Store, Apple News dan Saham, jika tersedia, adalah berkaitan dengan anda. Anda mempunyai pilihan berhubung dengan pengiklanan ini, seperti yang diterangkan di bawah.
  • Kami menggunakan maklumat tentang pembelian dan muat turun anda dalam kedai, serta aktiviti anda yang lain dalam Apple Books untuk memperibadikan ciri, menawarkan pengesyoran yang diperibadikan dan menghantar pemberitahuan kepada anda, termasuk bagi pemasaran Apple. Anda boleh menarik diri daripada penggunaan data ini untuk tujuan ini, seperti yang diterangkan di bawah. Kami mengumpulkan data bukan peribadi tentang interaksi pengguna dengan buku untuk meningkatkan Apple Books bagi pengguna kami.
  • Untuk membantu mengecam dan mencegah penipuan, maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk bilangan anggaran panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar dan terima, akan digunakan untuk mengira skor kepercayaan peranti apabila anda cuba membeli. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai sebenar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.
  • Untuk mencari cara meningkatkan kedai, kami menggunakan maklumat tentang pelayaran, pembelian, carian dan muat turun anda. Rekod ini disimpan bersama alamat IP, pengecam unik rawak (jika wujud) dan Apple ID apabila anda didaftar masuk ke App Store atau kedai dalam talian Apple yang lain.

Melindungi privasi dan keselamatan maklumat anda ialah keutamaan semua orang di Apple. Kami berusaha keras untuk hanya mengumpulkan data yang kami perlukan untuk menjadikan pengalaman anda lebih baik. Apabila kami mengumpulkan data, kami percaya penting untuk anda mengetahui perkara yang kami kumpulkan dan sebab kami memerlukannya, supaya anda boleh membuat pilihan termaklum. Apple Books, seperti setiap produk dan perkhidmatan Apple, direka bentuk berpandukan prinsip ini.

Menyediakan Kedai

Kami menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan perkhidmatan dan ciri dalam App Store serta kedai dalam talian Apple lain, termasuk iTunes Store dan Apple Books. Maklumat ini termasuk, contohnya, maklumat akaun dan bayaran anda, yang boleh anda akses dan tukar dalam seting serta sejarah pembelian dan muat turun anda.

Apabila anda memuat turun kandungan daripada Apple Books, pengecam seperti ID perkakasan dan alamat IP peranti anda dilog oleh Apple bersama-sama Apple ID anda.

Untuk kemudahan anda, Apple Books menyelaraskan penanda buku, nota dan koleksi anda merentasi peranti dan komputer didaftarkan masuk anda. Maklumat ini disimpan secara berkaitan dengan Apple ID anda.

Meningkatkan Kedai

Untuk meningkatkan pengalaman dalam App Store dan kedai dalam talian Apple yang lain, kami mengumpulkan maklumat tentang penggunaan Apple Books oleh anda, termasuk masa anda membuka atau menutup kedai, kandungan yang anda cari, kandungan yang anda lihat serta muat turun dan interaksi anda dengan pemberitahuan. Kami juga mengumpulkan maklumat tentang peranti anda seperti jenis peranti, versi sistem pengendalian anda dan jumlah ruang kosong pada peranti anda. Kami mungkin menggunakan maklumat ini untuk menilai sama ada kandungan yang diminta boleh dimuat turun, memahami aliran umum dalam penggunaan storan peranti dan sama ada peranti anda disambungkan melalui Wi‑Fi atau selular. Perkara yang anda cari juga memudahkan kami menawarkan carian popular.

Kami mengumpulkan interaksi pengguna dengan buku untuk memahami interaksi pengguna, mengutamakan ciri dan memahami aktiviti membaca agregat. Maklumat ini dikaitkan dengan pengecam unik rawak untuk setiap pengguna dan setiap buku supaya Apple tidak mengetahui aktiviti membaca pengguna tertentu. Untuk buku yang dimuat turun daripada Apple Books, penggunaan diagregatkan merentas pengguna secara berkaitan dengan maklumat tentang buku, seperti genre. Untuk buku atau dokumen lain yang tidak dimuat turun daripada Apple Books, kami mengumpul format fail tetapi bukan maklumat tentang kandungan buku.

Kami menggunakan iCloud untuk menyelaraskan pengecam menggunakan penyulitan hujung ke hujung untuk aktiviti penggunaan buku merentas peranti anda yang didaftar masuk ke iCloud. Untuk mereset pengecam ini pada iOS, pergi ke Seting > Buku dan ketik untuk mengaktifkan Reset Pengecam.

Memperibadikan Kedai

Kami menggunakan interaksi anda dengan Apple Books untuk membantu anda menemui kandungan yang paling berkaitan dengan anda. Contohnya, mengetahui kandungan yang anda lihat atau muat turun membolehkan kami menawarkan ciri yang diperibadikan seperti Lebih Banyak Buku Yang Mungkin Anda Suka. Kami mengesyorkan kandungan yang kami berpendapat akan diminati oleh anda berdasarkan perkara yang telah anda cari, lihat, muat turun, kemas kini, ulas atau tambahkan ke Senarai Ingin Baca anda. Kami juga menggunakan aktiviti membaca anda, seperti kemajuan anda dalam buku, untuk menjana pengesyoran yang lebih berkaitan. Aktiviti membaca ini tidak dikaitkan dengan Apple ID anda. Kami menggunakan sejarah pembelian dan kaedah bayaran anda bersama maklumat akaun yang diperoleh daripada Apple ID anda. Anda boleh menyahaktifkan ciri pemeribadian dalam App Store, Apple Books, iTunes Store, Apple TV, Podcast dan untuk langganan daripada Apple dengan menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan bagi Apple ID anda. Pada peranti iOS dan iPadOS, pergi ke Seting > [nama anda] > Media & Pembelian, ketik Lihat Akaun dan kemudian ketik untuk menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan.

Siri mencadangkan kandungan yang mungkin anda suka berdasarkan pemprosesan maklumat pada peranti yang diperoleh daripada app yang anda gunakan. Maklumat ini tidak dihantar kepada Apple. Anda boleh menyahdayakan ini pada bila-bila masa pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > Buku > Siri & Carian dan mengetik untuk menyahaktifkan Tunjukkan dalam App.

Berkomunikasi dengan Anda

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki dan langganan anda kepada perkhidmatan Apple, untuk berkomunikasi dengan anda tentang Apple Books dan produk, perkhidmatan, serta tawaran lain Apple yang mungkin menarik minat anda. Apple juga mungkin menggunakan maklumat tentang aktiviti anda dalam Apple Books untuk menghantar komunikasi kepada anda tentang ciri baharu, kandungan dan tawaran yang tersedia pada Apple Books.

Anda mungkin menerima komunikasi ini melalui e-mel, jika anda bersetuju menerima pemasaran e-mel. Anda boleh menukar keutamaan e-mel anda dan menarik diri daripada menerima e-mel ini dengan pergi ke appleid.apple.com/my atau pada peranti iOS atau iPadOS dengan pergi ke Seting > [nama anda] > Nama, Nombor Telefon, E-mel. Anda juga mungkin menerima komunikasi ini melalui pemberitahuan push. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan anda atau menarik diri daripada pemberitahuan pada peranti iOS dan iPadOS, pergi ke Seting > Pemberitahuan > Buku.

Pengiklanan

Pengiklanan dihantar Apple membantu orang menemui app, produk dan perkhidmatan pada App Store, Apple News dan Saham. Kami menggunakan maklumat tentang peranti, akaun, pembelian, langganan dan muat turun anda untuk memastikan bahawa iklan adalah berkaitan. Apabila anda mencari di App Store, kami turut menggunakan istilah carian anda. Kami mencipta kumpulan orang, yang dipanggil segmen, yang berkongsi sifat yang serupa dan menggunakan kumpulan ini untuk menyiarkan iklan yang disasarkan. Maklumat tentang anda digunakan untuk menentukan segmen yang ditetapkan pada anda dan dengan itu, iklan yang anda terima. Untuk melindungi privasi anda, iklan disasarkan akan disiarkan hanya jika lebih daripada 5,000 orang menepati kriteria disasarkan. Maklumat yang digunakan untuk menentukan iklan yang berkaitan dengan anda dikaitkan dengan pengecam rawak dan tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.

Jika seting Iklan Diperibadikan diaktifkan, platform pengiklanan Apple mungkin menggunakan maklumat anda untuk memberikan iklan yang lebih berkaitan kepada anda. Jika anda tidak mahu menerima iklan yang disasarkan pada minat anda daripada platform pengiklanan Apple, anda boleh memilih untuk menyahaktifkan Iklan Diperibadikan. Menyahaktifkan Iklan Diperibadikan akan menghalang Apple daripada menggunakan maklumat anda untuk penyasaran iklan. Ini mungkin tidak mengurangkan bilangan iklan yang anda terima, tetapi iklan mungkin kurang berkaitan kepada anda.

Ketahui lebih lanjut tentang Pengiklanan Apple & Privasi di www.apple.com/legal/privacy/data/ms/apple-advertising.

Ketahui cara menarik diri daripada iklan diperibadikan pada App Store, Apple News dan Saham di support.apple.com/kb/HT202074.

Perkongsian dengan Pihak Ketiga

Kami berkewajipan untuk memberi sedikit data bukan peribadi tentang pembelian kandungan anda kepada rakan kongsi strategik yang bekerjasama dengan Apple untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kami, membantu Apple memasarkan kepada pelanggan dan menjual iklan mewakili Apple untuk dipaparkan dalam App Store dan Apple News serta Saham. Contohnya, kami mungkin berkongsi data bukan peribadi dengan pemilik kandungan, supaya mereka boleh mengukur prestasi karya kreatif mereka, memenuhi keperluan royalti dan perakaunan serta meningkatkan produk dan perkhidmatan mereka.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam app Buku umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses kategori data peribadi berikut mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga, termasuk maklumat tentang:

  • Penggunaan app Buku oleh anda, termasuk ciri yang anda gunakan (contohnya, perkara yang anda tambahkan ke senarai Ingin Baca anda), kandungan yang anda cari, kandungan yang anda lihat, ulasan anda dan interaksi anda dengan pemberitahuan
  • Akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki, langganan perkhidmatan Apple anda, serta pembelian dan muat turun anda
  • ID perkakasan dan alamat IP peranti anda

Kepentingan sah ini termasuk:

  • Mengoptimumkan dan meningkatkan perkhidmatan untuk anda dan orang lain
  • Membantu anda menemui kandungan yang paling berkaitan dengan anda
  • Menghantar komunikasi kepada anda tentang Apple Books dan produk, perkhidmatan, serta tawaran Apple lain yang berkaitan yang mungkin menarik minat anda
  • Menyediakan pelaporan untuk pemilik kandungan
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain

Pengekalan

Kami mengekalkan data peribadi yang dikaitkan dengan pembelian dan muat turun anda untuk tempoh yang ditentukan oleh undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan pelaporan kewangan yang berbeza-beza mengikut rantau. Untuk kebanyakan pelanggan, ini memerlukan tempoh pengekalan sekurang-kurangnya selama 10 tahun, tetapi di rantau seperti China, tempoh tersebut boleh menjadi 30 tahun. Kami juga mengekalkan rekod pembelian dan muat turun kandungan oleh anda selama sekurang-kurangnya tempoh masa anda mempunyai akaun dengan kami untuk membolehkan anda memuat turun semula kandungan tersebut selaras dengan syarat kami yang berkenaan. Kami mengekalkan maklumat lain seperti aktiviti pelayaran dan carian untuk tempoh masa yang lebih pendek, paling lazimnya dua tahun. Tempoh yang dipilih mengambil kira keperluan undang-undang yang berkenaan untuk mengekalkan data dan kes penggunaan perniagaan tertentu. Walau bagaimanapun, sesetengah maklumat, seperti pembelian, tetapi bukan butiran kad anda yang disimpan, mungkin dikekalkan sebagai rekod perniagaan walaupun selepas anda menutup akaun anda atau berhenti menggunakan Apple Books atau kedai dalam talian Apple yang lain.

Apabila anda menggunakan kad bayaran, Apple mungkin mengekalkan dan mengemas kini nombor kad serta maklumat pengebilan anda secara automatik untuk pembelian masa depan, transaksi berulang atau penggunaan lain yang anda benarkan. Apple mungkin mendapatkan maklumat ini daripada institusi kewangan atau rangkaian bayaran anda dan turut menggunakannya untuk pencegahan penipuan serta pengesahan.

Mencegah Penipuan dan Aktiviti Berniat Jahat Lain

Kami turut mengumpulkan data peribadi untuk mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain dalam Apple Books serta kedai dalam talian Apple yang lain dan app serta perkhidmatan Apple yang lain. Maklumat ini termasuk maklumat peranti, seperti jenis peranti dan versi perisian, maklumat lokasi (jika tersedia), sejarah muat turun dan pembelian serta interaksi lain dengan kedai. Apabila anda memulakan pembelian, Apple mungkin menggunakan sejarah hubungan perniagaan anda dengan Apple untuk memproses permintaan dan menentukan sama ada untuk menyediakan produk atau perkhidmatan sebelum pengesahan oleh rakan kongsi bayaran.

Kami juga mengira skor kepercayaan peranti pada peranti anda apabila anda cuba membeli menggunakan maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk bilangan anggaran panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar dan terima. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai sebenar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023