Apple Card & Privasi

Maklumat permohonan, akaun dan corak penggunaan serta seting peranti anda akan dikongsi dengan Apple, Goldman Sachs dan perkhidmatan pengesahan identiti untuk pemprosesan permohonan, pengesahan identiti dan pencegahan penipuan.
 

Apple Card direka bentuk untuk melindungi privasi dan keselamatan anda supaya anda boleh fokus pada kesihatan kewangan anda.

Privacy Icon

  • Maklumat yang anda sediakan dalam permohonan Apple Card anda akan digunakan oleh Apple dan Goldman Sachs serta akan dikongsi dengan penyedia khidmat pengesahan identiti pihak ketiga untuk mengesahkan identiti anda dan mencegah penipuan.
  • Anda mungkin mempunyai peluang untuk berkongsi maklumat dengan Goldman Sachs tentang hubungan perniagaan bersejarah anda dengan Apple sebagai sebahagian daripada permohonan anda. Serta untuk mengawal sama ada Apple boleh menggunakan maklumat tentang hubungan anda dengan Apple bagi meningkatkan Apple Card.
  • Goldman Sachs, bank pengeluar Apple Card dan Mastercard, rangkaian bayaran global Apple Card, menerima maklumat transaksi Apple Card anda, tetapi tidak berkongsi atau menjual maklumat transaksi anda kepada pihak ketiga untuk pemasaran atau pengiklanan.
  • Ciri Apple Card yang menggunakan sejarah transaksi anda, seperti ringkasan perbelanjaan, dicipta pada peranti. Apple tidak mengetahui sejarah transaksi anda.

Memohon Apple Card

Apabila anda memohon Apple Card, nama, tarikh lahir, maklumat hubungan dan nombor telefon peranti anda digunakan oleh Apple dan Goldman Sachs Bank USA, Cawangan Salt Lake City (“Goldman Sachs”) untuk mengesahkan identiti anda dan membantu mencegah penipuan. Goldman Sachs juga menggunakan maklumat ini untuk menyediakan akaun anda dan usaha wajar yang diperlukan. Goldman Sachs menggunakan penyedia khidmat pengesahan identiti pihak ketiga untuk mengesahkan nombor Keselamatan Sosial separa atau penuh dan kewarganegaraan pemilik akaun; Apple tidak membaca atau menyimpan maklumat ini.

Jika maklumat lanjut diperlukan untuk mengesahkan identiti, anda akan diminta mengimbas lesen memandu atau ID foto keluaran negeri anda. Imej ID foto anda dipindahkan secara selamat kepada penyedia khidmat pengesahan identiti pihak ketiga untuk mengesahkan identiti anda dan untuk mencegah penipuan. Apple tidak membaca atau menyimpan imej ID foto anda tetapi menerima nama dan alamat daripada ID foto anda untuk pengesahan identiti bagi mencegah penipuan permohonan Apple Card.

Anda mungkin mempunyai peluang untuk berkongsi maklumat tambahan dengan Goldman Sachs tentang transaksi dan pengalaman tertentu anda dengan Apple sebagai sebahagian daripada permohonan anda. Jika anda meminta Apple berkongsi maklumat ini, Goldman Sachs akan menggunakan maklumat ini bersama maklumat yang diperoleh daripada biro kredit dan sumber lain untuk menilai semula permohonan anda; Goldman Sachs tidak akan menggunakan maklumat ini untuk tujuan selain menilai dan memberikan kredit bagi Apple Card.

Anda juga akan diminta untuk menyediakan anggaran pendapatan tahunan anda kepada Goldman Sachs untuk membantu mereka membuat keputusan sama ada untuk memberi kredit kepada anda dan amaun kredit untuk diberikan. Apple tidak membaca atau menyimpan pendapatan tahunan anda.

Permohonan anda tidak akan dihantar kepada Goldman Sachs untuk keputusan kredit sehingga anda menerima terma dan syarat Apple Card. Jika Goldman Sachs memerlukan maklumat tambahan untuk memproses permohonan anda, maklumat tentang permohonan anda akan disimpan pada peranti anda sehingga 30 hari. Apple mengumpul tempat anda mungkin jedakan dalam proses permohonan dan Apple atau Goldman Sachs mungkin menghubungi anda untuk mengingatkan bahawa anda mempunyai permohonan yang terbuka dan untuk menawarkan bantuan.

Maklumat tentang lokasi kasar anda semasa anda menghantar permohonan anda digunakan oleh Apple dan Goldman Sachs untuk mencegah penipuan jika anda telah mendayakan Perkhidmatan Lokasi. Seperti apabila anda menambah sebarang kaedah bayaran ke Apple Pay, apabila anda memohon atau memperuntukkan Apple Card, maklumat tentang peranti anda, seperti sama ada seting peranti tertentu didayakan dan corak penggunaan peranti (contohnya, peratus masa peranti bergerak, atau anggaran bilangan panggilan setiap minggu) mungkin dihantar kepada Apple untuk pengesahan identiti dan untuk mencegah penipuan. Apple juga mungkin menerima maklumat daripada pembawa anda tentang nombor telefon permohonan anda untuk mencegah penipuan.

Anda mungkin layak untuk program Apple Card tertentu yang disediakan oleh Goldman Sachs berdasarkan maklumat yang disediakan sebagai sebahagian daripada permohonan anda. Apple mungkin tahu sama ada anda menerima jemputan untuk menyertai dan sama ada anda menerima atau menolak jemputan serta mungkin berkongsi maklumat tersebut dengan Goldman Sachs untuk digunakan dalam program. Apple tidak akan tahu butiran tambahan tentang penyertaan anda dalam program.

Memperuntukkan Apple Card

Maklumat juga mungkin diberikan oleh Apple kepada Goldman Sachs atau Mastercard untuk mendayakan dan menyediakan Apple Card anda pada Apple Pay dan untuk mencegah penipuan. Maklumat yang dikongsi tidak berbeza daripada semasa anda memperuntukkan sebarang kad dengan Apple Pay dan mungkin termasuk:

  • Nama dan alamat pengebilan yang dikaitkan dengan Apple ID anda
  • Maklumat umum tentang aktiviti akaun Apple ID, iTunes dan App Store anda (contohnya, sama ada anda mempunyai sejarah transaksi yang lama dalam iTunes)
  • Maklumat tentang peranti anda dan, jika menggunakan Apple Watch, peranti iOS berpasangan (contohnya pengecam peranti, nombor telefon dan nama serta model peranti anda)
  • Lokasi kasar pada masa anda menambah kad anda (jika anda telah mendayakan Perkhidmatan Lokasi)
  • Sejarah penambahan kad bayaran pada akaun atau peranti
  • Statistik teragregat yang berkaitan dengan maklumat daripada kad bayaran yang telah anda tambahkan atau cuba tambahkan pada Apple Pay

Untuk membantu anda menyediakan kad yang anda miliki atau pernah dimiliki baru-baru ini pada peranti lain, Apple menyimpan rujukan kad dengan akaun iCloud anda yang boleh digunakan dengan pengeluar kad atau rangkaian bayaran untuk menambah semula kad selepas memasukkan kod keselamatan. Ciri Apple Pay ini tersedia dengan Apple Card.

Membayar dengan Apple Card

Apabila anda memulakan bayaran dalam app, di web atau dalam Bual Perniagaan menggunakan Apple Card, untuk membolehkan pengiraan cukai dan kos penghantaran, kod zip, poskod anda, atau maklumat setara yang lain diberikan kepada app, tapak web, atau pedagang. Selepas anda membenarkan bayaran, maklumat lain yang diminta oleh pedagang, seperti nombor akaun khusus peranti, alamat penghantaran anda atau alamat e-mel anda turut diberikan. Pedagang boleh mengumpul dan menggunakan maklumat tentang transaksi anda secara berasingan seperti yang diterangkan dalam dasar privasi mereka, termasuk maklumat tentang lokasi anda pada masa transaksi. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara mengawal akses dan penggunaan lokasi peranti anda, lawati Perkhidmatan Lokasi & Privasi di www.apple.com/legal/privacy/data/ms/location-services.

Nombor Apple Card anda tidak diberikan apabila anda menggunakan Apple Pay. Untuk menghantar maklumat bayaran anda secara selamat dalam app, tapak web dan Bual Perniagaan, maklumat tersebut dihantar kepada Apple dalam bentuk yang disulitkan. Maklumat tersebut dinyahsulitkan buat seketika dan disulitkan semula dengan kunci khusus pedagang, supaya hanya pedagang, pembangun, atau pemproses bayaran mereka boleh menyahsulitkan maklumat bayaran anda. Apabila anda membuat bayaran pada Mac yang kad tidak boleh ditambah, Mac dan peranti pengesahan berkomunikasi melalui saluran yang disulitkan melalui pelayan Apple. Apple tidak menyimpan sebarang maklumat ini dalam bentuk yang mengenal pasti anda secara peribadi.

Apabila anda menggunakan Apple Card, bank pengeluar dan rakan kongsi rangkaian bayaran kami - Goldman Sachs dan Mastercard - dan penyedia khidmat mereka menerima maklumat tentang transaksi anda, termasuk pedagang, masa dan amaun untuk mengendalikan Apple Card. Goldman Sachs atau Mastercard tidak berkongsi atau menjual maklumat transaksi anda dengan pihak ketiga untuk pengiklanan atau pemasaran.

Apple menghantar dan menyimpan maklumat transaksi individu dalam akaun iCloud anda dan memastikan sejarah transaksi anda terkini merentas peranti anda. Transaksi anda disimpan dalam iCloud menggunakan penyulitan hujung ke hujung, yang menyediakan paras keselamatan data yang tinggi. Data anda dilindungi dengan kekunci diterbitkan daripada maklumat yang unik untuk peranti anda, digabungkan dengan kod laluan peranti anda, yang hanya anda ketahui. Peranti anda boleh mengakses atau membaca sejarah transaksi anda, tetapi Apple tidak boleh mengakses maklumat ini. Ciri Apple Card yang menggunakan sejarah transaksi anda, seperti ringkasan perbelanjaan, dicipta pada peranti.

Apple Card Keluarga

Pelanggan Apple Card boleh berkongsi Apple Card mereka dengan ahli kumpulan Perkongsian Keluarga iCloud mereka yang layak dengan menjemput ahli tersebut menjadi Pemilik Bersama atau Peserta. Status jemputan Apple Card Keluarga tersedia pada bila-bila masa dengan melihat bahagian belakang pas Apple Card dalam Wallet. Wallet akan mengisyaratkan Pemilik Bersama dan Peserta pada masa jemputan, apabila tawaran sedia untuk disemak serta apabila Pemilik Bersama atau Peserta membalas jemputan atau tawaran, untuk membantu mengurus jemputan.

Akaun Milik Bersama: Untuk menambah Pemilik Bersama, pelanggan Apple Card mesti memilih ahli kumpulan Perkongsian Keluarga layak yang mereka mahu tambahkan ke akaun mereka sebagai Pemilik Bersama. Apple akan menghantar jemputan kepada ahli kumpulan Perkongsian Keluarga yang dipilih untuk memiliki bersama dan berkongsi Apple Card penjemput. Jemputan yang tidak mempunyai akaun Apple Card pada masa ini perlu memberikan maklumat permohonan seperti yang diterangkan di atas. Pelanggan Apple Card sedia ada perlu memberikan maklumat pendapatan semasa kepada Goldman Sachs untuk membenarkan mereka menilai baris kredit Apple Card milik bersama. Disebabkan kedua-dua Pemilik Bersama akan bertanggungjawab untuk sebarang baki Apple Card sedia ada, maklumat baki sedia ada akan didedahkan sebagai sebahagian daripada syarat tawaran Apple Card milik bersama. Jika akaun milik bersama dicipta, setiap Pemilik Bersama boleh meminta akses kepada maklumat tentang transaksi bersejarah daripada akaun bersepadu dengan menghubungi Goldman Sachs; transaksi terbaharu juga akan tersedia pada peranti. Apple akan mengisyaratkan pemohon Apple Card milik bersama apabila tawaran Apple Card milik bersama mereka sedia untuk disemak dan apabila calon Pemilik Bersama mereka membalas syarat tawaran. Setiap Pemilik Bersama akan mempunyai akses kepada maklumat tentang semua transaksi pada akaun selepas ini. Butiran baki, termasuk kredit tersedia, jumlah baki dan had kredit juga akan tersedia kepada kedua-dua Pemilik Bersama.

Akaun Peserta: Untuk menambah Peserta, Pemilik Apple Card mesti memilih ahli kumpulan Perkongsian Keluarga layak yang mereka mahu tambah ke akaun mereka sebagai Peserta. Apple akan menggunakan maklumat yang diberikan untuk menghantar jemputan kepada ahli kumpulan Perkongsian Keluarga bagi berkongsi Apple Card Pemilik. Jika Peserta berusia bawah 18 tahun, Pemilik dewasa akan diminta mengesahkan nama sah dan tarikh lahir Peserta; jika Peserta berusia 18 tahun atau lebih, Peserta akan diminta mengesahkan nama sah, tarikh lahir dan alamat rumah mereka. Jika Peserta yang berusia 18 tahun atau lebih mahu menambahkan maklumat tentang akaun pada fail mereka dengan agensi pelaporan pengguna, mereka boleh memberikan nombor Keselamatan Sosial mereka kepada Goldman Sachs semasa menyediakan akaun Peserta mereka. Maklumat yang diberikan sebagai sebahagian daripada proses persediaan Peserta akan disulitkan kepada Goldman Sachs dan disimpan oleh Apple sehingga persediaan Peserta selesai atau 30 hari telah berlalu. Maklumat persediaan Peserta yang lengkap akan dihantar bersama-sama Apple ID Pemilik dan Peserta kepada Goldman Sachs untuk menyediakan serta mengurus akaun Apple Card dan mencegah penipuan.

Pemilik boleh memilih untuk berkongsi butiran baki seperti kredit tersedia, jumlah baki dan had kredit dengan Peserta dengan pergi ke bahagian belakang pas Apple Card mereka dalam Wallet, memilih nama Peserta serta mendayakan Tunjukkan Butiran Baki. Disebabkan Pemilik bertanggungjawab untuk semua transaksi yang menyumbang kepada baki, mereka boleh melihat aktiviti transaksi bagi semua Pemilik atau Peserta lain, sementara Peserta hanya boleh melihat maklumat transaksi mereka sendiri. Pemilik juga boleh memilih had transaksi untuk Peserta, yang boleh ditukar pada bila-bila masa dengan pergi ke bahagian belakang pas Apple Card mereka dalam Wallet, memilih nama Peserta dan memilih Had Transaksi.

Pemberitahuan: Pemilik boleh mengurus pemberitahuan tentang aktiviti pada akaun Apple Card Keluarga dengan pergi ke bahagian belakang pas Apple Card mereka dalam Wallet, memilih nama Pemilik Bersama atau Peserta dan mendayakan atau menyahdayakan Pemberitahuan. Pemilik juga boleh memilih untuk menerima pemberitahuan hanya jika ambang tertentu dipenuhi, seperti transaksi melebihi amaun dolar tertentu. Apple akan menggunakan maklumat tentang seting pemberitahuan untuk mengurus pemberitahuan; seting pemberitahuan tidak akan dikongsi dengan orang lain pada akaun. Apabila pemberitahuan transaksi didayakan, Pemilik akan menerima pemberitahuan push yang menunjukkan tarikh dan masa pembelian, amaun pembelian, pedagang serta lokasi, jika tersedia. Untuk pemberitahuan tentang Peserta dengan had transaksi, pemberitahuan juga akan menunjukkan jumlah perbelanjaan bulanan Peserta.

Apple Card dan Lokasi

Apabila anda menggunakan Apple Card dengan Apple Pay, maklumat tentang pedagang dan lokasi dihantar daripada peranti anda ke Peta Apple dengan cara yang tidak boleh dihubungkan kepada anda, untuk menyediakan maklumat pedagang dipertingkat seperti alamat dan data hubungan. Jika anda menggunakan Apple Card fizikal, anda akan mempunyai pilihan untuk menggunakan lokasi peranti anda bagi membantu Peta Apple mengenal pasti pedagang yang betul untuk transaksi. Untuk membantu mengenal pasti dan mencegah penipuan, Apple mungkin menggunakan maklumat lokasi yang terikat dengan penggunaan Apple Card oleh anda, seperti apabila anda memesan atau menggantikan Apple Card fizikal atau menjadualkan bayaran baki, jika anda telah mendayakan Perkhidmatan Lokasi dalam Wallet. Apple sebaliknya tidak mengumpulkan lokasi anda semasa anda menggunakan Apple Card. Untuk transaksi dalam talian, apabila anda membayar dengan Apple Card, Goldman Sachs mungkin menerima data lokasi daripada penyedia khidmat pencegahan penipuan pihak ketiga, yang Goldman Sachs akan gunakan hanya untuk tujuan pencegahan penipuan.

Apple Card dan Analitis

Untuk membantu meningkatkan Apple Card, Apple mengumpulkan maklumat tentang proses permohonan Apple Card dan penggunaan ciri Apple Card dalam app Wallet dan menyimpan maklumat tersebut dengan cara yang tidak mengenal pasti anda secara peribadi. Maklumat ini termasuk masa yang diperlukan untuk melengkapkan permohonan dan ciri Apple Card yang paling kerap digunakan, seperti paparan aktiviti bulanan. Apple juga boleh menggunakan maklumat ini untuk meningkatkan produk dan perkhidmatan Apple yang lain, untuk pemasaran dan bagi tujuan pencegahan penipuan serta keselamatan.

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda dengan Apple, seperti fakta bahawa anda memiliki Apple Card, untuk penyelidikan dalaman dan tujuan analitis, seperti ramalan kewangan. Apple juga mungkin menggunakan maklumat tentang hubungan anda dengan Apple, seperti produk Apple yang telah anda beli, tempoh anda memiliki Apple ID anda dan kekerapan anda melakukan transaksi dengan Apple, untuk meningkatkan Apple Card dengan membantu mengenal pasti metrik Apple yang boleh membantu Goldman Sachs dalam meningkatkan kelulusan kredit. Tiada data peribadi tentang hubungan anda dengan Apple akan dikongsi dengan Goldman Sachs untuk mengenal pasti metrik Apple yang berkaitan. Anda boleh menarik diri daripada penggunaan maklumat hubungan Apple anda dengan menghantar e-mel kepada pasukan privasi kami di dpo@apple.com dengan baris subjek “Data Hubungan Apple dan Apple Card”. Pemohon dan pemegang kad boleh memilih untuk berkongsi metrik yang dikenal pasti dengan Goldman Sachs bagi penilaian semula tawaran kredit mereka atau untuk meningkatkan sumber kredit mereka.

Apple Card dan Komunikasi

Apple mungkin menggunakan status akaun Apple Card anda, seperti sama ada anda telah memohon atau mempunyai akaun Apple Card semasa, untuk menentukan sama ada mesej berkaitan bagi anda, termasuk mesej pemasaran. Apple juga mungkin menghantar mesej kepada peranti anda, yang mungkin menggunakan maklumat yang diketahui oleh anda dan peranti anda dan bukan Apple, seperti sejarah transaksi dan lokasi anda, untuk membantu menentukan sama ada mesej berkaitan bagi anda. Sebagai contoh, Apple mungkin menghantar mesej kepada peranti anda yang berkaitan untuk orang yang selalu membeli pakej percutian. Apple tidak perlu mengetahui sama ada pakej percutian dibeli anda — peranti anda boleh menggunakan sejarah transaksi anda untuk menentukan sama ada mesej berkaitan bagi anda. Ini membantu memastikan anda menerima komunikasi berkaitan, sambil melindungi privasi anda. Apple tidak mengetahui mesej yang anda lihat pada peranti anda.

Maklumat tanpa nama dan agregat yang tidak boleh dikaitkan kepada anda juga mungkin digunakan untuk pemasaran Apple Card dan pemesejan lain. Anda boleh menarik diri daripada mesej pemasaran dengan mengklik pautan nyahlanggan dalam e-mel pemasaran atau dengan menyahaktifkan pemberitahuan untuk Apple Card.

App dan Tapak Web Apple Boleh Menyemak Jika Anda Mempunyai Apple Card

App dan tapak web Apple yang boleh menyemak sama ada anda telah mendayakan Apple Pay juga boleh menyemak jika anda mempunyai Apple Card. Pada iOS dan dalam Safari, anda boleh menyahdayakan app dan tapak web Apple daripada menyemak jika anda mempunyai Apple Card dengan menukar seting anda. Pada iOS, pergi ke Seting > Safari dan ketik untuk menyahaktifkan Semak untuk Apple Pay. Pada Mac, pergi ke Safari > Seting > Privasi dan nyahpilih “Benarkan tapak web menyemak untuk Apple Pay dan Apple Card”.

Daily Cash

Jika anda mempunyai Apple Cash, pembayaran Daily Cash Apple Card anda akan diproses menerusi Apple Payments Inc., pengirim wang berlesen yang merupakan subsidiari Apple Inc. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara Apple Payments Inc. melindungi privasi anda dengan membuka Wallet, mengetik kad Apple Cash anda, mengetik butang lagi, kemudian mengetik “Lihat cara data anda diurus”.

Sokongan Apple Card

Jika anda mempunyai soalan tentang Apple Card, anda boleh menghubungi sokongan menerusi app Wallet anda dengan memulakan Mesej. Apple akan menggunakan sebarang maklumat yang anda kongsi, termasuk data peribadi, untuk memproses permintaan anda. Jika pertanyaan anda mesti dihantar kepada Goldman Sachs untuk menyediakan perkhidmatan, Apple akan berkongsi maklumat tentang anda dan pertanyaan anda dengan Goldman Sachs supaya mereka boleh membantu anda dengan lebih baik. Apple tidak akan menyimpan sebarang maklumat kewangan yang boleh mengenal pasti anda secara peribadi yang Apple hantar kepada Goldman Sachs untuk menyediakan perkhidmatan. Anda juga boleh menghubungi sokongan terus dengan soalan dengan memanggil 877-255-5923.

Menutup Akaun Apple Card Anda

Jika anda menutup akaun Apple Card anda, maklumat tentang akaun Apple Card anda akan kekal dalam Wallet sehingga anda mengeluarkan Apple Card daripada app Wallet.

Mengemas Kini Maklumat Anda

Anda boleh mengemas kini alamat pengebilan dalam Wallet dengan mengedit butiran berkaitan dengan Apple Card anda. Anda juga boleh mengemas kini maklumat akaun Apple Card anda dengan menghubungi Goldman Sachs. Goldman Sachs mungkin berkongsi maklumat akaun Apple Card anda yang dikemas kini dengan Apple untuk tujuan menyediakan perkhidmatan Apple Card.

Baris Kredit Apple

Baris Kredit Apple ialah ciri Apple Card. Jika anda memohon Apple Card di apple.com, anda mungkin layak untuk ciri Baris Kredit Apple dan Apple mungkin memproses sesetengah maklumat anda secara berbeza berbanding cara maklumat diproses jika anda memohon Apple Card pada peranti Apple yang layak.

Jika anda memohon Apple Card di apple.com dan layak untuk Baris Kredit Apple, maklumat permohonan anda akan dikumpulkan dan dihantar melalui web. Maklumat tentang nombor telefon permohonan anda berbanding peranti anda mungkin dihantar kepada Apple untuk pengesahan identiti dan untuk mencegah penipuan. Selain itu, Apple akan mengumpul jenis pelayar dan alamat IP semasa permohonan dan Apple serta Goldman Sachs akan menggunakan maklumat untuk mencegah penipuan. Jika Goldman Sachs memerlukan maklumat tambahan untuk memproses permohonan anda, tidak seperti semasa anda memohon Apple Card pada peranti yang layak, maklumat tentang permohonan anda tidak akan disimpan pada peranti anda sementara maklumat tambahan disediakan. Untuk membantu meningkatkan Baris Kredit Apple, Apple mengumpul maklumat tentang proses permohonan berkaitan ciri Baris Kredit Apple untuk Apple Card.

Baris Kredit Apple mungkin digunakan untuk melakukan transaksi dengan Apple sahaja. Semasa membayar dengan Baris Kredit Apple, Apple menggunakan kod zip anda atau maklumat serupa yang lain untuk mendayakan pengiraan cukai dan kos penghantaran. Nombor akaun bayaran maya, alamat penghantaran dan alamat e-mel mungkin digunakan untuk memproses transaksi anda. Baris Kredit Apple tidak menggunakan maklumat lokasi tepat.

Apple mungkin berkomunikasi dengan anda melalui e-mel dan melalui saluran lain yang anda gunakan untuk menghubungi Apple. Tidak seperti Apple Card, Apple tidak akan menghantar mesej tentang Baris Kredit Apple kepada peranti anda menggunakan maklumat yang diketahui hanya untuk anda dan peranti anda serta bukan Apple. Anda boleh menarik diri daripada mesej pemasaran Baris Kredit Apple dengan mengklik pautan nyahlanggan dalam e-mel pemasaran.

Jika anda mempunyai soalan tentang Baris Kredit Apple, mahu mengemas kini data peribadi anda atau untuk menutup akaun, anda boleh menghubungi sokongan dengan menghubungi 877-255-5923. Kefungsian sokongan dengan memulakan Mesej melalui app Wallet boleh diakses selepas memperuntukkan Apple Card pada peranti yang layak.

Portal Web Apple Card

Anda boleh mengurus Apple Card dan ciri Baris Kredit Apple menggunakan portal servis web Apple Card dengan mendaftar masuk ke card.apple.com dengan Apple ID anda. Untuk membuat bayaran, anda boleh memberi maklumat tentang akaun bank yang akan membuat bayaran untuknya. Maklumat ini digunakan hanya untuk memproses bayaran anda. Apple akan mengumpul maklumat tentang tindakan yang anda ambil di portal, seperti sama ada anda menjadualkan atau membuat bayaran dan menggunakan maklumat tersebut untuk memenuhi permintaan anda atau menyelesaikan masalah serta tindakan yang serupa. Apple mungkin berkongsi maklumat tertentu yang dikumpulkan dengan Goldman Sachs apabila perlu untuk memenuhi permintaan anda. Maklumat tentang penggunaan portal oleh anda yang tidak boleh dikaitkan dengan anda mungkin digunakan oleh Apple untuk meningkatkan Apple Card.

Maklumat Lanjut

Apple mungkin menggunakan maklumat berkaitan Apple Card anda seperti yang diperlukan untuk mematuhi undang-undang atau mencegah penipuan, walaupun selepas anda menutup akaun anda. Apple juga mungkin berkongsi maklumat tentang hubungan anda dengan Apple kepada penyedia khidmat kami, yang wajib mengendalikan maklumat secara konsisten dengan notis ini dan arahan Apple, diperlukan untuk menggunakan langkah keselamatan yang wajar bagi melindungi sebarang data peribadi yang diterima serta mesti memadamkan data peribadi sebaik sahaja mereka menyelesaikan perkhidmatan melainkan pengekalan diperlukan oleh undang-undang.

Apple mungkin berkongsi maklumat anda dengan Goldman Sachs seperti yang diperlukan oleh undang-undang dan untuk pencegahan penipuan. Apple juga mungkin menerima maklumat berkaitan Apple Card tentang anda daripada Goldman Sachs untuk tujuan pencegahan penipuan. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang cara Goldman Sachs melindungi maklumat peribadi anda dengan menyemak dasar privasi mereka, yang tersedia di https://www.goldmansachs.com/privacy-and-cookies/c-privacy-policy.html.

Dengan menggunakan Apple Card, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan maklumat anda oleh Apple dan subsidiari serta ejennya seperti yang diterangkan di atas.

Apple mengekalkan data peribadi hanya setakat yang perlu untuk memenuhi tujuan yang data tersebut dikumpulkan, termasuk seperti yang diterangkan dalam notis ini dan selaras dengan Dasar Privasi Apple atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang. Apabila menilai tempoh pengekalan, kami mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sama ada perlu mengekalkan data peribadi yang dikumpulkan, jika pengekalan diperlukan, berusaha untuk mengekalkan data peribadi bagi tempoh paling singkat yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023