Apple Fitness+ & Privasi

Apabila anda meneroka perkhidmatan Apple Fitness+ sebelum melanggan, Apple mungkin menggunakan aktiviti pelayaran anda dalam tab Fitness+ untuk meningkatkan perkhidmatan. Setelah anda melanggan, data pelayaran dan latihan anda dikaitkan dengan pengecam rawak. Akaun, status langganan dan latihan anda mungkin digunakan untuk menghantar pemberitahuan kepada anda.
 

Apple Fitness+ direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • Apabila anda meneroka Fitness+ sebelum melanggan, Apple mengumpulkan maklumat tentang aktiviti pelayaran anda, termasuk pratonton latihan yang anda tonton dan tentang sebarang kempen pemasaran yang membawa anda ke app. Maklumat ini dikaitkan dengan Apple ID anda dan digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan.
  • Jika anda melanggan, kami menggunakan maklumat tentang status langganan anda, yang terikat kepada Apple ID anda, untuk menyediakan perkhidmatan kepada anda, menghantar komunikasi pemasaran kepada anda dan memastikan iklan pada App Store, Apple News dan Saham, apabila tersedia, adalah berkaitan dengan anda. Data tentang penggunaan perkhidmatan Fitness+ oleh anda disimpan daripada pengecam rawak yang khusus untuk Fitness+ dan tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.
  • Jika anda mendayakan Perkongsian Aktiviti dalam app Kecergasan, data Latihan Fitness+ dan Aktiviti anda akan dikongsi dengan rakan serta akan dihantar kepada Apple dan dikekalkan untuk tempoh masa yang singkat supaya Apple boleh berkongsi data ini secara selamat bersama sesiapa yang anda pilih. Data ini mungkin termasuk: kalori atau kilojoule aktif, minit senaman, jam berdiri atau pusing, langkah, zon waktu serta maklumat latihan seperti tajuk, jenis dan tempoh.

Apple Fitness+ ialah perkhidmatan kecergasan yang dikuasakan oleh Apple Watch. Anda boleh memilih daripada katalog latihan dan meditasi yang dibimbing oleh jurulatih pakar.

Pralangganan

Sebelum melanggan Apple Fitness+, anda boleh meneroka perkhidmatan dan melihat pratonton latihan. Apple mengumpulkan maklumat tentang aktiviti pelayaran anda dalam tab Fitness+, seperti halaman yang anda lihat dan pratonton latihan yang anda tonton, jenis peranti yang anda gunakan dan interaksi anda dengan pemberitahuan. Jika anda masuk ke tab Apple Fitness+ melalui pautan daripada kempen pemasaran, seperti e-mel atau iklan digital, Apple merekod maklumat tentang kempen pemasaran untuk menyediakan atribusi kepada sumber pemasaran dan untuk meningkatkan kempen pemasaran kami.

Apple menyimpan maklumat ini yang dikaitkan dengan Apple ID anda dan menggunakannya untuk meningkatkan Apple Fitness+.

Aktiviti dan Latihan Apple Fitness+

Setelah anda melanggan Apple Fitness+, Apple boleh mengumpulkan maklumat tentang aktiviti pelayaran anda dalam Fitness+ pada app Kecergasan, Latihan dan Sedar Minda, seperti halaman yang anda lihat, ciri yang anda berinteraksi dan tindakan yang menyebabkan anda masuk serta keluar daripada app, seperti mengikuti pautan luaran yang membawa anda ke Fitness+ atau keluar daripada app melalui pautan ke Apple Music. Apple juga mengumpulkan maklumat tentang jenis peranti yang anda gunakan, interaksi anda dengan pemberitahuan dan langganan anda, serta sesetengah maklumat demografi termasuk jantina dan julat umur anda.

Apabila anda melakukan latihan atau meditasi Fitness+, Apple mengumpulkan maklumat tentang sesi tersebut dan cara anda berinteraksi dengannya, termasuk tempoh sesi, tindakan navigasi anda seperti main dan jeda, jumlah sesi yang anda selesaikan, sama ada sesi ialah sesi audio atau video, seting bahasa, sama ada anda telah memuat turun atau menstrim sesi serta sama ada anda menggunakan ciri seperti AirPlay atau Gambar dalam Gambar. Apple akan mengumpulkan tajuk latihan atau meditasi dan jurulatih anda hanya jika anda memilih untuk mendayakan Tingkatkan Fitness+. Jika anda menggunakan SharePlay untuk melakukan latihan bersama pengguna lain, Apple akan mengumpulkan maklumat bahawa anda melakukan latihan semasa sesi SharePlay dan bilangan peranti yang menyertai sesi tersebut, tetapi tidak akan mengumpulkan sebarang maklumat untuk mengenal pasti peserta sesi SharePlay.

Semua data ini disimpan daripada pengecam rawak bergilir yang khusus untuk Apple Fitness+ dan tidak dikaitkan dengan Apple ID anda. Apple menggunakan maklumat ini untuk menyediakan dan meningkatkan perkhidmatan.

Penyelarasan iCloud

Untuk kemudahan anda, Apple Fitness+ menggunakan iCloud untuk memastikan aspek tertentu pengalaman anda dikemas kini pada semua peranti anda. Contohnya, Fitness+ akan menggunakan iCloud untuk menyelaraskan kemajuan anda dalam latihan atau meditasi merentas peranti anda. Anda boleh menyahdayakan keupayaan ini pada bila-bila masa pada peranti iOS atau iPadOS dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Fitness+.

Bar Bakar

Bar Bakar membenarkan anda mengukur prestasi latihan anda berbanding pengguna lain yang telah melengkapkan latihan yang sama. Jika anda memilih untuk mendayakan Bar Bakar, Kesetaraan Metabolik Tugas untuk latihan — nilai MET anda — akan disimpan oleh Apple secara tanpa nama untuk menambahnya ke Bar Bakar bagi latihan tersebut dan tidak akan dikaitkan dengan Apple ID anda atau dengan data Apple Fitness+ anda yang lain. Anda boleh menyahdayakan Bar Bakar pada bila-bila masa semasa melengkapkan latihan dalam seting latihan.

Perkongsian Aktiviti

Jika anda mendayakan Perkongsian Aktiviti dalam app Kecergasan, data Latihan Fitness+ dan Aktiviti anda akan dikongsi dengan rakan dan akan dihantar kepada Apple supaya Apple boleh berkongsi data ini secara selamat bersama sesiapa yang anda pilih. Data ini mungkin termasuk: kalori atau kilojoule aktif, minit senaman, jam berdiri atau pusing, langkah, zon waktu dan maklumat latihan seperti tajuk, jenis dan tempoh. Apple akan menyimpan data Latihan dan Aktiviti anda untuk tempoh masa singkat dan hanya akan menggunakan data ini untuk mendayakan ciri Perkongsian Aktiviti.

Apple Music

Senarai main Apple Fitness+ tersedia dalam Apple Music. Jika anda mengetik untuk mendengar senarai main dalam Apple Music, anda akan diubah hala ke app tersebut dan sebarang tindakan yang anda ambil akan tertakluk pada Apple Music & Privasi di www.apple.com/legal/privacy/data/ms/apple-music. Contohnya, Apple mengetahui tajuk senarai main anda, yang mungkin mendedahkan latihan yang anda lengkapkan dan jika anda berkongsi senarai main dengan rakan dalam Apple Music, rakan anda akan mengetahui maklumat tersebut juga.

Perkongsian dengan Pihak Ketiga

Kami berkewajipan untuk memberi sedikit data bukan peribadi tentang lagu yang dimainkan dalam Apple Fitness+ kepada rakan kongsi strategik yang berkaitan dengan perkhidmatan ini, seperti syarikat muzik, supaya mereka boleh mengukur prestasi karya kreatif mereka, memenuhi keperluan royalti dan perakaunan dan juga meningkatkan produk serta perkhidmatan mereka.

Berkomunikasi dengan Anda

Semua pengesyoran latihan diperibadikan Fitness+ dikuasakan menggunakan kecerdasan pada peranti supaya Apple tidak perlu menyimpan sejarah latihan anda.

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki dan langganan anda kepada perkhidmatan Apple, untuk berkomunikasi dengan anda tentang Apple Fitness+ dan produk, perkhidmatan, serta tawaran lain Apple yang mungkin menarik minat anda, termasuk Apple One. Nombor siri peranti anda mungkin digunakan untuk menyemak kelayakan bagi tawaran perkhidmatan. Jika anda berada dalam Keluarga, Apple mungkin menghantar anda komunikasi tentang produk, perkhidmatan dan tawaran yang tersedia kepada anda menerusi Perkongsian Keluarga. Jika anda membeli langganan Apple One, kami mungkin menghantar e-mel dan pemberitahuan push kepada anda tentang ciri setiap perkhidmatan yang anda telah langgan. Apple Fitness+ mungkin menghantar pemberitahuan push kepada anda tentang ciri, kandungan dan tawaran baharu yang tersedia dalam Apple Fitness+. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan anda pada peranti iOS atau iPadOS, pergi ke Seting > Pemberitahuan > Kecergasan.

Pengiklanan

Jika seting Iklan Diperibadikan diaktifkan, platform pengiklanan Apple mungkin menggunakan maklumat tentang status langganan Fitness+ anda, seperti sama ada anda melanggan melalui Apple One, untuk memastikan iklan pada App Store, Apple News dan Saham adalah berkaitan.

Jika anda tidak mahu menerima iklan yang disasarkan pada minat anda daripada platform pengiklanan Apple, anda boleh menyahaktifkan Iklan Diperibadikan. Menyahaktifkan Iklan Diperibadikan akan menghalang Apple daripada menggunakan maklumat anda untuk penyasaran iklan. Ini mungkin tidak mengurangkan bilangan iklan yang anda terima, tetapi iklan mungkin kurang berkaitan kepada anda. Anda boleh menyahdayakan Iklan Diperibadikan pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple dan mengetik untuk menyahaktifkan Iklan Diperibadikan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple dan nyahpilih Iklan Diperibadikan.

Ketahui lebih lanjut tentang Pengiklanan Apple & Privasi di www.apple.com/legal/privacy/data/ms/apple-advertising. Ketahui cara menarik diri daripada iklan diperibadikan dalam App Store dan Apple News di support.apple.com/en-my/HT202074.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam Apple Fitness+ umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses kategori data peribadi berikut mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga untuk:

  • Meningkatkan Apple Fitness+ untuk anda dan orang lain
  • Menghantar komunikasi kepada anda tentang Apple Fitness+ dan produk, perkhidmatan, serta tawaran Apple lain yang berkaitan yang mungkin menarik minat anda

Data yang digunakan termasuk:

  • Aktiviti pelayaran anda dalam tab Fitness+ sebelum melanggan, seperti halaman yang anda lihat dan pratonton latihan yang anda tonton, interaksi anda dengan pemberitahuan, serta sama ada anda memasuki tab Apple Fitness+ menerusi pautan daripada kempen pemasaran
  • Butiran tentang peranti anda dan akaun anda

Pengekalan

Apple mengekalkan data peribadi yang dikaitkan dengan transaksi dan penggunaan Apple Fitness+ oleh anda hanya selama kami mempunyai keperluan perniagaan, kewajipan kontrak atau keperluan undang-undang. Data peribadi yang dikumpulkan sebelum melanggan Apple Fitness+ disimpan sehingga dua tahun. Sesetengah maklumat, seperti sejarah pembelian langganan tetapi bukan butiran kad anda yang disimpan, mungkin dikekalkan sebagai rekod perniagaan walaupun selepas anda menutup akaun anda atau menyahlanggan daripada Apple Fitness+.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 6 April 2023