Apple ID & Privasi

Maklumat Apple ID anda digunakan untuk mendayakan perkhidmatan Apple apabila anda mendaftar masuk, termasuk Sandaran iCloud yang menyandarkan data pada peranti anda secara automatik sekiranya anda perlu menggantikan atau memulihkannya. Nombor siri peranti anda mungkin digunakan untuk menyemak kelayakan bagi tawaran perkhidmatan.
 

Apple ID direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • Apabila anda mendaftar masuk dengan Apple ID, anda akan mendayakan perkhidmatan seperti iCloud, App Store, iMessage dan Cari pada iPhone ini.
  • Data tertentu, termasuk kenalan, kalendar, foto, dokumen, kesihatan, aktiviti anda dan data app lain, akan dihantar kepada Apple untuk disimpan dan disandarkan bagi pihak anda.
  • Selain itu, peranti anda akan dikaitkan dengan Apple ID anda untuk menyediakan perkhidmatan dan sokongan yang lebih baik kepada anda.

Apple ID anda dan semua perkhidmatan Apple direka bentuk sepenuhnya untuk melindungi privasi anda. Kami berusaha keras untuk hanya mengumpulkan data yang kami perlukan untuk menjadikan pengalaman anda lebih baik. Apabila kami mengumpulkan data, kami percaya adalah penting untuk anda mengetahui perkara yang kami kumpulkan dan sebab kami memerlukannya, supaya anda boleh membuat pilihan termaklum.

Apple ID ialah akaun peribadi yang anda gunakan untuk mengakses perkhidmatan Apple seperti iCloud, App Store serta kedai dalam talian Apple yang lain, iMessage dan FaceTime serta mengakses kandungan anda merentas semua peranti anda dan web. Apple ID anda termasuk maklumat yang anda gunakan untuk mendaftar masuk, serta semua butiran kenalan, bayaran dan keselamatan, seperti nombor telefon dipercayai atau soalan keselamatan, yang anda gunakan merentas perkhidmatan Apple. Apple mengekalkan nama peranti, nombor siri serta pengecam perkakasan lain anda untuk memberi anda perkhidmatan dan sokongan yang lebih baik, termasuk sebagai kemudahan untuk memaparkan status waranti peranti anda dan untuk menyemak kelayakan anda bagi tawaran perkhidmatan apabila anda mengaktifkan peranti. Anda boleh mengedit maklumat Apple ID anda dan melihat senarai peranti serta nombor telefon anda di halaman akaun Apple ID anda di appleid.apple.com/my.

Apabila anda mendaftar masuk dengan Apple ID, anda akan mendayakan perkhidmatan seperti iCloud, App Store, iMessage, FaceTime dan Cari pada iPhone ini. Maklumat akaun Apple ID anda, termasuk nombor telefon anda yang dikaitkan akan digunakan dengan setiap perkhidmatan, yang akan menjana maklumat analitis yang boleh digunakan untuk menyelenggarakan dan meningkatkan perkhidmatan tersebut. Selain itu, data tertentu daripada peranti anda, termasuk foto profil, kenalan, kalendar, foto, dokumen, kesihatan, aktiviti, tab Safari pilihan anda dan data app lain, akan dihantar kepada Apple untuk disimpan dan disandarkan bagi pihak anda.

Apple mengumpulkan maklumat yang dikaitkan dengan Apple ID anda tentang sama ada peranti anda layak untuk sesetengah ciri dan perkhidmatan yang diperlukan secara sah, yang berdasarkan negara atau rantau peranti anda berada. Kami juga mengumpulkan maklumat tentang app yang anda pasang, termasuk dari tempat anda memasangnya (contohnya, tapak web atau pasaran app), yang dikaitkan dengan Apple ID anda untuk tujuan perakaunan, pelaporan, analitis dan pengesanan penipuan berhubungan dengan pendayaan ciri serta perkhidmatan yang diperlukan secara sah.

iCloud dan Privasi

Mendaftar masuk ke iCloud

Apabila anda menggunakan iCloud, data tertentu yang anda simpan pada peranti anda akan dihantar secara automatik kepada Apple dan disimpan oleh Apple. Ini membolehkan anda mengakses data anda pada semua peranti atau komputer didayakan iCloud anda (“peranti”) secara automatik. Data ini mungkin termasuk:

  • Kenalan
  • Kalendar
  • Peringatan
  • Penanda Buku
  • Tab Safari
  • Data Kesihatan
  • Data Rumah
  • Nota
  • Freeform
  • Foto
  • Dokumen
  • Data Wallet
  • Rantai kunci dan kata laluan
  • Nombor telefon pada peranti anda
  • Seting peranti dan akaun
  • Data daripada app pihak ketiga yang menggunakan iCloud

Sandaran iCloud turut didayakan untuk membantu memastikan anda mempunyai sandaran terkini data pada peranti anda sekiranya anda perlu menggantikan atau memulihkan peranti tersebut.

Anda boleh melaraskan ciri iCloud yang didayakan dan data yang dihantar ke iCloud daripada Seting pada peranti anda pada bila-bila masa.

Keselamatan Data iCloud

iCloud melindungi maklumat anda dengan menyulitkannya apabila ia sedang dihantar, menyimpannya dalam iCloud dalam format yang disulitkan dan menggunakan token selamat untuk pengesahan. Untuk maklumat tertentu, Apple menggunakan penyulitan hujung ke hujung. Ini bermakna, dengan sengaja, hanya anda yang boleh mengakses maklumat ini dan hanya pada peranti yang anda mendaftar masuk ke iCloud. Pihak lain, termasuk Apple, tidak boleh mengakses maklumat yang disulitkan hujung ke hujung. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Keselamatan Data iCloud, lawati support.apple.com/kb/HT202303.

Pusat data Apple dan juga pihak ketiga mungkin digunakan untuk menyimpan serta memproses data anda. Semasa memproses data yang disimpan dalam pusat data pihak ketiga, kunci penyulitan hanya diakses oleh perisian Apple yang dijalankan pada pelayan selamat dan hanya semasa melakukan pemprosesan yang diperlukan.

Rantai Kunci iCloud

Rantai Kunci iCloud memastikan nama pengguna dan kata laluan tapak web Safari, maklumat kad kredit serta maklumat rangkaian Wi-Fi anda dikemas kini dan tersedia merentas semua peranti anda. Ia juga boleh menyimpan maklumat akaun yang anda gunakan untuk Mail, Kenalan, Kalendar, Mesej, Facebook, Twitter, LinkedIn dan akaun internet yang lain serta menambahkan maklumat ini secara automatik pada semua peranti anda.

Rantai Kunci iCloud menggunakan penyulitan hujung ke hujung dan direka bentuk supaya hanya anda yang dapat mengakses maklumat ini dan hanya pada peranti yang anda mendaftar masuk ke iCloud. Pihak lain, termasuk Apple, tidak boleh mengakses data rantai kunci iCloud anda. Anda boleh memilih untuk menyahaktifkan Rantai Kunci iCloud dalam seting iCloud anda pada bila-bila masa.

Sandaran iCloud

Apabila anda menggunakan Sandaran iCloud, sandaran anda mungkin termasuk foto, video, mesej (iMessage, SMS dan MMS), data Kesihatan dan app lain, seting lokasi (seperti peringatan berdasarkan lokasi yang telah anda sediakan), Mel Suara Visual, seting peranti, ciri-ciri peranti dan data lain daripada peranti iOS atau iPadOS anda bergantung pada Seting anda.

Anda boleh menghentikan iCloud daripada menyandarkan data app anda untuk app tertentu dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud > Urus Storan > Sandaran, memilih peranti iOS atau iPadOS anda dalam bahagian Sandaran dan mengetik untuk menyahaktifkan app yang ingin anda nyahdayakan sandaran.

Anda boleh menyahaktifkan terus Sandaran iCloud daripada seting iCloud dan menggunakan Finder (macOS Catalina 10.15 atau lebih baharu) atau iTunes (macOS Mojave 10.14 atau lebih awal) untuk menyandarkan peranti iOS atau iPadOS anda ke komputer anda. Untuk mengeluarkan sepenuhnya data sandaran anda daripada iCloud, anda boleh memadamkan sandaran individu anda sebelum menyahaktifkan Sandaran iCloud. Jika tidak, data sandaran akan dikekalkan sehingga 180 hari.

Perkongsian Data dengan iCloud

Jika anda menggunakan iCloud untuk berkongsi fail sama ada secara awam atau peribadi dalam Nota, Pages, Numbers, Keynote, Freeform dan app pihak ketiga tertentu, Apple akan menyimpan dan mempunyai akses kepada fail dikongsi. Nama pertama dan akhir anda yang dikaitkan dengan akaun anda (jika berkenaan), nombor telefon pada peranti anda, serta nama fail akan tersedia kepada sesiapa yang mempunyai akses kepada pautan perkongsian, tidak kira sama ada perkongsian anda peribadi atau awam. Identiti peserta perkongsian peribadi tidak akan disediakan kepada sesiapa yang tidak dijemput dan tidak menerima perkongsian peribadi.

Jika anda mencipta atau menyertai Pustaka Dikongsi, semua peserta boleh menambahkan, mengedit atau memadamkan foto dan video dalam Pustaka Dikongsi menerusi iCloud. Terdapat beberapa cara untuk menambahkan kandungan pada Pustaka Dikongsi, sama ada secara manual atau dengan perkongsian automatik. Anda boleh mengawal cara anda mahu berkongsi kandungan dengan pergi ke Seting > Foto > Pustaka Dikongsi > Kongsi daripada Kamera pada peranti iOS atau iPadOS anda.

iCloud dan App

Sesetengah app menggunakan iCloud untuk menyimpan data dan kandungan yang anda berikan kepada app, supaya anda boleh mengakses data merentas semua peranti didayakan iCloud anda. App mungkin memilih untuk menyimpan sesetengah atau semua data anda dalam iCloud. App pihak ketiga boleh meminta untuk mencari anda, supaya pengguna lain aplikasi tersebut boleh melihat nama pertama dan akhir anda apabila mereka mencari mengikut Apple ID.

Anda boleh menghentikan app daripada menyimpan data dalam iCloud dengan menyahaktifkan akses app tersebut kepada iCloud. Untuk berbuat demikian, pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud dan ketik untuk menyahaktifkan app yang ditunjukkan dalam senarai.

Perkhidmatan Apple yang Memerlukan iCloud

Untuk menggunakan perkhidmatan Apple seperti Apple Pay, perkongsian Aktiviti, Rumah, Handoff, Papan Klip Universal dan Buka Kunci dengan Apple Watch, anda mesti mendaftar masuk ke iCloud pada peranti anda. Apple menggunakan pelan iCloud anda untuk mengesahkan kelayakan anda bagi menyediakan dan menggunakan Perakaman Kamera Selamat dalam app Rumah. Apple tidak boleh mengakses kandungan rakaman kamera anda. Anda tidak perlu menggunakan semua ciri iCloud dan boleh menyahaktifkan sebarang ciri iCloud yang anda tidak mahu gunakan dalam seting iCloud pada peranti anda.

Mendaftar Keluar daripada iCloud

Jika anda mahu berhenti menggunakan iCloud pada peranti iOS atau iPadOS anda dan sebarang Apple Watch yang dipasangkan, anda boleh mendaftar keluar daripada iCloud dengan pergi ke Seting > [nama anda] dan mengetik Daftar Keluar. Untuk berhenti menggunakan iCloud pada Mac anda, pergi ke Seting Sistem > [nama anda] dan klik Daftar Keluar. Kata laluan Apple ID anda mungkin diperlukan.

Berkomunikasi dengan Anda

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki, peranti yang didaftarkan kepada akaun anda dan langganan perkhidmatan Apple anda, untuk menghantar komunikasi kepada anda tentang iCloud serta produk, perkhidmatan dan tawaran Apple lain yang mungkin diminati anda, termasuk Apple One. Nombor siri peranti anda mungkin digunakan untuk menyemak kelayakan bagi tawaran perkhidmatan. Jika anda berada dalam kumpulan Perkongsian Keluarga, Apple mungkin menghantar anda komunikasi tentang produk, perkhidmatan dan tawaran yang tersedia kepada anda menerusi Perkongsian Keluarga. Jika anda membeli langganan Apple One, kami mungkin menghantar komunikasi kepada anda tentang ciri setiap perkhidmatan yang anda telah langgan.

Pemasaran E-mel
Anda mungkin menerima komunikasi ini melalui e-mel, jika anda bersetuju menerima pemasaran e-mel. Anda boleh menukar keutamaan e‑mel anda dan menarik diri daripada menerima e‑mel ini dengan pergi ke appleid.apple.com/my atau pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > [nama anda] > Maklumat Peribadi.

Pemberitahuan Push
Anda juga mungkin menerima komunikasi ini melalui pemberitahuan push. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan anda atau menarik diri daripada pemberitahuan pada peranti iOS atau iPadOS anda, pergi ke Seting > Pemberitahuan.

Perkongsian Keluarga

Perkongsian Keluarga membolehkan anda berkongsi kandungan, lokasi, langganan dan maklumat penggunaan skrin tertentu bersama ahli keluarga; pengelola keluarga boleh memilih ciri dikongsi untuk didayakan. Jika Perkongsian Keluarga didayakan untuk Apple Music, Apple TV, Apple Arcade atau Apple News+, ahli keluarga boleh terus mendaftar masuk ke setiap perkhidmatan menggunakan Apple ID mereka sendiri, memastikan pustaka dan pengesyoran individu mereka peribadi, sambil memanfaatkan pelan keluarga. Secara serupa, mendayakan Perkongsian Keluarga untuk storan iCloud memberikan setiap ahli keluarga akses kepada pelan storan keluarga, sambil mengasingkan akaun dan fail individu.

Jika Perkongsian Pembelian didayakan, ahli keluarga anda akan dapat mengakses kebanyakan pembelian App Store, Apple Books dan Apple Music anda pada masa lalu dan akan datang secara automatik, melainkan anda memilih untuk menyembunyikan pembelian tersebut. Untuk menyembunyikan pembelian, anda boleh menyembunyikan pembelian iTunes, Apple Books dan App Store individu, atau menyahdayakan Kongsi Pembelian Saya dalam seting Perkongsian Keluarga peribadi anda; pengelola keluarga akan terus menerima resit bagi pembelian yang dibuat dalam App Store, Apple Books dan Apple Music walaupun anda telah menyembunyikan pembelian anda.

Jika anda memilih untuk berkongsi lokasi anda dengan keluarga anda, semua ahli keluarga akan dapat melihat lokasi semua peranti anda dalam app Cari secara automatik supaya mereka boleh membantu anda mencari peranti yang hilang atau melihat lokasi semasa anda pada peta. Anda boleh mengurus atau menyahaktifkan perkongsian lokasi dengan ahli keluarga individu dalam seting Cari pada peranti anda.

Jika anda ialah pengelola keluarga dan mendayakan Masa Skrin untuk Keluarga, anda boleh melihat maklumat tertentu tentang penggunaan peranti keluarga anda. Pengelola keluarga juga boleh memilih untuk mengesetkan had Masa Skrin untuk Keluarga, yang akan dikuatkuasakan secara automatik untuk kanak-kanak. Pengelola keluarga boleh memberikan keizinan kepada ahli keluarga untuk melihat maklumat Masa Skrin bagi ahli keluarga lain.

iMessage, FaceTime dan iCloud

Apabila anda mendaftar masuk dengan Apple ID anda pada iPhone, anda akan didaftar masuk ke iMessage, FaceTime, iCloud dan perkhidmatan Apple lain secara automatik. Nombor telefon pada peranti anda juga akan disahkan dan dikaitkan dengan Apple ID anda. Apple ID atau nombor telefon anda akan ditunjukkan kepada orang yang anda hubungi atau berkongsi data dan orang boleh menghubungi anda menggunakan Apple ID anda serta alamat e‑mel atau nombor telefon pada akaun anda. Anda boleh memilih cara orang boleh menghubungi anda dengan pergi ke Seting > [nama anda] > Maklumat Peribadi. Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang iMessage dan FaceTime serta Privasi dengan pergi ke Seting > Mesej dan mengetik Perihal iMessage dan FaceTime & Privasi.

iTunes dan App Store dan Music

Apabila anda mendaftar masuk dengan Apple ID anda pada iPhone, anda akan didaftar masuk ke iTunes Store, App Store dan Apple Music secara automatik supaya anda boleh membuat pembelian atau mula menggunakan Apple Music dengan cepat dan mudah. Sebarang pembelian yang anda memilih untuk lakukan akan direkodkan dalam sistem kami supaya anda boleh memuat turun semula pembelian tersebut pada bila-bila masa. Jika anda menggunakan Apple Music, sejarah pendengaran anda mungkin disimpan dan digunakan untuk membantu menyediakan pengesyoran diperibadikan dalam Dengar. Anda boleh memilih untuk tidak berkongsi sejarah pendengaran anda daripada seting Apple Music.

Jika iTunes Match tersedia di rantau anda dan anda menggunakan iTunes Match, iCloud akan mengumpulkan maklumat tentang media dalam pustaka iTunes anda dan sama ada memadankan media kepada lagu yang tersedia dalam iTunes Store pada masa ini atau memuat naik lagu yang tidak boleh dipadankan. Selepas itu, lagu tersebut boleh diakses oleh peranti anda yang layak.

Apple One

Jika penyedia rangkaian mudah alih anda menawarkan langganan dan percubaan percuma Apple One, Apple mungkin menyemak nombor telefon anda untuk menentukan sama ada anda layak menerusi rakan kongsi penyedia rangkaian mudah alih. Jika anda mendaftar menerusi penyedia rangkaian mudah alih anda, nombor telefon anda digunakan untuk mengenal pasti akaun anda dan membolehkan penyedia rangkaian mudah alih mengetahui anda telah mengaktifkan langganan anda. Kami akan menggunakan nombor telefon yang berkaitan dengan langganan anda untuk mengesahkan akaun anda sewaktu daftar masuk dan untuk menghubungkan langganan Apple One anda dengan akaun anda.

Kaedah Bayaran, Kad Hadiah dan Menambah Dana ke Baki Apple ID

Untuk membuat pembelian daripada App Store, iTunes, Muzik dan banyak lagi, anda mesti menambahkan kaedah bayaran yang sah ke Apple ID anda. Untuk menambahkan kaedah bayaran pada iOS, pergi ke Seting > [nama anda] > Bayaran & Penghantaran, ketik Tambah Kaedah Bayaran dan tambah butiran bayaran yang berkaitan. Anda boleh menambah butiran bayaran dengan memasukkan maklumat secara manual atau mengambil gambar kad bayaran anda. Jika anda memilih untuk menambah butiran bayaran dengan mengambil gambar kad bayaran anda, peranti anda akan menarik maklumat berkaitan daripada imej untuk mengisikan medan yang diperlukan; imej tidak akan dilihat atau disimpan oleh Apple. Apple mengumpulkan dan menyimpan butiran kaedah bayaran yang anda sediakan, termasuk nombor akaun dan tarikh tamat tempoh, untuk melakukan pembelian anda, mematuhi undang-undang dan untuk mencegah penipuan. Anda juga boleh menyediakan Apple dengan alamat pengebilan dan penghantaran, yang mungkin digunakan untuk tujuan pemasaran dan analitis, serta untuk mematuhi undang-undang dan mencegah penipuan.

Apabila anda menggunakan kad bayaran, Apple mungkin mengekalkan dan mengemas kini nombor kad serta maklumat pengebilan anda secara automatik untuk pembelian masa depan, transaksi berulang atau penggunaan lain yang anda benarkan. Apple mungkin mendapatkan maklumat ini daripada institusi kewangan atau rangkaian bayaran anda dan turut menggunakannya untuk pencegahan penipuan serta pengesahan.

Jika anda telah mendayakan Apple Pay, Apple juga akan menyemak sama ada sebarang kaedah bayaran Apple Pay berkelayakan untuk ditambah sebagai kaedah bayaran dalam fail untuk Apple ID anda dan memaparkan kaedah bayaran tersebut di bawah Ditemui dalam Wallet. Apabila anda melakukan transaksi dengan Apple ID anda, Apple juga mungkin menyemak sama ada sebarang kaedah bayaran Apple ID dalam rekod berkelayakan untuk Apple Pay. Jika betul, untuk membantu melindungi maklumat bayaran anda, Apple mungkin mendayakan Apple Pay untuk kaedah bayaran tersebut. Anda boleh mengubah suai kaedah bayaran anda pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > [nama anda] > Bayaran & Penghantaran.

Anda boleh membeli Apple Gift Card menggunakan kaedah bayaran yang dikaitkan dengan Apple ID anda dan berkongsi kad hadiah bersama penerima dengan menyediakan Apple dengan alamat e-mel mereka, nama anda dan amaun kad hadiah. Anda juga boleh memasukkan mesej jika anda mahu. Apple akan menggunakan maklumat penerima untuk tujuan jualan dan penebusan kad hadiah, untuk mematuhi undang-undang serta untuk mencegah penipuan.

Anda juga boleh menebus Apple Gift Card dengan menggunakan nilai kad hadiah pada baki Apple ID anda. Apabila anda menebus Apple Gift Card, maklumat tentang kad hadiah akan dikaitkan dengan baki Apple ID anda dan mungkin digunakan oleh Apple untuk mematuhi undang-undang dan untuk mencegah penipuan. Maklumat tertentu tentang penebusan kad hadiah anda, seperti bilangan kad hadiah yang anda telah tebus, juga mungkin digunakan untuk memperibadikan pengalaman penebusan anda dan komunikasi daripada Apple dengan anda. Anda boleh menarik diri daripada penggunaan maklumat kad hadiah untuk pemeribadian dengan pergi ke iTunes Store, menskrol ke bahagian bawah, mengetik Apple ID > Lihat Apple ID dan mengetik untuk menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan.

Anda boleh menambahkan dana terus ke baki Apple ID anda menggunakan kaedah bayaran anda dalam fail. Apabila anda menambahkan dana anda pada baki Apple ID, anda mungkin mempunyai pilihan untuk menetapkan amaun automatik atau selang masa untuk peningkatan dana berulang. Apabila anda menyediakan peningkatan dana automatik, anda akan menerima komunikasi daripada Apple pada peranti anda atau melalui e-mel berkenaan baki anda atau peningkatan dana berulang (contohnya notis pengesahan, resit dan peringatan setelah anda mendaftar). Anda boleh mengemas kini atau menghentikan peningkatan dana automatik pada bila-bila masa dalam seting akaun Apple ID anda.

Selepas anda menebus kad hadiah atau menambah dana kepada baki Apple ID anda, baki akaun Apple anda yang dikemas kini akan kelihatan dalam Wallet supaya anda boleh menggunakan baki akaun Apple anda dengan mudah untuk pembelian Apple Store.

Untuk meningkatkan pengalaman anda dengan kaedah bayaran, kad hadiah dan menambahkan dana pada baki Apple ID anda, Apple mungkin mengumpulkan data tertentu tentang interaksi anda, termasuk klik serta ketikan anda, dengan seting bayaran akaun Apple ID anda.

Data Penggunaan

Kami juga mengumpulkan data tentang penggunaan iCloud anda untuk menyediakan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan. Untuk membantu menyelesaikan masalah pelanggan jika ia berlaku, sesetengah data ini mungkin dikaitkan dengan Apple ID anda. Kami mungkin menggunakan alamat IP anda untuk menentukan bandar dan negara yang anda akses perkhidmatan, tetapi kami tidak mengekalkannya.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses Apple ID anda dan maklumat berkaitan yang diterangkan di atas umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang yang berkenaan, kami memproses kategori data peribadi berikut mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga, termasuk maklumat tentang:

  • Akaun Apple ID anda, termasuk maklumat yang anda gunakan untuk mendaftar masuk, serta semua butiran kenalan, bayaran dan keselamatan, seperti nombor telefon dipercayai atau soalan keselamatan, yang anda gunakan merentas perkhidmatan Apple
  • App yang anda pasang, termasuk dari tempat anda memasangnya (contohnya, tapak web atau pasaran app)
  • Sama ada peranti anda layak untuk sesetengah ciri dan perkhidmatan yang diperlukan secara sah berdasarkan negara atau rantau yang peranti berada
  • Peranti anda, termasuk nama peranti anda, nombor siri dan pengecam perkakasan lain
  • Penggunaan dan langganan pelbagai perkhidmatan Apple oleh anda, seperti iCloud, iTunes Store, App Store, Apple Music dan Apple One
  • Butiran bayaran, termasuk nombor akaun dan tarikh tamat tempoh, alamat pengebilan dan penghantaran, serta maklumat penebusan kad hadiah

Kepentingan sah ini termasuk:

  • Menyediakan perkhidmatan dan sokongan yang lebih baik untuk anda dan orang lain serta bagi tujuan perakaunan, pelaporan dan analitis
  • Menentukan ketersediaan dan mendayakan ciri serta perkhidmatan yang diperlukan secara sah
  • Menggunakan data anda untuk menghantar tawaran kepada anda menerusi e-mel dan pemberitahuan push yang mungkin menarik minat anda
  • Semak kelayakan untuk tawaran
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain

Pengekalan

Apabila anda membuat pembelian seperti langganan, kami mengekalkan data peribadi yang dikaitkan dengan pembelian anda untuk tempoh yang ditentukan oleh undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan pelaporan kewangan yang berbeza-beza mengikut rantau. Untuk kebanyakan pelanggan, ini memerlukan tempoh pengekalan sekurang-kurangnya selama 10 tahun, tetapi di rantau seperti China, tempoh tersebut boleh menjadi 30 tahun. Kami juga mungkin mengekalkan rekod interaksi anda dengan perkhidmatan yang berkaitan dengan iCloud. Rekod ini lazimnya disimpan selama 30 hari tetapi mungkin disimpan sehingga tiga tahun dalam bentuk yang diagregatkan, melainkan kami diperlukan oleh undang-undang atau proses perundangan untuk menyimpannya bagi tempoh yang lebih lama.

Jika anda memadamkan akaun Apple ID anda, kami mengekalkan rekod akaun yang dipadamkan untuk mematuhi kewajipan undang-undang, termasuk seperti yang diterangkan di atas dan selama yang perlu untuk kepentingan keselamatan akaun yang sah. Jika anda memilih untuk mencipta akaun baharu kemudian, anda akan perlu menggunakan alamat e-mel yang tidak dikaitkan dengan akaun yang anda minta kami padam. Jika anda menggunakan nombor telefon untuk mencipta akaun anda, nombor tersebut tidak boleh digunakan untuk mencipta akaun lain untuk sebab yang sama. Anda tidak akan dapat mengeluarkan alamat e-mel utama untuk akaun atau nombor telefon jika anda telah menggunakannya untuk mencipta akaun. Kami juga mungkin diperlukan untuk mengekalkan maklumat bagi mematuhi penyelesaian mahkamah atau proses mandat lain yang setara.

Apabila kami memadamkan akaun, kami berusaha sebaik mungkin untuk memadamkan semua data peribadi yang dikaitkan dengan akaun anda. Jika kami memadamkan data peribadi anda, kami akan membuatkan data peribadi tertentu tentang anda tidak dapat dipulihkan secara kekal dan juga menyahkenal pasti data peribadi tertentu.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 5 Mac 2024