App Apple TV & Privasi

Main balik, carian, pembelian dan skor kepercayaan peranti anda digunakan untuk memperibadikan pengalaman anda, meningkatkan perkhidmatan, menghantar pemberitahuan kepada anda dan mencegah penipuan. Nombor siri peranti anda mungkin digunakan untuk menyemak kelayakan bagi tawaran.
 

App Apple TV direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • App Apple TV menyediakan semua rancangan TV dan filem kegemaran anda di satu tempat dan mengesyorkan kandungan lain yang mungkin anda nikmati.
  • Apple mengumpulkan maklumat tentang pembelian, muat turun, aktiviti anda dalam app Apple TV, kandungan yang anda tonton serta tempat anda menontonnya dalam app Apple TV dan dalam app bersambung pada sebarang peranti disokong anda. Kami menggunakan maklumat ini untuk menyediakan perkhidmatan dan untuk meningkatkan app Apple TV bagi anda dan orang lain.
  • Kami juga mengumpulkan maklumat tentang pembelian, muat turun, aktiviti anda dalam app Apple TV, kandungan yang anda tonton serta tempat anda menontonnya untuk memperibadikan ciri dan menawarkan pengesyoran yang diperibadikan serta untuk menghantar pemberitahuan kepada anda. Anda boleh menarik diri daripada penggunaan data untuk tujuan ini, seperti yang diterangkan di bawah.
  • Kami menggunakan maklumat tentang filem dan rancangan TV yang anda beli serta muat turun untuk menawarkan pengiklanan bagi memastikan Iklan dalam App Store, Apple News dan Saham, jika tersedia, adalah berkaitan dengan anda. Anda mempunyai pilihan berhubung dengan pengiklanan ini, seperti yang diterangkan di bawah.
  • Untuk membantu mengecam dan mencegah penipuan, maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk bilangan anggaran panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar dan terima, akan digunakan untuk mengira skor kepercayaan peranti apabila anda cuba membeli. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai sebenar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.

Apple TV membenarkan anda menonton rancangan TV dan filem kegemaran anda di satu tempat. Anda boleh menonton kandungan yang anda telah sewa atau beli daripada Apple. Jika tersedia, anda juga boleh mengakses kandungan melalui Apple TV+, saluran Apple TV dan app video pihak ketiga bersambung anda. Anda boleh mengakses semua kandungan ini menerusi app Apple TV merentas peranti disokong yang didaftar masuk ke Apple ID yang sama.

Menyediakan App Apple TV

Kami menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan perkhidmatan dan ciri dalam app Apple TV. Maklumat ini termasuk maklumat akaun dan bayaran anda, yang boleh anda akses dan tukar dalam Seting.

Apple mengumpulkan maklumat tentang kandungan yang anda beli dan kandungan yang anda tonton dalam app Apple TV pada sebarang peranti yang disokong yang didaftar masuk ke Apple ID yang sama. Apple menyimpan maklumat ini yang dikaitkan dengan Apple ID anda, supaya kami boleh memaparkan kandungan yang sedang anda tonton merentas peranti anda yang disokong. Apabila anda mendaftar masuk ke app pihak ketiga, maklumat tentang sama ada anda telah melanggan perkhidmatan tersebut digunakan untuk memaparkan kandungan yang tersedia kepada anda. Jika anda memberikan keizinan kepada app pihak ketiga untuk disambungkan ke app Apple TV, Apple akan mengumpulkan dan menyimpan maklumat tentang perkara yang anda tonton daripada app tersebut pada sebarang peranti anda yang disokong, serta status langganan anda. App Apple dengan kandungan disokong, seperti Apple Music, akan disambungkan secara automatik apabila anda mula menggunakan app Apple TV.

Maklumat tentang video yang sedang anda tonton akan termasuk kandungan yang anda mainkan, masa anda memainkannya, peranti yang anda gunakan untuk memainkan kandungan tersebut dan kedudukan dalam kandungan tersebut yang anda menjeda atau berhenti menonton. Kami juga mengumpulkan sejarah terperinci tentang semua aktiviti main balik untuk saluran Apple TV dan Apple TV+.

Jika anda membenarkan app Apple TV mengakses lokasi anda, lokasi anda akan digunakan untuk menentukan perkara yang tersedia di rantau anda, termasuk kandungan tempatan seperti perlawanan langsung, acara dan berita. Sesetengah kandungan termasuk iklan dengan perkaitan geografi.

Meningkatkan App Apple TV

Apple mengumpulkan maklumat tentang penggunaan app Apple TV oleh anda dan akaun anda, termasuk ciri yang anda gunakan (contohnya, Seterusnya atau Pustaka), item yang anda cari, interaksi anda dengan pemberitahuan, halaman kandungan yang anda layari atau lihat dan maklumat tentang ralat atau ranap dalam app serta poskod pengebilan anda. Kami menggunakan maklumat ini, maklumat lokasi anggaran yang tidak mengenal pasti anda dan maklumat tentang kandungan yang anda tonton untuk membantu meningkatkan serta mengoptimumkan perkhidmatan bagi anda dan orang lain. Kami juga mengumpulkan maklumat tentang peranti anda seperti jenis peranti, saluran yang peranti anda diperoleh, versi sistem pengendalian anda dan jumlah ruang kosong pada peranti anda. Kami mungkin menggunakan maklumat ini untuk menilai sama ada kandungan yang diminta boleh dimuat turun, memahami aliran umum dalam penggunaan dan storan peranti dan sama ada peranti anda disambungkan melalui Wi-Fi atau selular. Contohnya, mengetahui tentang ruang kosong pada peranti anda telah membolehkan kami membina ciri yang membolehkan anda membeli filem pada iPhone anda tanpa memuat turunnya sewaktu pembelian. Jika anda menggunakan SharePlay untuk menonton kandungan bersama pengguna lain, app Apple TV akan mengumpulkan maklumat bahawa anda menonton kandungan tersebut semasa sesi SharePlay dan bilangan peranti yang menyertai sesi tersebut, tetapi tidak mengumpulkan sebarang maklumat untuk mengenal pasti peserta sesi SharePlay.

Memperibadikan App Apple TV

Kami peribadikan app Apple TV untuk membantu anda menemui kandungan yang paling berkaitan dengan anda. Contohnya, kami mengesyorkan filem yang kami berpendapat akan diminati oleh anda berdasarkan filem yang anda tonton sebelum ini. Untuk menyediakan pemeribadian, kami menggunakan maklumat termasuk kandungan yang anda tonton, pembelian, langganan, muat turun, pelayaran dan aktiviti lain anda dalam app Apple TV, serta maklumat daripada akaun anda seperti umur anda.

Jika anda tidak mahu Apple menggunakan maklumat tentang kandungan yang anda tonton pada peranti ini dalam app Apple TV untuk pemeribadian pada semua peranti yang menyokong app Apple TV, anda boleh menyahaktifkan Gunakan Sejarah Main dalam Seting. Pada peranti iOS atau iPadOS anda, pergi ke Seting > TV > Gunakan Sejarah Main. Pada peranti visionOS atau tvOS anda, pergi ke Seting > App > TV > Gunakan Sejarah Main.

Anda boleh menyahaktifkan ciri pemeribadian dalam App Store, Apple Books, iTunes Store, Apple TV, Apple Podcasts dan untuk langganan daripada Apple dengan menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan bagi Apple ID anda. Pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > [nama anda] > Media & Pembelian > Lihat Akaun, kemudian ketik untuk menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan. Dalam app Apple TV pada Mac, pergi ke Akaun > Seting Akaun > Seting.

Berkomunikasi dengan Anda

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki, langganan perkhidmatan Apple anda, app Apple yang anda muat turun dan poskod pengebilan anda, untuk menghantar komunikasi kepada anda tentang app Apple TV serta produk, perkhidmatan dan tawaran Apple lain yang mungkin diminati anda, termasuk Apple One. Butiran tentang peranti anda, seperti nombor siri peranti, atau butiran tentang langganan App Store anda yang berkaitan mungkin digunakan untuk menyemak kelayakan bagi tawaran Apple. Jika anda berada dalam kumpulan Perkongsian Keluarga, Apple mungkin menghantar anda komunikasi tentang produk, perkhidmatan dan tawaran yang tersedia kepada anda menerusi Perkongsian Keluarga. Jika anda membeli langganan Apple One, kami mungkin menghantar e-mel dan pemberitahuan push kepada anda tentang ciri setiap perkhidmatan yang telah anda langgan. Apple juga mungkin menggunakan maklumat tentang aktiviti anda dalam app Apple TV untuk menghantar e-mel dan pemberitahuan push kepada anda tentang ciri, kandungan dan tawaran baharu yang tersedia dalam app Apple TV. Anda boleh menukar keutamaan e-mel anda dan menarik diri daripada menerima e-mel ini dengan pergi ke appleid.apple.com/my. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > Pemberitahuan > TV.

Pengiklanan

Dalam app Apple TV, jika anda membenarkan app Apple TV mengakses lokasi anda, lokasi anda boleh digunakan untuk menyiarkan iklan dengan perkaitan geografi.

Untuk app lain seperti App Store, Apple News dan Saham, jika seting Iklan Diperibadikan diaktifkan, platform pengiklanan Apple mungkin menggunakan maklumat anda, termasuk maklumat tentang filem serta rancangan TV yang anda beli daripada Apple, untuk menyiarkan iklan dalam app tersebut yang lebih berkaitan kepada anda.

Jika anda tidak mahu menerima iklan yang disasarkan pada minat anda daripada platform pengiklanan Apple, anda boleh memilih untuk menyahaktifkan Iklan Diperibadikan. Menyahaktifkan Iklan Diperibadikan akan menghalang Apple daripada menggunakan maklumat anda untuk penyasaran iklan. Ini mungkin tidak mengurangkan bilangan iklan yang anda terima, tetapi iklan mungkin kurang berkaitan kepada anda.

Anda boleh menukar seting Iklan Diperibadikan anda dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple.

Ketahui lebih lanjut tentang Pengiklanan Apple & Privasi di www.apple.com/legal/privacy/data/ms/apple-advertising.

Ketahui cara menarik diri daripada iklan diperibadikan pada App Store, Apple News dan Saham di support.apple.com/kb/HT202074.

Perkongsian dengan Pihak Ketiga

Kami memberikan sedikit data bukan peribadi kepada pengiklan dan rakan kongsi strategik kami yang bekerjasama dengan Apple untuk menyediakan produk serta perkhidmatan kami, membantu Apple memasarkan kepada pelanggan dan menjual iklan bagi pihak Apple untuk dipaparkan pada App Store, Apple News serta Saham. Contohnya, kami mungkin berkongsi data bukan peribadi tentang transaksi dan aktiviti tontonan anda, serta demografi pengguna teragregat seperti kumpulan umur, jantina (yang mungkin ditafsirkan daripada maklumat seperti nama dan gelaran anda dalam akaun Apple ID anda) dan rantau, kepada rakan kongsi strategik Apple TV, seperti pemilik kandungan, supaya mereka boleh mengukur prestasi karya kreatif mereka, memenuhi keperluan royalti dan perakaunan serta meningkatkan produk dan perkhidmatan mereka yang berkaitan.

Jika penyedia rangkaian mudah alih anda menawarkan langganan dan percubaan percuma Apple TV+, Apple mungkin menyemak nombor telefon anda bagi menentukan sama ada anda layak menerusi rakan kongsi penyedia rangkaian mudah alih. Jika anda mendaftar untuk langganan atau percubaan percuma Apple TV+ menerusi penyedia rangkaian mudah alih anda atau rakan kongsi Apple lain, Apple akan menggunakan nombor telefon anda atau pengecam akaun unik yang dikongsi oleh rakan kongsi untuk mengenal pasti akaun anda dan memberitahu penyedia rangkaian mudah alih atau rakan kongsi lain bahawa anda telah mengaktifkan langganan anda. Kami akan menggunakan nombor telefon atau pengecam unik yang berkaitan dengan langganan anda untuk mengesahkan akaun anda sewaktu daftar masuk dan untuk menghubungkan langganan Apple TV+ anda dengan akaun anda.

Jika anda mendaftar masuk ke app Apple TV pada peranti bukan Apple, Apple mungkin berkongsi maklumat dengan penyedia platform untuk membolehkan app berfungsi, supaya kandungan daripada langganan Apple TV anda kelihatan pada platform dan untuk menyokong ciri platform seperti menyediakan hasil carian dan pengesyoran diperibadikan. Ini mungkin termasuk maklumat tentang sama ada anda telah membuka app Apple TV dan, apabila tersedia, sama ada anda telah melanggan Apple TV+ serta saluran Apple TV. Anda boleh memilih untuk berhenti berkongsi maklumat langganan anda dalam seting app Apple TV pada peranti bukan Apple anda, walaupun berbuat demikian mungkin mengehadkan cara kandungan Apple TV kelihatan pada platform.

Pada peranti bukan Apple yang disokong, anda boleh memilih untuk berkongsi kandungan yang anda tonton, beli atau sewa dalam app Apple TV, termasuk Apple TV+, saluran Apple TV dan kandungan lain, (apabila tersedia) dengan penyedia platform pihak ketiga anda. Ini mungkin termasuk nama profil atau maklumat lain anda yang digunakan untuk memadankan data anda daripada app Apple TV dengan akaun atau profil anda pada peranti bukan Apple anda. Penyedia platform anda mungkin menggunakan maklumat anda daripada app Apple TV untuk mendayakan ciri platform seperti memaparkan rancangan yang sedang anda tonton dan pengesyoran diperibadikan. Anda boleh menyahaktifkan ini dengan pergi ke seting app Apple TV pada peranti bukan Apple anda. Pada sesetengah peranti, ini mungkin menghala anda ke seting platform.

Jika anda memilih untuk mendaftar masuk ke app Apple TV pada peranti bukan Apple, anda patut menyemak syarat, dasar privasi dan amalan penyedia platform untuk memahami data yang dikumpul, digunakan dan dikongsi mereka.

Pengekalan

Kami mengekalkan data peribadi yang dikaitkan dengan pembelian, muat turun dan aktiviti tontonan anda pada app Apple TV untuk tempoh masa yang berbeza bergantung pada keperluan perniagaan, kewajipan kontrak dan keperluan undang-undang. Untuk pembelian dan muat turun, ini selalunya memerlukan tempoh pengekalan sekurang-kurangnya selama 10 tahun, tetapi di rantau seperti China, tempoh tersebut boleh menjadi 30 tahun. Kami juga mengekalkan rekod pembelian dan muat turun kandungan anda selama sekurang-kurangnya tempoh masa anda mempunyai akaun dengan kami untuk membolehkan anda memuat turun kandungan tersebut selaras dengan syarat kami yang berkenaan. Kami mengekalkan maklumat lain seperti aktiviti pelayaran dan carian selama sehingga dua tahun. Sesetengah maklumat, seperti transaksi, tetapi bukan butiran kad disimpan anda mungkin dikekalkan sebagai rekod perniagaan walaupun selepas anda menutup akaun anda atau berhenti menggunakan app Apple TV.

Apabila anda menggunakan kad bayaran, Apple mungkin mengekalkan dan mengemas kini nombor kad serta maklumat pengebilan anda secara automatik untuk pembelian masa depan, transaksi berulang atau penggunaan lain yang anda benarkan. Apple mungkin mendapatkan maklumat ini daripada institusi kewangan atau rangkaian bayaran anda dan turut menggunakannya untuk pencegahan penipuan serta pengesahan.

Kosongkan Sejarah Main

Anda boleh mengosongkan sejarah main anda dalam app Apple TV di Seting. Dalam app Apple TV pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Akaun > Kosongkan Sejarah Main. Pada tvOS, pergi ke Seting > App > TV > Kosongkan Sejarah Main. Ini akan mengeluarkan semua rancangan TV dan filem daripada baris gilir Seterusnya anda dan menyahkaitkan sebarang sejarah main balik sebelum ini daripada akaun anda. Ini akan digunakan pada data main anda dan disimpan serta digunakan oleh Apple pada peranti yang menggunakan Apple ID yang sama. Jika anda menggunakan peranti bukan Apple dan telah memilih untuk berkongsi kandungan yang anda tonton dengan penyedia platform tersebut, mengosongkan sejarah main anda tidak akan mempengaruhi data main yang disimpan oleh penyedia platform. Anda patut menyemak syarat, dasar privasi dan amalan penyedia platform untuk memahami sama ada anda boleh memadamkan data yang disimpan oleh penyedia tersebut.

Anda boleh mengeluarkan item individu daripada baris gilir Seterusnya anda dengan menekan lama episod dan memilih Keluarkan daripada Seterusnya. Dalam menu sama, jika anda memilih Keluarkan daripada Terbaru Ditonton, yang juga akan mengeluarkan episod daripada digunakan untuk menjana pengesyoran diperibadikan. Walau bagaimanapun, Apple akan mengekalkan rekod sejarah main daripada saluran Apple TV dan Apple TV+ untuk laporan dan keperluan royalti.

App Disambungkan Pihak Ketiga

Anda mesti memberikan keizinan untuk app pihak ketiga anda yang mengambil bahagian untuk disambungkan ke app Apple TV bagi mula berkongsi kandungan yang anda tonton daripada app tersebut dengan Apple. Apabila anda menyediakan app Apple TV, anda akan diminta memberikan keizinan untuk berbilang aplikasi pada satu masa. Sesetengah app mungkin app yang anda belum pasang pada peranti tersebut dan keutamaan anda akan digunakan jika ia dipasang kemudian. Sama ada anda memberikan keizinan atau tidak, anda akan dapat menukar keutamaan anda untuk setiap app dalam Seting.

Jika pada bila-bila masa anda memutuskan untuk tidak lagi mahukan salah satu app pihak ketiga anda untuk disambungkan ke app Apple TV, anda boleh memutuskan sambungan app tersebut daripada app Apple TV dan Apple akan berhenti mengumpulkan data main anda daripada app pihak ketiga tersebut. Dalam app Apple TV pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Akaun > App Bersambung, pilih app pihak ketiga dan nyahaktifkannya. Pada tvOS, pergi ke Seting > App > TV > Sambungkan ke TV, pilih app pihak ketiga dan nyahaktifkannya. Apabila mengeluarkan app pihak ketiga daripada app Apple TV, anda juga boleh memilih untuk memadamkan semua maklumat data main yang telah dikumpulkan oleh Apple tentang kandungan yang telah anda tonton daripada app tersebut dengan memilih pilihan Keluarkan & Kosongkan Sejarah Main. Pada bila-bila masa, anda juga boleh memilih untuk memadamkan semua maklumat data main anda yang telah dikumpulkan oleh Apple tentang semua kandungan pihak ketiga yang anda tonton dalam app Apple TV dengan mengosongkan sejarah main anda seperti yang diterangkan di atas. Mengosongkan sejarah main anda dalam sebarang contoh yang diterangkan di sini hanya mengosongkan data main app pihak ketiga anda yang disimpan dan digunakan oleh Apple untuk app Apple TV. Ia tidak mempengaruhi sebarang data main yang disimpan secara berasingan oleh penyedia app pihak ketiga (sebagai contoh, dalam app mereka sendiri atau pada pelayan mereka).

Anda juga patut menyemak syarat, dasar privasi dan amalan app pihak ketiga anda yang mengambil bahagian untuk memahami cara mereka menggunakan dan berkongsi data main anda dan maklumat yang berkaitan.

Pengesyoran Kumpulan

Jika anda memilih untuk mendayakan Pengesyoran Kumpulan pada peranti Apple TV, maklumat tentang perkara yang anda tonton akan digunakan untuk membuat pengesyoran kumpulan dengan sebarang gabungan pengguna mengikut serta pada Apple TV yang sama. Jika akaun kanak-kanak berada dalam kumpulan, pengesyoran untuk kanak-kanak akan disertakan, tetapi sejarah tontonan mereka tidak akan digunakan. Anda boleh menyahaktifkan Pengesyoran Kumpulan untuk akaun anda pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > Pengguna dan Akaun, memilih profil anda, kemudian memilih Untuk Anda Semua.

Mencegah Penipuan dan Aktiviti Berniat Jahat Lain

Kami turut mengumpulkan data peribadi untuk mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain dalam app Apple TV. Maklumat ini termasuk maklumat peranti, seperti jenis peranti dan versi perisian, maklumat lokasi jika tersedia, sejarah muat turun dan pembelian serta interaksi lain dengan app Apple TV.

Kami juga mungkin mengira skor kepercayaan peranti pada peranti anda apabila anda cuba membeli, menggunakan maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk bilangan anggaran panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar dan terima. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai dasar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam app Apple TV umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses data peribadi mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga untuk:

  • Memaparkan kandungan yang tersedia dan berkaitan kepada anda, termasuk daripada perkhidmatan pihak ketiga
  • Menyemak kelayakan untuk tawaran, membantu meningkatkan dan mengoptimumkan perkhidmatan untuk anda dan orang lain, serta menghantar komunikasi kepada anda tentang app Apple TV dan produk, perkhidmatan, serta tawaran Apple lain yang mungkin menarik minat anda
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain

Data yang digunakan termasuk:

  • Penggunaan app Apple TV oleh anda, termasuk ciri yang anda gunakan (contohnya, Seterusnya atau Pustaka), item yang anda cari, interaksi anda dengan pemberitahuan, halaman kandungan yang anda layari atau lihat, perkara yang anda tonton, beli, langgan dan muat turun, serta maklumat tentang ralat atau ranap dalam app
  • Butiran tentang peranti dan akaun anda
  • Skor kepercayaan peranti
  • Lokasi anda

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 5 Mac 2024