Minta Siri, Perencanaan & Privasi

Apple menyimpan transkrip interaksi anda dengan Siri dan mungkin menyemak subset daripada transkrip tersebut. Siri juga mungkin menghantar maklumat seperti input suara, persediaan Siri, kenalan dan lokasi anda kepada Apple untuk memproses permintaan anda. Data tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.
 

Siri direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Minta Siri, Perencanaan & Privasi menggariskan kelakuan lalai untuk Siri dan Perencanaan. Jika anda mengikut serta untuk Tingkatkan Siri dan Perencanaan, data tambahan dikumpulkan, disimpan dan disemak. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lawati www.apple.com/legal/privacy/data/ms/improve-siri-dictation.

Apabila Anda Membuat Permintaan, Siri Menghantar Data Tertentu Tentang Anda kepada Apple untuk Memproses dan Membantu Membalas Permintaan Anda

Apabila anda menggunakan Siri, peranti anda akan menandakan dalam Seting Siri jika perkara yang anda sebutkan diproses pada peranti anda dan tidak dihantar kepada pelayan Siri. Jika tidak, input suara anda dihantar dan diproses pada pelayan Siri. Dalam semua kes, transkrip interaksi anda akan dihantar kepada Apple untuk memproses permintaan anda.

Apabila anda menggunakan Perencanaan, peranti anda akan menyatakan dalam Seting Papan Kekunci sama ada input suara dan transkrip anda untuk Perencanaan teks umum (contohnya, mengarang mesej dan nota, tetapi tidak melakukan perencanaan dalam kotak carian) diproses pada peranti anda dan tidak dihantar ke pelayan Siri. Jika tidak, perkara yang anda rencanakan dihantar dan diproses pada pelayan.

Apabila anda menggunakan Siri dan Perencanaan, peranti anda akan menghantar Data Siri lain kepada Apple, seperti:

  • Nama kenalan, nama panggilan dan perhubungan (contohnya “ayah saya”) jika anda menyediakannya dalam kenalan anda
  • Bentuk alamat, jika disetkan dalam seting bahasa dan rantau
  • Muzik dan podcast yang anda nikmati
  • Nama peranti anda dan ahli Perkongsian Keluarga anda
  • Nama aksesori, rumah, suasana, ahli rumah dikongsi dalam app Rumah dan profil pengguna Apple TV
  • Label untuk item, seperti nama orang dalam Foto, nama Penggera dan nama senarai Peringatan
  • Nama app yang dipasang pada peranti anda dan pintasan yang anda tambahkan melalui Siri

Data Siri, yang juga menyertakan transkrip permintaan Siri anda yang dijanakan oleh komputer, digunakan untuk membantu Siri dan Perencanaan pada peranti iOS anda dan sebarang Apple Watch, HomePod atau aksesori HomeKit disokong yang disediakan dengan peranti iOS anda, memahami anda dengan lebih baik dan mengecam perkara yang anda sebut.

Data Siri, termasuk permintaan Siri anda, dikaitkan dengan pengecam rawak yang dijanakan oleh peranti. Pengecam rawak ini tidak dipautkan ke Apple ID, alamat e-mel, atau data lain anda yang mungkin dimiliki oleh Apple daripada penggunaan perkhidmatan Apple lain oleh anda.

Data Siri tidak digunakan untuk membina profil pemasaran dan tidak pernah dijual kepada sesiapa.

Jika anda mengaktifkan Perkhidmatan Lokasi, lokasi peranti anda pada waktu anda membuat permintaan juga akan dihantar kepada Apple untuk membantu Siri dan Perencanaan meningkatkan ketepatan balasannya kepada permintaan anda. Untuk memberikan balasan yang berkaitan, Apple mungkin menggunakan alamat IP sambungan internet anda untuk menganggarkan lokasi anda dengan memadankannya ke rantau geografi.

Hanya Data Minimum Disimpan pada Pelayan Siri

Apabila anda menggunakan Siri, Apple menyimpan transkrip interaksi anda dengan Siri serta mungkin menyemak subset transkrip ini untuk membangunkan dan meningkatkan Siri dan Perencanaan serta ciri pemprosesan bahasa lain seperti Kawalan Suara.

Apabila anda menggunakan Perencanaan, peranti anda akan menyatakan dalam Seting Papan Kekunci sama ada input suara dan transkrip anda untuk Perencanaan teks umum (contohnya, mengarang mesej dan nota, tetapi tidak melakukan perencanaan dalam kotak carian) diproses pada peranti anda dan tidak dihantar ke atau disimpan pada pelayan Siri secara lalai. Sebaliknya, Apple menyimpan transkrip perkara yang anda rencanakan dan mungkin menyemak subset transkrip ini untuk membangunkan serta meningkatkan Siri, Perencanaan serta ciri pemprosesan bahasa lain seperti Kawalan Suara.

Sejarah permintaan anda dikaitkan dengan pengecam rawak selama sehingga enam bulan. Sejarah permintaan anda mungkin menyertakan transkrip, audio untuk pengguna yang mengikut serta ke Tingkatkan Siri dan Perencanaan, Data Siri serta data berkaitan seperti spesifikasi peranti, konfigurasi peranti, statistik prestasi dan anggaran lokasi peranti anda pada waktu permintaan dilakukan. Selepas enam bulan, sejarah permintaan anda dinyahkaitkan daripada pengecam rawak dan mungkin disimpan sehingga dua tahun untuk membantu Apple membangunkan dan meningkatkan Siri, Perencanaan dan ciri pemprosesan bahasa lain seperti Kawalan Suara. Subset kecil permintaan yang telah disemak mungkin disimpan selama lebih daripada dua tahun, tanpa pengecam rawak, untuk peningkatan berterusan Siri.

Jika anda memilih untuk membenarkan app pihak ketiga bersepadu dengan Gunakan dengan Minta Siri, sesetengah data daripada app ini mungkin dihantar kepada Apple untuk membantu Siri memahami permintaan anda dan sebahagian permintaan anda akan dikongsi dengan app yang membantu memberi respons atau mengambil tindakan (contohnya, menghantar mesej atau menempah kenderaan). Apabila Siri berinteraksi dengan app pihak ketiga untuk diri anda, anda akan tertakluk pada terma dan syarat serta dasar privasi app tersebut. Jika anda memilih untuk membenarkan app menggunakan Siri bagi transkripsi, data suara yang akan ditranskripsi mungkin dihantar kepada Apple.

Seting Siri anda akan diselaraskan merentas peranti Apple anda menggunakan penyulitan hujung ke hujung jika anda menggunakan iCloud. Jika anda telah menyediakan Siri, sampel kecil permintaan anda juga akan diselaraskan menggunakan penyulitan hujung ke hujung untuk meningkatkan pengecaman Siri yang diperibadikan pada setiap peranti. Model pengecaman pertuturan yang diperibadikan dan interaksi anda dengan Siri dan Perencanaan yang dilakukan pada peranti mungkin mempengaruhi maklumat pada peranti anda untuk meningkatkan ketepatan dan prestasi model. Status pemasa, penggera, media dikongsi anda yang berdekatan dan, jika anda mengikut serta dalam Permintaan Peribadi pada HomePod, status panggilan telefon, daripada peranti anda dan kehampiran peranti sedemikian mungkin dikongsi secara setempat dengan peranti Apple berdekatan anda supaya orang lain dapat mengawalnya daripada peranti berdekatan anda dengan Siri didayakan.

Anda Mempunyai Pilihan dan Kawalan

Anda boleh menyahdayakan Minta Siri atau Perencanaan pada bila-bila masa. Untuk menyahaktifkan Minta Siri, pergi ke Seting > Siri & Carian > “Dengar” dan ketik untuk menyahaktifkan “Dengar”, serta Seting > Siri & Carian dan ketik untuk menyahaktifkan “Butang Utama untuk Siri” atau “Tekan Butang Sisi untuk Siri”. Untuk menyahaktifkan Perencanaan, pergi ke Seting > Umum > Papan Kekunci, kemudian ketik untuk menyahaktifkan Dayakan Perencanaan. Jika anda menyahaktifkan Minta Siri dan Perencanaan, Apple akan memadamkan Data Siri yang dikaitkan dengan pengecam rawak.

Anda boleh memadamkan sejarah permintaan yang dikaitkan dengan pengecam rawak dan disimpan selama enam bulan dengan pergi ke Seting > Siri & Carian > Sejarah Siri & Perencanaan dan mengetik Padam Sejarah Siri & Perencanaan.

Anda boleh mengawal app yang boleh bersepadu dengan Gunakan dengan Minta Siri pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > Siri & Carian > [nama app] > Gunakan dengan Minta Siri.

Anda boleh menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi untuk Siri dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi, mengetik Siri & Perencanaan dan mengetik Jangan.

Jika anda tidak mahu pemeribadian Siri diselaraskan merentas peranti, anda boleh menyahdayakan Siri dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud dan mengetik untuk menyahaktifkan Siri.

Anda juga boleh mengehadkan terus keupayaan untuk menggunakan Siri & Perencanaan dengan pergi ke Seting > Masa Skrin > Kandungan & Privasi > App Dibenarkan dan mengetik Siri & Perencanaan.

Anda boleh mengawal app yang menggunakan Siri untuk transkripsi dalam Seting > Privasi & Keselamatan > Pengecaman Pertuturan.

Dengan menggunakan Siri atau Perencanaan, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan maklumat ini oleh Apple dan subsidiari serta ejennya, untuk menyediakan dan meningkatkan Siri dan fungsi perencanaan dalam produk dan perkhidmatan Apple. Apple mungkin memproses dan menyimpan maklumat ini dengan penyedia khidmat pihak ketiga yang dipercayai. Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023