Kamera dan ARKit & Privasi

Apple mereka bentuk kamera dengan mengutamakan privasi dan aplikasi pihak ketiga mesti memperoleh keizinan anda sebelum mengakses Kamera.

Pada peranti iOS, app yang anda berikan akses kepada Kamera boleh mengakses imej masa nyata daripada kamera depan dan belakang. App tidak dibenarkan untuk menggunakan kamera tanpa ketelusan bahawa kamera sedang digunakan.

Foto dan video yang diambil dengan kamera mungkin mengandungi maklumat lain, seperti tempat serta masa foto dan video diambil, kedalaman medan serta tangkapan rentas. Jika anda tidak mahu foto dan video yang diambil dengan app Kamera menyertakan lokasi, anda boleh mengawal ini pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi > Kamera. Jika anda tidak mahu foto dan video menyertakan lokasi apabila dikongsi, anda boleh menyahaktifkan lokasi dalam menu Pilihan dalam helaian kongsi.

Kamera Kesinambungan membolehkan anda menggunakan iPhone atau iPad anda sebagai kamera web untuk peranti lain. Pada Mac, iPhone anda akan bersambung secara lalai apabila kedua-dua peranti berada berdekatan dan didaftar masuk ke Apple ID yang sama. Pada Apple TV, anda boleh menyambungkan iPhone atau iPad secara manual apabila kedua-dua peranti berada berdekatan satu sama lain. Anda boleh sentiasa menjeda strim aktif kamera dengan menekan butang Jeda atau pada iPhone dengan meleret ke atas dari pinggir bawah skrin atau menekan butang Utama. Untuk menjeda dan mengeluarkan iPhone atau iPad buat sementara daripada senarai kamera pada Mac atau Apple TV, ketik Putus Sambungan pada peranti anda. Anda boleh menyahdayakan penggunaan iPhone atau iPad anda sebagai kamera web untuk Mac atau Apple TV dengan pergi ke Seting > Umum > AirPlay & Handoff pada peranti iPhone atau iPad anda.

Pada model iPhone terpilih atau apabila menggunakan Kamera Kesinambungan, Center Stage menyorot dan mengezum kamera depan secara automatik untuk memastikan anda berada dalam bingkai bagi app yang didayakan. Kamera akan mengezum secara lancar untuk memuatkan orang yang memasuki bingkai. Anda boleh menyahdayakan Center Stage semasa panggilan video dengan meleret ke bawah dari pinggir kanan atas skrin anda untuk mengakses Pusat Kawalan, mengetik butang Kesan Video, kemudian mengetik butang Center Stage. Anda boleh mengawal sama ada app yang disokong menggunakan Center Stage pada bila-bila masa dengan mengikuti pilihan Pusat Kawalan atau dalam app sendiri.

App yang anda berikan akses kepada Kamera boleh menggunakan ARKit untuk menyediakan pengalaman AR. App boleh menggabungkan, menggunakan dan menyimpan data yang diperoleh daripada ARKit dengan data daripada Kamera, seperti lokasi yang berkaitan dengan foto. App ini boleh menggunakan kamera untuk menempatkan pengalaman AR anda menggunakan penjejakan dunia atau wajah. Penjejakan Dunia menggunakan algoritma pada peranti anda untuk memproses maklumat daripada sensor ini untuk menentukan kedudukan pengguna secara relatif kepada ruang fizikal. Penjejakan Dunia mendayakan ciri seperti Arah Optik dalam Peta.

Tarikh Terbitan: 18 September 2023