Periksa & Privasi

Periksa membolehkan anda berkongsi maklumat tentang kemajuan anda ke destinasi dengan rakan. Anda juga boleh menyediakannya untuk tempoh masa tertentu.
 

Periksa direka bentuk untuk melindungi maklumat anda, membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi dan hanya berkongsi apabila anda perlu.

Privacy Icon

  • Maklumat tentang peranti anda seperti paras bateri, status selular dan lokasi terakhir peranti anda yang diketahui, mungkin dikongsi dengan rakan anda dalam keadaan sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
  • Kandungan sebarang maklumat daripada sesi Periksa anda yang dikongsi dengan rakan anda disulitkan hujung ke hujung.
  • Apple menyimpan data peribadi terhad tentang penggunaan Periksa oleh anda, seperti sama ada anda aktif dalam sesi Periksa pada masa ini, untuk tempoh masa sesi Periksa dan 24 jam selepas itu.
  • Destinasi dan anggaran masa ketibaan anda akan dikongsi dengan rakan apabila memulakan sesi destinasi.

Anda boleh menggunakan Periksa untuk berinteraksi dengan dan berkongsi perjalanan anda dengan rakan. Anda boleh memulakan sesi Periksa dengan iPhone anda yang menggunakan iOS 17 atau lebih baharu. Anda dan juga rakan Periksa anda perlu mendayakan iMessage serta didaftar masuk dengan Apple ID anda sendiri dan mendayakan pengesahan dua faktor.

Destinasi dan anggaran masa ketibaan anda akan dikongsi dengan rakan anda apabila memulakan sesi destinasi. Rakan anda akan dihantar pemberitahuan automatik yang memaklumkan mereka apabila peranti anda tiba di destinasi anda atau apabila tempoh masa anda tamat dan anda mengesahkan anda ok. Anda juga boleh membatalkan Periksa pada bila-bila masa dengan mengetik “Tamatkan Periksa” atau “Henti Berkongsi”. Apabila sesi Periksa ditamatkan, rakan anda akan menerima pemberitahuan secara automatik dan maklumat tentang sesi Periksa anda akan dipadamkan.

Semasa dalam sesi Periksa, maklumat tentang peranti anda akan disimpan buat sementara. Memandangkan Periksa menggunakan iMessage, maklumat ini disulitkan hujung ke hujung. Jika sesuatu yang tidak dijangka berlaku, seperti peranti anda gagal mencapai destinasinya atau hilang ketersambungan; atau peristiwa kecemasan, seperti Pengesanan Nahas, Pengesanan Jatuh; atau anda menggunakan sebarang daripada ciri SOS Kecemasan dan anda tidak membalas gesaan pada peranti anda, iMessage akan dihantar secara automatik kepada rakan anda untuk memaklumkan mereka. Mereka juga akan dihantar pilihan untuk memuat turun maklumat Periksa anda tentang peranti anda, termasuk paras bateri, status selular dan lokasi terakhir yang diketahui. Anda juga boleh mengikut serta dalam berkongsi laluan yang diambil peranti anda dari titik mula anda ke lokasi terakhir peranti anda yang diketahui. Peranti anda akan terus memantau kemajuan anda dan mengemas kini rakan anda dengan status peranti anda untuk sehingga 24 jam selepas peristiwa. Peranti anda dan peranti rakan anda akan menyimpan maklumat Periksa anda yang dimuat turun secara setempat hingga tujuh hari. Dalam keadaan rakan anda telah dimaklumkan secara silap, anda boleh menamatkan sesi dengan mengetik Tamatkan Periksa dan memberitahu mereka dengan menghubungi mereka dalam, contohnya app Mesej atau Telefon.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Apabila anda menggunakan Periksa, Apple memproses data peribadi anda seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses kategori data peribadi berikut mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga, termasuk maklumat tentang sama ada anda dalam sesi Periksa pada masa ini dengan orang lain, identiti orang itu dan jika cache dilepaskan dalam sesi semasa.

Kepentingan sah ini termasuk untuk:

  • Menyelesaikan masalah, mencegah penipuan atau kegiatan jenayah
  • Membantu mengekalkan seni bina Periksa dengan memastikan maklumat sesi anda dihantar kepada kenalan yang betul

Pengekalan

Apple mengekalkan data peribadi hanya setakat yang perlu untuk memenuhi tujuan yang data tersebut dikumpulkan, termasuk seperti yang diterangkan dalam Dasar Privasi Apple atau dalam notis privasi khusus perkhidmatan kami, atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang. Apabila menilai tempoh pengekalan, kami mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sama ada perlu mengekalkan data peribadi yang dikumpulkan, jika pengekalan diperlukan, berusaha untuk mengekalkan data peribadi bagi tempoh paling singkat yang mungkin yang dibenarkan di bawah undang-undang. Apple menyimpan data peribadi terhad tentang penggunaan Periksa oleh anda, seperti sama ada anda aktif dalam sesi Periksa pada masa ini dan dengan siapa, untuk tempoh masa sesi Periksa dan sehingga 24 jam selepas itu.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023