ClassKit & Privasi

ClassKit direka dengan mengutamakan privasi pelajar.

Jika Sekolah atau Institusi (“Institusi”) anda mendayakan ciri Kemajuan Pelajar, app yang melaporkan kemajuan melaporkan data tentang kemajuan anda dalam aktiviti yang ditugaskan, seperti membaca bab dalam buku, melengkapkan set persamaan matematik atau melakukan kuiz. Data kemajuan yang dilaporkan boleh termasuk masa yang diluangkan berdasarkan masa mula dan tamat pada aktiviti yang ditetapkan; peratusan pelengkapan; nilai binari seperti ya/tidak, benar/palsu dan lengkap/tidak lengkap; nilai angka seperti kiraan perkataan dan mata diperoleh; dan markah seperti markah kuiz. Sekurang-kurangnya, setiap aktiviti yang menyokong pelaporan kemajuan menghantar data masa yang diluangkan. Data ini dihantar kepada Apple oleh app yang melaporkan kemajuan dan dikongsi dengan Institusi anda supaya guru anda boleh memahami kemajuan pembelajaran anda dengan lebih baik berkenaan aktiviti yang ditugaskan.

Data kemajuan hanya dilaporkan mengikut arahan Institusi anda, untuk aktiviti yang ditugaskan secara jelas oleh guru anda dalam app yang melaporkan kemajuan dan apabila anda didaftar masuk ke Apple ID Terurus anda, yang dicipta serta ditetapkan oleh Institusi anda. Kali pertama anda mengakses app yang melaporkan kemajuan semasa mendaftar masuk ke Apple ID Terurus anda pada iPad, termasuk iPad Dikongsi atau iPad yang anda miliki di rumah, anda akan menerima pemberitahuan pada skrin tentang pelaporan kemajuan pelajar. Selepas itu, apabila anda mula mengusahakan aktiviti yang ditugaskan dalam app yang melaporkan kemajuan, sepanduk pemberitahuan pada skrin berkenaan pelaporan kemajuan pelajar akan dipaparkan buat sementara.

Meningkatkan Schoolwork

Institusi anda mungkin membenarkan Apple memproses data penggunaan Schoolwork anda, termasuk data kemajuan anda, menggunakan teknik seperti pembelajaran mesin, untuk tujuan meningkatkan Schoolwork. Sebelum data diproses, ia tertakluk kepada teknik pengekalan privasi seperti privasi kebezaan supaya data tidak dikaitkan dengan anda. Contohnya, Apple mungkin memproses data Schoolwork anda yang dinyahkenalpasti atau teragregat untuk memahami aliran dalam penggunaan, menyesuaikan pengalaman pengguna dan membangunkan ciri pendidikan baharu bagi Schoolwork. Kali pertama anda mengakses Schoolwork semasa mendaftar masuk ke Apple ID Terurus anda selepas Institusi anda mendayakan ciri ini, anda akan menerima pemberitahuan atas skrin. Institusi anda mempunyai keupayaan untuk menarik diri pelajar dan guru individu daripada ciri ini. Untuk menarik diri, hubungi Institusi anda.

Ketelusan dan Kawalan

Anda boleh melihat data kemajuan yang dihantar kepada Apple oleh app yang melaporkan kemajuan dan dikongsi dengan Institusi anda dengan pergi ke Seting > Kemajuan Kelas. Anda juga boleh melihat paparan lengkap data kemajuan anda dalam Schoolwork, jika dipasang pada peranti anda.

Institusi anda bertanggungjawab untuk data kemajuan anda di bawah Perjanjian Apple School Manager. Institusi anda mengawal sama ada untuk mendayakan ciri Kemajuan Pelajar dan mempunyai keupayaan untuk menarik diri pelajar daripada berkongsi kemajuan mereka atas permintaan mereka. Jika anda mahu berhenti berkongsi kemajuan anda dengan Institusi anda, atau untuk memadamkan data kemajuan anda, hubungi Institusi anda.

Semasa data kemajuan anda disimpan oleh Apple, ia disulitkan semasa disimpan dan semasa dihantar. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang cara data anda disimpan, lihat gambaran keseluruhan keselamatan iCloud kami di support.apple.com/kb/HT202303.

Pengekalan

Apple mengekalkan sebarang data kemajuan mengikut arahan Institusi anda. Jika anda meminta Institusi anda memadamkan data anda atau memadamkan Apple ID Terurus anda dan Institusi anda mengarahkan Apple berbuat demikian, Apple akan memadamkan data pada pelayannya dalam masa 30 hari.

Jika Institusi anda mengeluarkan anda daripada kelas dalam Apple School Manager, data kemajuan pelajar anda untuk kelas tersebut akan dipadamkan. Pengeluaran kelas dalam Apple School Manager oleh Institusi anda juga akan memadamkan semua data berkaitan.

Pembangun

Kami telah menetapkan pematuhan tambahan pada semua pembangun yang mengguna pakai ClassKit. Sebagai tambahan kepada memenuhi keperluan standard kami untuk menerbitkan app di App Store, pembangun yang menggunakan ClassKit mesti memastikan penggunaan ClassKit oleh mereka direka bentuk untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan. Mereka juga perlu menyediakan dasar privasi yang sesuai dan menyeluruh untuk semua penggunaan data mereka.

Maklumat yang dikumpulkan oleh Apple berhubung dengan peruntukan perkhidmatannya yang memerlukan Apple ID Terurus di bawah Perjanjian Apple School Manager akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy serta Seksyen 3 dan Lampiran A dalam Perjanjian Apple School Manager, yang boleh ditemui di school.apple.com. Jika terdapat konflik antara Dasar Privasi Apple serta Seksyen 3 dan Lampiran A dalam Perjanjian Apple School Manager, Seksyen 3 dan Lampiran A dalam Perjanjian Apple School Manager akan diutamakan.

Tarikh Terbitan: 15 Februari 2022