FaceTime & Privasi

Anda boleh mendaftarkan nombor telefon atau Apple ID anda untuk membuat panggilan FaceTime. Apple mengekalkan maklumat terhad tentang penggunaan FaceTime, seperti masa anda cuba membuat panggilan FaceTime sehingga 30 hari.
 

FaceTime direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • FaceTime disulitkan hujung ke hujung. Nombor telefon atau alamat e-mel yang anda gunakan ditunjukkan kepada orang yang anda hubungi dan anda boleh memilih untuk berkongsi nama serta foto anda.
  • Apple mengekalkan maklumat terhad tentang penggunaan FaceTime, seperti masa anda cuba membuat panggilan FaceTime, sehingga 30 hari.
  • FaceTime membenarkan pengguna web di rantau tertentu menyertai panggilan FaceTime melalui web.

FaceTime ialah perkhidmatan Apple yang membuat panggilan video atau audio kepada seseorang yang juga menggunakan peranti iOS, iPadOS atau visionOS, atau Mac, panggilan audio menggunakan Apple Watch, atau menerusi web. Panggilan ini tidak diambil kira dalam minit selular anda.

Kami telah mereka bentuk FaceTime untuk menggunakan penyulitan hujung ke hujung. Kami langsung tidak menyimpan kandungan panggilan FaceTime.

Anda boleh mendaftar masuk ke FaceTime menggunakan Apple ID anda, atau hanya nombor telefon anda. Jika anda mendaftar masuk dengan Apple ID anda pada peranti anda, anda akan daftar masuk ke FaceTime secara automatik. Apple ID atau nombor telefon anda akan ditunjukkan kepada orang yang anda hubungi dan orang dapat menghubungi anda menggunakan Apple ID anda serta alamat e-mel atau nombor telefon pada akaun anda. Anda boleh memilih nombor telefon atau alamat e-mel yang ingin anda gunakan untuk panggilan FaceTime dalam seting FaceTime. Anda boleh menambah dan mengesahkan maklumat Boleh Dihubungi Di tambahan daripada halaman akaun Apple ID anda di appleid.apple.com/my.

SharePlay membolehkan anda berkongsi pengalaman daripada app Apple atau pihak ketiga dalam panggilan FaceTime. Kandungan yang dihantar oleh app melalui SharePlay disulitkan hujung ke hujung.

Pautan FaceTime membolehkan pengguna menyediakan panggilan kemudian dan menjemput peserta pada Windows atau Android untuk menyertai melalui web. Pengguna web akan diperlukan memberikan nama untuk mengenal pasti diri mereka dan meminta akses kepada panggilan FaceTime. Mana-mana pengguna yang disahkan dalam panggilan boleh mengeluarkan pengguna web dalam masa 30 saat pertama pengguna web tersebut menyertai panggilan.

Untuk panggilan Audio FaceTime dan telefon, Poster Kenalan anda akan dipaparkan pada skrin panggilan masuk anda. Anda boleh memilih untuk berkongsi Poster Kenalan anda hanya dengan kenalan anda secara automatik, atau digesa untuk berkongsi setiap kali dan data yang dikongsi akan disimpan pada peranti mereka. Jika anda berkongsi Poster Kenalan anda dengan berbilang orang dalam Audio FaceTime Kumpulan atau perbualan telefon, Poster Kenalan anda akan dihantar kepada semua orang dalam perbualan tersebut. Anda boleh mengemas kini Poster Kenalan anda pada bila-bila masa. Jika anda berkongsi secara automatik, kemas kini akan dihantar apabila anda membuat panggilan Audio FaceTime atau telefon kali seterusnya. Jika anda telah berkongsi Poster Kenalan anda, kemudiannya menyahaktifkan perkongsian, orang lain yang menerima Poster Kenalan anda sebelum ini mungkin masih mempunyai maklumat anda pada peranti mereka. Poster Kenalan yang anda pilih untuk panggilan akan dihantar kepada Apple dan disimpan pada pelayan Apple serta disulitkan dengan cara yang Apple tidak dapat lihat.

Untuk panggilan FaceTime pada peranti visionOS anda, Persona anda akan dihantar secara selamat kepada semua orang pada panggilan supaya mereka boleh melihat Persona anda. Selepas panggilan selesai, Persona anda mungkin kekal disimpan secara disulitkan pada peranti peserta panggilan lain selama hingga 30 hari. Peserta panggilan lain akan dapat mengakses Persona anda hanya apabila mereka berada dalam panggilan dengan anda.

Apple mungkin merakam dan menyimpan sesetengah maklumat berkaitan dengan penggunaan FaceTime anda untuk mengendalikan dan meningkatkan produk dan perkhidmatan Apple:

  • Apabila anda menggunakan FaceTime, Apple mungkin menyimpan maklumat tentang penggunaan perkhidmatan oleh anda dalam cara yang tidak mengenal pasti anda.
  • Apple mungkin merakam dan menyimpan maklumat tentang panggilan FaceTime, seperti orang yang dijemput ke panggilan dan konfigurasi rangkaian peranti anda serta menyimpan maklumat ini sehingga 30 hari. Apple tidak log sama ada panggilan anda dijawab dan tidak boleh mengakses kandungan panggilan anda.
  • Apple mungkin menyimpan maklumat yang dihantar kepada Apple apabila anda atau orang lain melaporkan panggilan FaceTime spam atau sarap.
  • Sesetengah app pada peranti anda (termasuk FaceTime) mungkin berkomunikasi dengan pelayan Apple untuk menentukan sama ada orang lain boleh dihubungi melalui FaceTime. Apabila ini berlaku, Apple mungkin menyimpan nombor telefon dan alamat e-mel berkaitan dengan akaun anda ini, sehingga 30 hari.

Dengan menggunakan ciri ini, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan maklumat ini oleh Apple dan subsidiari serta ejennya seperti yang diterangkan di atas.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 5 Mac 2024