App Kesihatan & Privasi

App Kesihatan direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

App kesihatan boleh menyepadukan data daripada iPhone, iPad, Apple Watch dan peranti lain anda, rekod kesihatan serta app yang anda gunakan supaya anda boleh mempunyai pandangan yang lebih menyeluruh tentang maklumat kesihatan anda di satu tempat yang mudah. Anda mempunyai kawalan terhadap data yang disimpan dalam app Kesihatan dan data yang dikongsi dengan app pihak ketiga serta orang yang anda percayai.

Anda kekal mempunyai kawalan terhadap ciri app Kesihatan yang anda gunakan, seperti Rekod Kesihatan, Penjejakan Kitaran, Ubat, Kesihatan Mental dan Tidur. Sesetengah ciri iOS dan watchOS (seperti pemberitahuan Kadar Jantung dan Bunyi) mungkin didayakan secara lalai. Anda boleh mendayakan atau menyahdayakan ciri yang tersedia dalam app Kesihatan pada bila-bila masa dengan mengetik tab Layari atau Profil anda, kemudian mengetik kategori atau ciri kesihatan yang anda mahu dayakan atau nyahdayakan. Ciri kesihatan tertentu mungkin menggunakan rantau anda untuk menentukan ketersediaan ciri.

Apabila peranti anda dikunci dengan kod laluan, Touch ID, atau Face ID, semua data kesihatan dan kecergasan anda dalam app Kesihatan — selain daripada ID Perubatan anda — disulitkan dan tidak dapat diakses secara lalai. Selain itu, jika anda menggunakan iOS 12 atau lebih baharu dan mengaktifkan pengesahan dua faktor, Apple tidak akan dapat membaca data kesihatan dan aktiviti anda yang diselaraskan ke iCloud.

Anda boleh memilih untuk menggunakan iCloud untuk memastikan data anda terkini merentas peranti anda, memilih untuk menyandarkan data anda ke sandaran disulitkan iTunes pada komputer anda, atau memilih untuk berkongsi data anda. App Kesihatan juga memberi anda keupayaan untuk mengeksport salinan data app Kesihatan anda yang tersedia pada peranti anda. Untuk berbuat demikian, ketik gambar profil anda di penjuru kanan atas, kemudian ketik Eksport Semua Data Kesihatan.

Sandaran dan Penyelarasan iCloud

Anda boleh memilih untuk menyandarkan data kesihatan anda di iCloud yang ia disulitkan semasa dihantar dan disimpan. Penyelarasan iCloud juga membenarkan anda untuk memastikan data kesihatan anda kekal terkini merentas semua peranti anda. Selain itu, dengan penyelarasan iCloud, anda boleh menggunakan ciri perkongsian app Kesihatan, seperti berkongsi data app Kesihatan dengan app pihak ketiga lain yang anda percayai. Jika anda telah mendayakan iCloud, data app Kesihatan anda disandarkan secara lalai. Anda boleh menyahdayakan sandaran iCloud pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud dan mengetik untuk menyahaktifkan Kesihatan.

Perkongsian

Kongsi Data App Kesihatan dengan App Pihak Ketiga
Anda boleh memilih untuk berkongsi data app Kesihatan dengan app pihak ketiga yang anda percayai. App mesti meminta keupayaan untuk membaca data daripada atau menulis data ke app Kesihatan anda. Semua app pihak ketiga mesti menjelaskan sebab ia meminta akses kepada data app Kesihatan anda. Setiap app juga perlu mempunyai dasar privasi yang menerangkan penggunaan data kesihatannya, jadi anda perlu menyemak dasar ini sebelum memberikan akses data kesihatan anda kepada app. Anda mempunyai kawalan ke atas data yang anda kongsi dengan app pihak ketiga ini dan boleh menukar perkara yang anda kongsi pada bila-bila masa. Anda boleh melihat app pihak ketiga yang anda telah berikan akses kepada data app Kesihatan anda pada bila-bila masa dan mengurus data yang anda kongsi dan terima daripada app pihak ketiga ini. Sesetengah jenis data app Kesihatan mungkin tidak boleh diakses oleh app pihak ketiga. Ketahui lebih lanjut tentang cara mengurus data yang anda kongsi dan terima daripada app pihak ketiga di support.apple.com/en-my/HT204351.

Kongsi Data App Kesihatan dengan Keluarga dan Rakan
Anda juga boleh memilih untuk berkongsi data app Kesihatan dengan orang yang anda percayai. Anda boleh memilih dan berkongsi data app Kesihatan tertentu dengan pengguna app Kesihatan lain dalam Kenalan anda, seperti keluarga dan rakan anda.

Anda mengekalkan kawalan ke atas data yang dikongsi dengan pengguna app Kesihatan lain. Selepas orang yang anda pilih untuk berkongsi data kesihatan anda menerima jemputan anda, mereka akan dapat melihat ringkasan data yang anda kongsi dalam app Kesihatan, termasuk subset sejarah data kesihatan anda dan kemas kini masa depan yang berkaitan dengan data yang anda kongsi, melainkan anda memutuskan untuk berhenti berkongsi. Mereka juga boleh memilih untuk menerima isyarat, laporan aliran dan kemas kini lain yang berkaitan dengan data yang anda kongsi. Apple tidak akan dapat mengakses atau melihat sebarang data yang anda kongsi dengan pengguna app Kesihatan lain.

Anda boleh melihat kategori data kesihatan yang anda pilih untuk berkongsi dengan pengguna app Kesihatan lain. Dalam app Kesihatan, ketik tab Perkongsian, kemudian ketik orang yang anda mahu berkongsi data. Anda kemudian boleh menambah dan mengeluarkan topik kesihatan yang dikongsi dengan orang tersebut dan mempratonton data yang anda sedang kongsi dengan mereka.

Anda boleh menghentikan perkongsian data app Kesihatan anda pada bila-bila masa. Untuk berbuat demikian, buka app Kesihatan, ketik tab Perkongsian, ketik orang yang anda mahu berhenti berkongsi dan kemudian ketik Henti Berkongsi. Jika anda memutuskan untuk berhenti berkongsi, peranti pengguna lain akan memadamkan sejarah data yang anda kongsi dengan mereka daripada app Kesihatan mereka.

Kongsi Data App Kesihatan dengan Penyedia Penjagaan Kesihatan
Anda boleh memilih dan berkongsi kategori data app Kesihatan tertentu, seperti data aktiviti, data kadar jantung dan keputusan makmal daripada iPhone atau iPad anda dengan organisasi penjagaan kesihatan yang mengambil bahagian apabila anda mendaftar masuk dengan kelayakan akaun anda untuk organisasi penjagaan kesihatan. Apple dan peranti anda tidak menyimpan atau mempunyai akses kepada kelayakan akaun anda. Anda mempunyai kawalan ke atas data yang anda kongsi dengan organisasi penjagaan kesihatan anda dan boleh menukar perkara yang anda kongsi pada bila-bila masa. Anda juga boleh melihat organisasi penjagaan kesihatan yang anda berkongsi data app Kesihatan anda pada bila-bila masa. Untuk melihat dan mengurus perkongsian data kesihatan anda dengan organisasi penjagaan kesihatan, buka app Kesihatan, ketik tab Perkongsian, kemudian ketik organisasi penjagaan kesihatan yang anda mahu urus. Sebarang penyedia penjagaan kesihatan dengan akses kepada carta pesakit anda di organisasi penjagaan kesihatan boleh mengakses data kesihatan yang anda pilih untuk berkongsi dengan organisasi penjagaan kesihatan tersebut.

Sebarang data app Kesihatan yang anda pilih untuk berkongsi akan disulitkan dan disimpan oleh Apple pada pelayan yang dikhususkan supaya Apple boleh berkongsi data ini dengan organisasi penjagaan kesihatan yang anda pilih. Data anda dihantar daripada iPhone dan iPad anda hanya apabila peranti dibuka kunci dan disambungkan ke internet. Apple tidak mengekalkan atau mempunyai akses kepada kunci penyulitan untuk data yang disimpan pada pelayan kami dan yang dikongsi dengan organisasi penjagaan kesihatan anda serta tidak boleh menyahsulit, melihat dan mengakses data ini. Apple akan mengekalkan data app Kesihatan yang anda pilih untuk berkongsi dengan organisasi penjagaan kesihatan anda hanya selama yang diperlukan untuk menyokong penggunaan anda terhadap ciri perkongsian ini dan akan menggunakan data ini hanya untuk mendayakan ciri perkongsian ini. Sebarang data kesihatan yang anda kongsi berhubungan dengan ciri ini akan disulitkan semasa dihantar dan disimpan apabila disimpan pada pelayan Apple. Apabila anda menggunakan ciri ini, semua data anda pilih untuk berkongsi dengan organisasi penjagaan kesihatan anda yang diselenggarakan oleh Apple akan disimpan dalam sistem yang selamat berpandukan standard privasi dan keselamatan Health Insurance Portability and Accountability Act of 1996 (HIPAA).

Penyedia penjagaan kesihatan anda tidak akan menerima pemberitahuan apabila data anda tersedia dan tidak boleh melihat data yang anda kongsi dengan mereka. Setelah anda membenarkan perkongsian, rekod kesihatan anda daripada organisasi penjagaan kesihatan yang anda benarkan perkongsian juga akan dimuat turun dan disimpan secara automatik dalam app Kesihatan. Penyedia penjagaan kesihatan anda boleh menambah maklumat yang anda pilih untuk berkongsi pada rekod perubatan anda dan juga boleh menggunakan maklumat yang anda kongsi untuk membantu penilaian bebas mereka tentang kesihatan anda. Sebarang data yang anda pilih untuk berkongsi dengan organisasi penjagaan kesihatan anda akan dikendalikan berpandukan Notis Amalan Privasi organisasi penjagaan kesihatan tersebut serta dasar dan prosedur privasi dan keselamatannya.

Anda boleh menghentikan perkongsian data app Kesihatan anda pada bila-bila masa. Untuk berbuat demikian, buka app Kesihatan, ketik tab Perkongsian, ketik organisasi penjagaan kesihatan yang anda mahu urus, kemudian ketik Henti Berkongsi. Jika anda memutuskan untuk berhenti berkongsi dengan organisasi penjagaan kesihatan, mereka tidak lagi mempunyai akses kepada data anda menerusi ciri ini. Sebarang maklumat yang dikongsi dengan penyedia penjagaan kesihatan anda sebelum akses ditarik mungkin disimpan oleh penyedia penjagaan kesihatan anda dalam rekod mereka.

Selain berkongsi data app Kesihatan dengan penyedia penjagaan kesihatan, anda juga boleh menggunakan ciri Rekod Kesihatan secara berasingan untuk memuat turun rekod kesihatan klinikal anda secara selamat daripada organisasi penjagaan kesihatan yang mengambil bahagian ke app Kesihatan. Ketahui tentang Rekod Kesihatan pada iPhone di support.apple.com/en-my/HT208680.

Ubat

Anda boleh mengurus dan menjejak ubat, vitamin serta makanan tambahan dalam app Kesihatan. Menerusi ciri Ubat, anda boleh mencipta senarai ubat dan menyediakan jadual serta peringatan tersuai. Di bidang kuasa tertentu, anda boleh melihat maklumat pendidikan tentang ubat anda dan menerima isyarat jika terdapat kemungkinan interaksi kritikal dengan ubat yang telah anda tambahkan ke ciri Ubat. Anda boleh menambah ubat dengan memasukkan maklumat secara manual dan, jika tersedia, dengan mencari dalam app Kesihatan atau menggunakan kamera iPhone untuk menambah ubat anda. Semua pemprosesan untuk ciri Ubat berlaku pada peranti. Anda juga boleh menggunakan ciri Perkongsian Kesihatan untuk berkongsi ubat dengan keluarga, rakan dan penyedia penjagaan kesihatan anda.

Kesihatan Mental

Anda boleh mengelog Keadaan Minda anda dan faktor yang menyumbang kepadanya serta menjejak maklumat ini lama-kelamaan dalam app Kesihatan menerusi kategori Kesejahteraan Mental, termasuk melihat data Keadaan Minda anda dalam carta interaktif serta menyediakan peringatan untuk mengelog keadaan minda anda. Pengguna juga akan mempunyai pilihan untuk melakukan penilaian keresahan dan kemurungan distandardkan yang sesuai dengan umur yang sering kali digunakan di klinik. Semua pemprosesan untuk ciri Kesihatan Mental berlaku pada peranti. Anda boleh menggunakan ciri Perkongsian Kesihatan untuk berkongsi data Keadaan Minda dengan keluarga dan rakan anda. Anda juga boleh menskrol ke Pilihan di bahagian Risiko Kemurungan dan Risiko Keresahan serta mengetik Eksport PDF untuk berkongsi data penilaian kemurungan dan keresahan anda dengan penyedia penjagaan kesihatan.

ID Perubatan pada iPhone

Dalam app Kesihatan pada iPhone, anda boleh mencipta ID Perubatan kecemasan yang mengandungi maklumat yang anda pilih untuk dimuat naik tentang keadaan perubatan, alahan, ubat, foto profil anda dan banyak lagi. Tunjukkan Apabila Dikunci membolehkan penindak pertama dan orang lain untuk melihat ID Perubatan anda apabila iPhone anda dikunci.

Anda juga boleh menambah kenalan kecemasan pada ID Perubatan anda. Apabila anda menambah kenalan kecemasan, mereka akan diisyaratkan secara automatik apabila anda menggunakan SOS Kecemasan daripada iPhone anda atau daripada Apple Watch anda. Anda juga mempunyai pilihan untuk membenarkan maklumat ID Perubatan anda dihantar secara automatik kepada perkhidmatan kecemasan, melalui perkhidmatan pihak ketiga yang selamat, apabila anda menghubungi atau menghantar mesej teks kepada nombor kecemasan tempatan anda (contohnya, 999) atau menggunakan SOS Kecemasan daripada iPhone atau Apple Watch anda. Anda mesti mengaktifkan Kongsi Semasa Panggilan Kecemasan (apabila tersedia) untuk menghantar maklumat ID Perubatan anda ke perkhidmatan kecemasan secara automatik apabila anda menghubungi atau menghantar teks kepada nombor kecemasan tempatan anda atau menggunakan SOS Kecemasan. Ketahui lebih lanjut tentang ID Perubatan di support.apple.com/en-my/HT207021.

Anda boleh mencipta atau mengemas kini ID Perubatan anda dalam app Kesihatan pada iPhone. Ketik profil anda di penjuru kanan atas, ketik ID Perubatan, kemudian ketik Mulakan atau Edit. Anda mempunyai keupayaan untuk memasukkan jumlah maklumat yang akan dipaparkan pada ID Perubatan anda dan dapat diakses daripada Skrin Kunci.

Rekod Pemvaksinan

Anda boleh memilih untuk memuat turun dan menyimpan dengan selamat rekod pemvaksinan digital anda yang boleh disahkan, seperti rekod pemvaksinan COVID‑19 anda, dalam app Kesihatan. Rekod pemvaksinan anda mengandungi maklumat seperti nama, tarikh lahir, jenis vaksin dan tarikh pemvaksinan anda. Anda boleh menambahkan rekod pemvaksinan digital anda yang boleh disahkan ke app Kesihatan dengan memperoleh rekod pemvaksinan anda sebagai kod QR atau fail digital daripada entiti yang memberikan vaksin atau daftar imunisasi di rantau yang anda menerima vaksin. Apabila anda mengimbas kod QR atau mengetik fail, anda akan diberikan pilihan untuk membuka rekod dalam app Kesihatan. Rekod pemvaksinan digital anda yang boleh disahkan juga boleh diimport dan disimpan dalam app Kesihatan melalui ciri Rekod Kesihatan jika anda menambah akaun dengan organisasi penjagaan kesihatan yang mengambil bahagian.

Apabila anda menggunakan kod QR atau pautan muat turun untuk menambahkan rekod pemvaksinan anda ke app Kesihatan pada iPhone, anda boleh memilih untuk menambahkan rekod pemvaksinan anda ke Wallet, yang membolehkan anda mengakses rekod pemvaksinan anda daripada app Wallet dengan cepat. Apabila anda menambahkan kad pemvaksinan ke Wallet, salinan rekod pemvaksinan anda disimpan oleh app Wallet pada peranti iOS yang anda tambahkan kad pemvaksinan. Kad pemvaksinan yang disimpan dalam Wallet tidak diselaraskan merentas peranti anda dan tidak disandarkan ke iCloud. Butiran penuh kad pemvaksinan anda tidak akan kelihatan pada Skrin Kunci iPhone sehingga anda telah mengesahkan dengan Face ID, Touch ID atau kod laluan. Untuk memaparkan butiran kad pemvaksinan, anda mesti mengesahkan terlebih dahulu. Setelah disahkan, sesiapa sahaja dengan akses kepada peranti anda mungkin dapat melihat kad pemvaksinan anda apabila dipaparkan pada skrin peranti anda, jadi anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi peranti anda.

Anda boleh mengeluarkan kad pemvaksinan anda daripada Wallet pada bila-bila masa. Mengeluarkan kad pemvaksinan anda daripada Wallet tidak memadamkan salinan rekod pemvaksinan anda yang disimpan dalam app Kesihatan. Anda boleh memadamkan rekod pemvaksinan anda daripada app Kesihatan pada bila-bila masa. Pemadaman rekod pemvaksinan anda daripada app Kesihatan juga akan memadamkan kad pemvaksinan yang sepadan daripada Wallet. Ketahui lebih lanjut tentang rekod kesihatan yang boleh disahkan di support.apple.com/kb/HT212752.

Mengakses Data Kesihatan Anda Menggunakan Siri

Anda boleh meminta Siri merekodkan jenis data kesihatan tertentu dalam app Kesihatan, atau untuk membaca maklumat anda yang tersedia dalam app Kesihatan. Semua pemprosesan permintaan data app Kesihatan yang dikenali oleh Siri berlaku pada peranti. Jika Siri tidak mengenali permintaan anda sebagai permintaan data app Kesihatan, sebarang maklumat kesihatan yang anda sertakan dalam permintaan akan dihantar ke pelayan Siri. Anda boleh menyahaktifkan akses Siri kepada data app Kesihatan anda pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > Kesihatan > Akses Data & Peranti > Siri, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Akses Data Kesihatan.

Mengeluarkan App Kesihatan

Jika anda tidak lagi mahu menggunakan app Kesihatan, anda boleh memilih untuk mengeluarkan app Kesihatan daripada iPhone atau iPad anda dengan menyentuh dan menahan app Kesihatan pada Skrin Utama, kemudian mengetik Keluarkan App. Apabila anda memadamkan app Kesihatan pada iPhone atau iPad, data kesihatan anda akan kekal pada peranti anda dan sebarang app atau penerima Perkongsian Kesihatan yang telah anda berkongsi data kesihatan akan terus mempunyai akses kepada data kesihatan sedia ada yang anda pilih untuk berkongsi. Selain itu, data daripada ciri Kesihatan berdasarkan sensor tertentu (seperti Kadar Jantung dan app Oksigen Darah), akan terus direkodkan serta disimpan pada peranti anda. Anda boleh mengurus data kesihatan anda, termasuk memadamkan data kesihatan anda dan membatalkan keizinan yang diberikan kepada app pihak ketiga serta penerima Perkongsian Kesihatan, dalam app Seting dengan pergi ke Seting > Kesihatan. Jika anda menukar fikiran, anda boleh memuat turun semula app Kesihatan daripada App Store.

Pengekalan

Anda kekal mempunyai kawalan terhadap maklumat yang ditambah ke app Kesihatan dan tempoh maklumat tersebut disimpan. Data app Kesihatan anda akan disimpan dalam app Kesihatan dan di iCloud jika anda memilih untuk menyandarkan data kesihatan anda ke iCloud, selagi anda memilih untuk menyimpan maklumat anda dalam app Kesihatan. Anda boleh menyemak, mengedit dan memadamkan data app Kesihatan anda pada bila-bila masa. Ketahui lebih lanjut tentang mengurus maklumat kesihatan dalam app Kesihatan di support.apple.com/ms-my/guide/iphone/iphe3d379c32/ios.

Maklumat Lain

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Nota: Sesetengah ciri mungkin tidak tersedia pada peranti tertentu atau di setiap rantau atau bahasa.

Tarikh Terbitan: 18 September 2023