Geganti Peribadi iCloud & Privasi

Geganti Peribadi iCloud membolehkan anda bersambung dengan dan melayari web melalui cara yang lebih selamat serta peribadi.

Geganti Peribadi iCloud (“Geganti Peribadi”) ialah perkhidmatan privasi internet baharu yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada langganan iCloud+ yang melindungi pelayaran web Safari anda, supaya tiada satu entiti yang boleh mengaitkan anda dengan pelayaran internet anda, termasuk Apple atau penyedia rangkaian. Geganti Peribadi turut menyulitkan trafik tidak disulitkan yang meninggalkan peranti anda serta pertanyaan kepada Pelayan Nama Domain (DNS) — sistem yang menukar nama tapak web kepada alamat Protokol Internet (IP) — yang melindungi privasi anda selanjutnya. Geganti Peribadi hanya tersedia pada iOS, iPadOS dan macOS.

Permintaan sambungan internet anda dihalakan menerusi dua geganti berasingan yang dikendalikan oleh entiti berbeza. Entiti pertama mengetahui alamat IP anda, tetapi bukan tapak web yang anda lawati. Entiti kedua mengetahui tapak web yang anda lawati, tetapi bukan alamat IP anda dan sebaliknya memberikan identiti dan lokasi yang umum kepada tapak web destinasi. Dalam cara ini, tiada satu entiti mempunyai maklumat untuk mengenal pasti anda dan juga tapak yang anda lawati.

Untuk melindungi privasi anda tetapi masih membenarkan tapak web menerbitkan kandungan anda di rantau anda, Geganti Peribadi mengira anggaran rantau daripada lokasi alamat IP asal anda yang diketahui umum. Peranti anda menghantar anggaran maklumat rantau ini dalam bentuk yang disulitkan kepada geganti kedua, yang menggunakannya untuk mendapatkan alamat IP generik yang dihantar ke destinasi akhir. Apabila menggunakan Geganti Peribadi, anda masih akan dapat mencari perniagaan berdekatan anda, tetapi tapak web hanya akan melihat alamat IP yang sepadan dengan anggaran kawasan serantau dan bukannya orang tertentu. Anda boleh menyahdayakan seting lokasi ini dan memberikan maklumat lokasi yang kurang tepat kepada tapak web dalam iOS serta iPadOS dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud > Geganti Peribadi > Lokasi Alamat IP dan mengetik untuk mengaktifkan “Gunakan negara dan zon waktu”. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > [nama anda] > iCloud > Geganti Peribadi.

Anda boleh menyahdayakan Geganti Peribadi pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud > Geganti Peribadi, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Geganti Peribadi. Anda juga boleh menyahdayakan Geganti Peribadi untuk rangkaian Wi‑Fi tertentu pada bila-bila masa pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > Wi‑Fi, mengetik butang Info di sebelah rangkaian anda, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Geganti Peribadi iCloud. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > [nama anda] > iCloud > Geganti Peribadi, klik Pilihan, kemudian klik Nyahaktifkan untuk menyahdayakan Geganti Peribadi iCloud.

Apple mengekalkan data peribadi hanya setakat yang perlu untuk memenuhi tujuan yang data tersebut dikumpulkan, termasuk seperti yang diterangkan dalam Dasar Privasi Apple atau dalam notis privasi khusus perkhidmatan kami, atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang. Apabila menilai tempoh pengekalan, kami mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sama ada perlu mengekalkan data peribadi yang dikumpulkan, jika pengekalan diperlukan, berusaha untuk mengekalkan data peribadi bagi tempoh paling singkat yang mungkin yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023