-
Cadangan Penjurnalan & Privasi
-
Cadangan Penjurnalan direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dengan membolehkan anda memilih data yang digunakan bagi cadangan dan perkara untuk dikongsi dengan app penjurnalan.
-
Cadangan Penjurnalan Menghimpun Detik Harian dan Peristiwa Istimewa Secara Pintar
Cadangan Penjurnalan menggunakan pemprosesan pada peranti untuk menghimpun detik dan peristiwa secara pintar, untuk memberi anda cadangan diperibadikan. Menggunakan maklumat yang disimpan pada peranti anda, Cadangan Penjurnalan boleh mengesyorkan kepada anda detik istimewa untuk diingati dan ditulis. Anda mengawal cadangan yang dikongsi dengan app penjurnalan yang menggunakan Cadangan Penjurnalan.
Cadangan Penjurnalan boleh termasuk cadangan daripada aktiviti anda (seperti jenis latihan, tempoh, laluan, kalori dan kadar jantung), penggunaan media (seperti podcast dan lagu yang anda dengar, nama artis serta nama trek), kenalan (seperti orang yang berhubung dengan anda melalui mesej teks, panggilan dan FaceTime), foto (seperti foto dan video daripada pustaka anda, nama orang dan haiwan peliharaan daripada pustaka anda, album dikongsi, pengelasan adegan dan memori), lokasi penting (seperti tempat yang telah anda lawati baru-baru ini, termasuk maklumat tentang acara yang anda hadiri, serta kekerapan dan masa anda melawatinya, untuk mempelajari tempat yang penting bagi anda) dan keadaan minda (seperti perasaan dan emosi yang anda log).
Apabila anda mendayakan Cadangan Penjurnalan, data sejarah terhad yang disimpan pada iPhone anda, termasuk maklumat tentang latihan, penggunaan media, komunikasi dan foto anda, akan digunakan untuk mencipta cadangan bermakna bagi anda. Anda boleh menyesuaikan kategori data untuk disertakan dalam Cadangan Penjurnalan anda dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan pada iPhone anda dan mengetik kategori khusus untuk mengaktifkan atau menyahaktifkannya. Jika lebih daripada satu app penjurnalan menggunakan Cadangan Penjurnalan, pilihan kategori anda untuk disertakan dalam Cadangan Penjurnalan anda akan digunakan pada semua app. Anda juga boleh mengosongkan sejarah cadangan yang belum dikongsi dengan app penjurnalan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan pada iPhone anda, kemudian mengetik Kosongkan Sejarah. Anda boleh menyahaktifkan Cadangan Penjurnalan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan pada iPhone anda, kemudian mengetik Nyahaktifkan Semua. Keputusan anda untuk menyahaktifkan semua cadangan akan digunakan pada semua app penjurnalan yang menggunakan Cadangan Penjurnalan. Jika anda tidak lagi mahu melihat Cadangan Penjurnalan pada iPad, anda boleh berhenti menyelaraskan cadangan dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud > Lihat Semua > Cadangan Penjurnalan dan mengetik untuk menyahaktifkan penyelarasan.
Utamakan Detik dengan Kenalan
Cadangan Penjurnalan menggunakan isyarat Bluetooth untuk menentukan cadangan yang mungkin lebih bermakna atau berkaitan dengan anda. Utamakan Detik dengan Kenalan akan menggunakan Bluetooth untuk mengesan bilangan kenalan bersama anda yang berada berdekatan dan untuk membenarkan kenalan bersama menyertakan anda dalam bilangan kenalan berdekatan mereka. Nama dan lokasi kenalan tidak disokong dengan anda dan nama serta lokasi anda tidak dikongsi dengan kenalan. Bilangan kenalan berdekatan disimpan pada peranti dan digunakan untuk mengutamakan detik yang diluangkan bersama orang yang anda kenali. Jika anda tidak mahu Cadangan Penjurnalan menggunakan bilangan kenalan berdekatan anda atau untuk membenarkan kenalan menyertakan anda dalam bilangan kenalan berdekatan mereka bagi mengutamakan cadangan, pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Utamakan Detik dengan Kenalan.
Selain mengutamakan detik dengan kenalan, Cadangan Penjurnalan mungkin memanfaatkan isyarat peranti sedia ada yang lain, seperti Bluetooth untuk AirDrop, untuk mengesan sama ada peranti Apple (tidak semestinya kenalan) berada berdekatan anda untuk mengutamakan cadangan dengan kumpulan yang lebih besar. Nama dan lokasi tidak dikongsi — hanya bilangan peranti Apple.
Cadangan Penjurnalan iCloud
Jika anda menggunakan iCloud, Cadangan Penjurnalan anda disulitkan semasa dihantar dan disimpan serta dipastikan dikemas kini merentas iPhone dan iPad didayakan iCloud anda. Jika anda mempunyai pengesahan dua faktor lalai dan kod laluan, Cadangan Penjurnalan anda disulitkan hujung ke hujung apabila disimpan dalam iCloud, jadi Apple juga tidak boleh membacanya. Hanya satu iPhone boleh digunakan untuk menyelaraskan Cadangan Penjurnalan merentas iPhone dan iPad didayakan iCloud anda. Anda boleh menukar iPhone utama anda untuk menyelaraskan Cadangan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan pada iPhone anda, kemudian mengetik Selaraskan daripada iPhone ini. Anda boleh menyahdayakan iCloud untuk Cadangan Penjurnalan pada iPhone atau iPad anda pada bila-bila masa dengan pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud > Lihat Semua > Cadangan Penjurnalan dan mengetik untuk menyahaktifkan penyelarasan.
Berkongsi Cadangan Penjurnalan dengan App Jurnal dan App Pihak Ketiga
Anda mengawal cadangan yang dikongsi dengan app penjurnalan yang menggunakan Cadangan Penjurnalan dengan memilih detik yang bermakna bagi anda dan menambahnya pada app. Anda sahaja yang boleh melihat cadangan anda sebelum berkongsinya. Anda boleh melihat app yang menggunakan Cadangan Penjurnalan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan dan melihat App Menggunakan Akses Peribadi.
Jika anda memilih untuk berkongsi cadangan anda dengan app Jurnal, anda mempunyai kawalan ke atas catatan anda. Apabila peranti anda dikunci dengan kod laluan, catatan dalam app Jurnal disulitkan. Jika anda mempunyai pengesahan dua faktor lalai dan kod laluan, semua catatan Jurnal disulitkan hujung ke hujung apabila disimpan dalam iCloud, jadi Apple juga tidak boleh membacanya. Selain itu, anda boleh memilih untuk mendayakan pengesahan kedua dan mengunci app Jurnal dengan kod laluan peranti, Face ID atau Touch ID anda.
Pemberitahuan
Jika anda mendayakan pemberitahuan Cadangan Penjurnalan, Cadangan Penjurnalan mungkin menggesa anda untuk menulis tentang detik dan peristiwa istimewa. Lokasi dan rutin anda, seperti aktiviti dan penggunaan app, akan menentukan masa anda dimaklumkan atau anda boleh mencipta jadual tersuai dalam Seting. Jika anda telah menyahdayakan Cadangan Penjurnalan untuk lebih daripada satu app penjurnalan, anda boleh memilih app penjurnalan yang anda mahu membuka pemberitahuan Cadangan Penjurnalan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan > Pemberitahuan > Sesuaikan Pemberitahuan > Buka Pemberitahuan Dengan dan mengetik untuk memilih app. Anda boleh menyahdayakan pemberitahuan Cadangan Penjurnalan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Cadangan Penjurnalan > Pemberitahuan dan mengetik untuk menyahaktifkannya.
Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy.
Tarikh Terbitan: 15 September 2025