Perkhidmatan Lokasi & Privasi

Perkhidmatan Lokasi direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Perkhidmatan Lokasi membenarkan Apple dan app serta tapak web pihak ketiga untuk mengumpulkan dan menggunakan maklumat berdasarkan lokasi semasa iPhone atau Apple Watch anda untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan berdasarkan lokasi. Contohnya, app mungkin menggunakan data lokasi dan pertanyaan carian lokasi anda untuk membantu anda mencari kedai kopi atau pawagam berdekatan, atau peranti anda boleh menetapkan zon waktunya secara automatik berdasarkan lokasi semasa anda.

Untuk menggunakan ciri-ciri seperti ini, anda mesti mendayakan Perkhidmatan Lokasi pada iPhone anda dan memberikan keizinan anda bagi setiap app atau tapak web sebelum ia boleh menerima data lokasi daripada Perkhidmatan Lokasi. App mungkin meminta akses terhad kepada data lokasi anda (hanya apabila anda menggunakan app atau lokasi anggaran) atau akses penuh (walaupun anda tidak menggunakan app atau lokasi tepat).

Walau bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan, maklumat lokasi iPhone anda boleh digunakan apabila panggilan kecemasan dibuat untuk membantu usaha respons kecemasan tidak kira sama ada anda mendayakan Perkhidmatan Lokasi.

Perkhidmatan Lokasi menggunakan sensor peranti, termasuk GPS dan Bluetooth (jika tersedia), bersama-sama dengan lokasi hotspot Wi‑Fi dan menara selular yang disumberkan daripada orang ramai untuk menentukan lokasi peranti anda.

Apple Watch anda mungkin menggunakan lokasi iPhone berpasangan anda jika ia berdekatan.

Jika Perkhidmatan Lokasi diaktifkan, iPhone anda akan menghantar lokasi geotag hotspot Wi-Fi dan menara selular berdekatan (yang disokong oleh peranti) secara berkala dalam bentuk tanpa nama dan disulitkan kepada Apple, untuk digunakan bagi menambah kepada pangkalan data yang disumberkan daripada orang ramai bagi lokasi hotspot Wi-Fi dan menara selular ini.

Dengan mendayakan Perkhidmatan Lokasi, perkhidmatan sistem berdasarkan lokasi seperti ini turut akan didayakan:

  • Penghalaan dan Trafik: Semasa anda dalam transit (contohnya, berjalan atau memandu), iPhone anda akan menghantar data GPS, maklumat kelajuan dan arah perjalanan, serta tekanan barometer secara berkala dalam bentuk tanpa nama dan disulitkan kepada Apple untuk digunakan bagi ditambahkan pada pangkalan data trafik jalan, jalan, laluan pejalan kaki dan pembetulan atmosfera yang disumberkan daripada orang ramai. Selain itu, apabila anda membuka app berdekatan tempat tarikan (contohnya, perniagaan atau taman), iPhone anda akan menghantar data lokasi dalam bentuk tanpa nama dan disulitkan kepada Apple yang mungkin diagregatkan serta digunakan oleh Apple untuk memberitahu pengguna sama ada tempat tarikan tersebut dibuka dan kesibukan tempat tersebut.
  • Lokasi Penting: iPhone dan peranti disambungkan iCloud anda akan menjejak tempat yang telah anda kunjungi baru-baru ini, serta kekerapan dan masa anda melawatnya, untuk mengetahui tempat yang penting kepada anda. Data ini disulitkan secara hujung ke hujung dan tidak boleh dibaca oleh Apple. Ia digunakan untuk memberi anda perkhidmatan diperibadikan, seperti penghalaan trafik ramalan dan membina Memori yang lebih baik dalam Foto.
  • Cadangan & Carian: Lokasi iPhone anda akan dihantar kepada Apple untuk memberikan pengesyoran yang lebih berkaitan. Jika anda menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi untuk cadangan berdasarkan lokasi, lokasi tepat anda tidak akan dihantar kepada Apple. Untuk menghantar cadangan carian dan berita yang berkaitan, Apple mungkin menggunakan alamat IP sambungan internet anda untuk menganggarkan lokasi anda dengan memadankannya dengan rantau geografi.
  • Isyarat & Automasi Pintasan: iPhone dan Apple Watch anda akan menggunakan lokasi anda untuk memberi anda isyarat yang berkaitan secara geografi, seperti peringatan untuk menghubungi seseorang apabila anda tiba di tempat tertentu, masa untuk bertolak ke janji temu anda yang seterusnya, atau pengesyoran app atau pintasan berdasarkan tempat semasa anda.
  • Kongsi Lokasi Saya: Anda boleh memilih untuk berkongsi lokasi semasa anda dengan orang lain, buat sementara atau berterusan, daripada dalam app tertentu seperti Mesej dan Cari.
  • HomeKit: iPhone anda akan menggunakan lokasi anda untuk mengawal aksesori apabila anda tiba di atau bertolak dari lokasi tertentu, seperti menghidupkan lampu anda apabila anda tiba di rumah.
  • Penyesuaian Sistem: iPhone anda akan menyesuaikan penampilan, kelakuan dan seting sistem menggunakan lokasi semasa anda, contohnya dengan mendayakan Pengecasan Bateri Optimum secara automatik apabila anda di rumah. Data penyesuaian ini tidak meninggalkan peranti anda.
  • Pengenalan Pedagang Apple Pay: iPhone anda akan menggunakan lokasi semasa anda untuk membantu memberikan nama pedagang yang lebih tepat apabila anda menggunakan Apple Card fizikal anda.
  • Panggilan & SOS Kecemasan: Apabila panggilan kecemasan dibuat, selain lokasi yang telah disediakan untuk perkhidmatan kecemasan, iPhone atau Apple Watch anda akan menjadikan data tambahan tersedia menerusi perkhidmatan Data Kecemasan Dipertingkat. Ini mungkin termasuk maklumat alamat jalan jika lokasi semasa anda berdekatan alamat Rumah atau Kerja dalam kad kenalan peribadi (Kad Saya) anda. Mencetuskan SOS Kecemasan juga akan menghantar lokasi kepada kenalan kecemasan anda di akhir panggilan.

Data lokasi yang disumberkan daripada orang ramai yang dikumpulkan oleh Apple tidak akan mengenal pasti anda secara peribadi.

Dengan mendayakan Perkhidmatan Lokasi untuk peranti, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan data lokasi dan pertanyaan carian lokasi anda oleh Apple dan rakan kongsinya serta pemegang lesennya untuk menyediakan dan meningkatkan produk dan perkhidmatan berdasarkan lokasi dan trafik jalan.

Anda boleh menyahdayakan Perkhidmatan Lokasi pada bila-bila masa. Untuk berbuat demikian, pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi dan sama ada ketik untuk menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi global atau menyahaktifkan suis lokasi individu bagi setiap app atau ciri sedar lokasi dengan mengesetkannya kepada Jangan. Untuk menyahdayakan Perkhidmatan Lokasi untuk semua tapak web, setkan seting Perkhidmatan Lokasi untuk Tapak Web Safari kepada Jangan. Anda juga boleh menyahdayakan Perkhidmatan Sistem berdasarkan lokasi dengan mengetik Perkhidmatan Sistem, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan setiap Perkhidmatan Sistem berdasarkan lokasi. App atau tapak web mungkin masih menggunakan maklumat lain, seperti alamat IP sambungan internet anda, untuk cuba menganggarkan lokasi anda, tanpa mengira keadaan suis Perkhidmatan Lokasi.

Jika anda membenarkan app atau tapak web pihak ketiga untuk menggunakan lokasi semasa, anda tertakluk pada syarat, dasar privasi dan amalan mereka. Anda patut menyemak syarat, dasar privasi dan amalan app dan tapak web sedemikian untuk memahami cara ia menggunakan lokasi anda dan maklumat lain.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 5 Mac 2024