Perlindungan Privasi Mail & Privasi

Perlindungan Privasi Mail membantu anda melindungi privasi anda dengan menghalang pengirim e-mel daripada mengetahui maklumat tentang aktiviti Mail anda.

E-mel yang anda terima mungkin termasuk kandungan jauh yang membolehkan pengirim e-mel mengetahui maklumat tentang anda. Apabila anda membuka e-mel, maklumat tentang aktiviti Mail anda boleh dikumpulkan oleh pengirim tanpa ketelusan dan keupayaan untuk mengawal maklumat yang dikongsi. Pengirim e-mel mungkin mengetahui masa dan kekerapan anda membuka e-mel mereka, sama ada anda memajukan e-mel, alamat Protokol Internet (IP) anda dan data lain yang boleh digunakan untuk membina profil kelakuan anda serta mengetahui lokasi anda.

Lindungi Aktiviti Mail membantu anda melindungi privasi anda dengan menghalang pengirim e-mel, termasuk Apple, daripada mengetahui maklumat tentang aktiviti Mail anda. Apabila anda menerima e‑mel dalam app Mail atau Mail di iCloud.com, berbanding hanya memuat turun kandungan jauh semasa anda membuka e‑mel, Lindungi Aktiviti Mail memuat turun kandungan jauh di latar belakang secara lalai — tidak kira sama ada anda berinteraksi dengan e‑mel. Apple tidak mengetahui sebarang maklumat tentang kandungan Mail pihak ketiga.

Selain itu, Lindungi Aktiviti Mail menghalakan semua kandungan jauh yang dimuat turun oleh Mail menerusi dua geganti berasingan yang dikendalikan oleh entiti berbeza. Entiti pertama mengetahui alamat IP anda, tetapi bukan sebarang kandungan Mail pihak ketiga yang anda terima. Entiti kedua mengetahui kandungan Mail jauh yang anda terima, tetapi bukan alamat IP anda dan sebaliknya memberikan identiti yang umum kepada destinasi. Melalui cara ini, tiada satu entiti mempunyai maklumat untuk mengenal pasti anda dan juga kandungan Mail pihak ketiga yang anda terima. Pengirim tidak boleh menggunakan alamat IP anda sebagai pengecam unik untuk menghubungkan aktiviti anda merentas tapak web atau app untuk membina profil tentang anda.

Anda boleh menyahdayakan Lindungi Aktiviti Mail pada bila-bila masa pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > Mail > Perlindungan Privasi, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Lindungi Aktiviti Mail. Pada Mac, pergi ke Mail > Keutamaan > Privasi, kemudian nyahpilih Lindungi Aktiviti Mail. Lindungi Aktiviti Mail mempunyai setingnya sendiri untuk Mail di iCloud.com. Di iCloud.com, pergi ke Seting > Privasi, kemudian nyahpilih Lindungi Aktiviti Mail.

Jika anda memilih untuk menyahdayakan Lindungi Aktiviti Mail, ciri Sembunyikan Alamat IP masih akan menyembunyikan alamat IP anda menggunakan reka bentuk dua geganti internet berasingan yang sama. Anda boleh menyahdayakan Sembunyikan Alamat IP pada bila-bila masa pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > Mail > Perlindungan Privasi, kemudian mengetik untuk menyahaktifkan Sembunyikan Alamat IP. Pada Mac, pergi ke Mail > Keutamaan > Privasi, kemudian nyahpilih Sembunyikan Alamat IP.

Dengan menggunakan ciri ini, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan maklumat ini oleh Apple dan subsidiari serta ejennya seperti yang diterangkan di atas.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 24 Oktober 2023