Carian & Privasi

Bantu tingkatkan Carian dengan membenarkan Apple menyimpan carian yang anda masukkan dalam Safari, Siri dan Spotlight melalui cara yang tidak dikaitkan dengan anda. Carian termasuk rujukan pengetahuan am dan permintaan untuk melakukan perkara seperti memainkan muzik serta mendapatkan arah.
 

Carian direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.


Untuk Menjadikan Hasil Carian Lebih Berkaitan, Sesetengah Maklumat Dihantar kepada Apple dan Tidak Dikaitkan dengan Anda

Apabila anda menggunakan Rujuk atau Rujukan Visual, apabila anda menaip dalam Carian, carian Safari, carian #imej dalam Mesej atau apabila anda mencetuskan Spotlight, maklumat terhad akan dihantar kepada Apple untuk memberikan cadangan terkini. Sebarang maklumat yang dihantar kepada Apple tidak mengenal pasti anda dan dikaitkan dengan pengecam dijana peranti yang rawak dan bergilir selama 15 minit. Maklumat ini mungkin termasuk lokasi, topik minat (contohnya, memasak atau bola keranjang), pertanyaan carian anda, termasuk pertanyaan carian visual, maklumat kontekstual yang berkaitan dengan pertanyaan carian anda, cadangan yang telah anda pilih, app yang anda gunakan serta data penggunaan peranti yang berkaitan. Maklumat ini tidak termasuk hasil carian yang menunjukkan fail atau kandungan pada peranti anda. Jika anda melanggan perkhidmatan langganan muzik atau video, nama perkhidmatan ini dan jenis langganan mungkin dihantar kepada Apple. Nama, nombor dan kata laluan akaun anda tidak akan dihantar kepada Apple.

Anda juga boleh mencari menggunakan Siri, seperti meminta Siri merujuk pengetahuan am atau melakukan perkara seperti mendapatkan arah. Apabila anda menggunakan Siri, transkrip permintaan anda dan data lain mungkin dihantar kepada Apple untuk memproses permintaan anda dan mungkin disimpan. Anda boleh mengetahui lanjut tentang cara Siri mengendalikan data anda dengan pergi ke Seting > Siri.

Maklumat yang dihantar kepada Apple berkaitan carian anda digunakan untuk memproses permintaan anda, serta untuk membangunkan dan meningkatkan hasil carian, seperti dengan menggunakan pertanyaan carian anda untuk memperhalus model Carian. Ia tidak dikaitkan dengan Akaun Apple atau alamat e‑mel anda.

Maklumat beragregat mungkin digunakan untuk meningkatkan produk dan perkhidmatan Apple yang lain. Apple juga mungkin menghantar set pertanyaan carian terhad yang disampelkan secara rawak ke alat carian untuk tujukan penilaian dan meningkatkan prestasi serta kualiti Carian.

Cadangan Enjin Carian dalam Safari

Safari mempunyai medan tunggal untuk carian dan alamat web supaya anda boleh melayari web daripada satu tempat yang mudah. Apabila Cadangan Enjin Carian didayakan, Safari akan meminta cadangan daripada enjin carian dipilih anda berdasarkan perkara yang anda taipkan.

Pramuat Hasil Teratas dalam Safari

Dengan Pramuat Hasil Teratas didayakan, sebaik sahaja Safari menentukan Hasil Teratas berdasarkan penanda buku dan sejarah pelayaran anda, Safari akan mula memuatkan halaman web dalam latar belakang. Jika anda menyahdayakan pilihan ini, halaman akan dimuatkan secara normal.

Anda Mempunyai Pilihan dan Kawalan

Jika anda tidak mahu pertanyaan carian anda disimpan oleh Apple dan digunakan untuk meningkatkan Carian, anda boleh menyahdayakan Tingkatkan Carian dengan pergi ke Seting > Carian dan mengetik untuk menyahaktifkan Bantu Apple Tingkatkan Carian. Carian yang anda lakukan melalui Siri masih akan disimpan dan digunakan untuk meningkatkan Siri jika anda telah mendayakan Tingkatkan Siri & Perencanaan. Anda boleh menyahdayakan Tingkatkan Siri & Perencanaan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Analitis & Peningkatan dan mengetik untuk menyahaktifkan Tingkatkan Siri & Perencanaan.

Jika anda tidak mahu kandungan berdasarkan web dan hasil carian, anda boleh menyahdayakan “Tunjukkan Carian Terbaharu” dan “Tunjukkan Kandungan Berkaitan” dengan pergi ke Seting > Carian serta mengetik untuk menyahaktifkan ciri tersebut.

Anda boleh menyahdayakan Perkhidmatan Lokasi untuk Carian dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi > Perkhidmatan Sistem dan mengetik untuk menyahaktifkan Cadangan & Carian. Jika anda menyahaktifkan Perkhidmatan Lokasi pada peranti anda, lokasi anda tidak akan dihantar kepada Apple.

Apple mungkin memproses dan menyimpan maklumat yang dihantar kepada Apple dengan penyedia khidmat pihak ketiga yang dipercayai.

Dengan menggunakan Carian, anda bersetuju dan mengizinkan penghantaran, pengumpulan, penyenggaraan, pemprosesan dan penggunaan maklumat ini oleh Apple dan subsidiari serta ejennya. Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy.

Tarikh Terbitan: 4 Ogos 2025