TestFlight & Privasi

Log ranap, maklumat penggunaan dan maklum balas anda mungkin digunakan oleh Penyedia Aplikasi untuk meningkatkan app mereka serta produk berkaitan. Log ranap dan maklumat penggunaan juga mungkin digunakan oleh Apple untuk meningkatkan app TestFlight dan untuk pencegahan penipuan.
 

TestFlight direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • Apabila anda menguji app beta, log ranap dan maklumat penggunaan anda akan dikumpulkan oleh Apple dan dikongsi dengan Penyedia Aplikasi secara automatik. Data ini mungkin termasuk nama dan alamat e-mel anda serta anda tidak akan dapat menarik diri daripada pengumpulan ini.
  • Jika anda menghantar maklum balas tentang app beta, maklumat ini akan dikumpulkan oleh Apple dan dikongsi dengan Penyedia Aplikasi serta mungkin dikaitkan dengan nama dan alamat e-mel anda.
  • Penyedia Aplikasi mungkin menggunakan log ranap, maklumat penggunaan dan maklum balas anda untuk meningkatkan App dan produk berkaitan mereka. Penyedia Aplikasi tidak dibenarkan berkongsi maklumat ini dengan pihak ketiga.
  • Apple mungkin menggunakan log ranap dan maklumat penggunaan anda untuk meningkatkan app TestFlight dan untuk mengecam serta mencegah penipuan.

Maklumat yang dikumpulkan oleh Apple dan dikongsi dengan Penyedia Aplikasi semasa anda menggunakan TestFlight termasuk medan data yang disenaraikan di bawah. Jika anda menerima jemputan untuk menguji app beta menerusi pautan awam sahaja, alamat e-mel dan nama anda tidak kelihatan kepada Penyedia Aplikasi.

  • Alamat E-mel: Alamat e-mel yang anda dijemput untuk gunakan bagi menguji app. Ini mungkin sama dengan Apple ID yang dikaitkan dengan peranti anda atau tidak. Jika anda dijemput menerusi pautan awam, maklumat ini tidak dipaparkan kepada pembangun.
  • Nama: Nama pertama dan akhir anda seperti yang dimasukkan oleh pembangun apabila mereka menjemput anda untuk menguji app menggunakan alamat e-mel anda. Jika anda dijemput menerusi pautan awam, maklumat ini tidak dipaparkan.
  • Jenis Jemputan: Sama ada anda dijemput menerusi e-mel atau pautan awam.
  • Status: Status jemputan anda. Ini boleh berbentuk Dijemput, Diterima, atau Dipasang. Ini berubah berdasarkan status anda dan disegar semula apabila anda menerima atau memasang binaan beta.
  • Pemasangan: Kekerapan anda memasang binaan app beta.
  • Sesi: Kekerapan anda menggunakan binaan app beta.
  • Ranap: Bilangan ranap bagi setiap binaan app beta.

Pada iOS, visionOS dan macOS, apabila anda menghantar maklum balas daripada app TestFlight atau menghantar ranap atau gambar skrin daripada app beta, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple dan Penyedia Aplikasi termasuk medan data yang disenaraikan di bawah. Jika peranti anda menjalankan iOS 12.4 atau lebih awal, maklumat ini dikumpulkan hanya oleh Penyedia Aplikasi. Jika peranti anda menjalankan iOS 13 atau lebih baharu, visionOS 1 atau lebih baharu, atau macOS 12 atau lebih baharu, maklumat ini dikumpulkan oleh Apple dan dikongsi dengan Penyedia Aplikasi. Jika anda menggunakan versi TestFlight yang lebih lama dan anda menghantar e-mel maklum balas terus kepada Penyedia Aplikasi, maklumat ini tidak akan dikumpulkan oleh Apple.

  • Nama App: Nama app yang anda uji.
  • Versi App: Versi dan binaan terbaru yang anda boleh akses. Ini ialah nombor yang dipaparkan di bawah nama app dalam senarai app pada TestFlight.
  • Versi App Dipasang: Versi dan binaan yang telah anda pasang pada peranti anda.
  • Peranti: Model peranti anda dan pengecam peranti.
  • Versi iOS, visionOS, atau macOS: Versi iOS, visionOS, atau macOS yang dijalankan oleh peranti anda.
  • Bahasa: Bahasa peranti anda.
  • Pembawa: Penyedia khidmat wayarles anda.
  • Zon waktu: Zon waktu yang disetkan untuk peranti anda.
  • Seni Bina: Jenis Unit Pemprosesan Pusat (CPU) peranti anda.
  • Jenis Sambungan: Sama ada anda disambungkan ke Wi-Fi, selular, atau tidak disambungkan pada masa maklum balas dihantar.
  • Apple Watch Berpasangan: Jika terdapat app Apple Watch, model Apple Watch dan versi watchOS dikongsi dengan pembangun.

Jika peranti anda menjalankan iOS 13 atau lebih baharu, visionOS 1 atau lebih baharu, atau macOS 12 atau lebih baharu, medan data berikut akan dikumpul oleh Apple dan dikongsi dengan Penyedia Aplikasi.

  • Gambar Skrin: Gambar skrin yang anda kongsi semasa memberikan maklum balas.
  • Komen: Komen yang anda kongsi semasa memberikan maklum balas.
  • Masa hidup app: Tempoh masa app dibuka dan berjalan pada masa maklum balas dihantar.
  • Ruang Kosong Cakera: Jumlah ruang cakera anda yang tersedia pada masa maklum balas dihantar.
  • Bateri: Paras bateri anda semasa maklum balas dihantar.
  • Resolusi Skrin: Resolusi skrin peranti anda.
  • Log Ranap: Log ranap disimbolkan. Ini termasuk maklumat tentang tempoh masa app berjalan sebelum ranap.

Apple mengekalkan maklum balas app beta selama setahun dan mungkin mengekalkan log ranap serta data penggunaan sehingga pepijat diselesaikan. Apple menggunakan maklumat untuk meningkatkan app TestFlight dan untuk mengesan serta mencegah penipuan. Apple mengekalkan maklumat tentang app beta yang anda pasang, termasuk nama app, platform dan versi OS, serta butiran lain tentang pemasangan, selama dua tahun untuk menyokong analitis, perakaunan, pelaporan dan pengesanan penipuan Apple. Anda patut menyemak dasar privasi Penyedia Aplikasi untuk mendapatkan maklumat tentang cara mereka akan menggunakan dan mengendalikan data anda, serta tempoh masa mereka akan mengekalkan data anda.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam TestFlight umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses data peribadi mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga, untuk:

  • Meningkatkan dan mengoptimumkan app TestFlight untuk anda serta orang lain
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain
  • Menyokong analitis, perakaunan dan pelaporan Apple

Data yang digunakan termasuk:

  • Nama dan alamat e-mel anda serta maklumat tentang jemputan anda untuk menjadi penguji
  • Maklumat tentang app yang anda sedang uji
  • Butiran tentang peranti dan sistem pengendalian anda
  • Log ranap dan maklumat penggunaan anda

Untuk melihat dan mengurus data anda dengan Apple, termasuk data anda yang dihantar kepada Apple menerusi TestFlight, lawati halaman Data dan Privasi anda di privacy.apple.com. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pengendalian data anda oleh Penyedia Aplikasi, anda patut merujuk dasar privasi mereka. Untuk permintaan mengakses atau memadamkan data TestFlight, anda patut menghubungi Penyedia Aplikasi secara terus.

Tarikh Terbitan: 8 Februari 2024