VPN & Privasi

VPN boleh disediakan untuk mengawal penghalaan trafik rangkaian tertentu.

Rangkaian peribadi maya (VPN) ialah perkhidmatan yang boleh menyulitkan dan menghalakan trafik rangkaian tertentu daripada peranti anda melalui cara yang boleh menyembunyikan alamat IP anda daripada tapak web dan perkhidmatan yang anda lawati serta berinteraksi. Walaupun VPN aktif, sesetengah trafik yang diperlukan untuk perkhidmatan sistem penting akan berlaku di luar VPN supaya peranti anda boleh berfungsi dengan betul.

Anda boleh memuat turun konfigurasi VPN pilihan anda daripada App Store dan memasangnya pada peranti anda. Institusi, seperti majikan atau sekolah anda, boleh juga menyediakan konfigurasi VPN pada peranti yang mereka urus, termasuk Apple Watch atau Apple TV. Anda juga boleh menambahkan VPN secara manual pada peranti iOS atau iPadOS dengan pergi ke Seting > Umum > VPN & Pengurusan Peranti > VPN, kemudian mengetik Tambah Konfigurasi VPN dan memasukkan maklumat yang berkaitan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Rangkaian, klik butang Lagi, kemudian pilih Tambah Konfigurasi VPN dan masukkan maklumat yang berkaitan.

Anda mesti hanya menggunakan perkhidmatan VPN yang anda percayai. Apabila konfigurasi VPN dipasang dan aktif, penyedia VPN anda mungkin dapat melihat, memintas dan mengubah suai aktiviti dalam talian anda. Anda patut menyemak amalan privasi penyedia VPN anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan mereka dan cara mereka mengendalikan data anda. Apabila anda menggunakan app pihak ketiga atau melayari tapak web yang tidak dikendalikan Apple, Apple tidak mengumpulkan maklumat tentang penggunaan perkhidmatan VPN oleh anda pada peranti anda melalui cara yang mengenal pasti anda.

Penyedia VPN mengawal cara konfigurasi VPN anda beroperasi, termasuk cara trafik dihalakan apabila ia meninggalkan peranti anda, sama ada ia disulitkan dan data yang tersedia kepada tapak web yang anda bersambung.

Jika konfigurasi VPN anda dipasang dan aktif pada peranti yang Geganti Peribadi iCloud didayakan, konfigurasi VPN akan menentukan penghalaan sambungan internet yang sebaliknya akan dilindungi oleh Geganti Peribadi.

Bukan semua trafik rangkaian peranti anda akan dihalakan menerusi VPN aktif. Jika pembangun app menentukan jenis sambungan yang diperlukan untuk app mereka, seperti selular sahaja, trafik rangkaian daripada app tersebut dikecualikan dalam konfigurasi VPN yang aktif. Pada peranti iOS dan iPadOS, penyedia VPN anda boleh memilih untuk menggantikan pilihan ini dan menghalang kebanyakan app, perkhidmatan serta fungsi sistem daripada menghalakan trafik rangkaian di luar konfigurasi VPN yang aktif.

Sesetengah trafik yang diperlukan untuk perkhidmatan sistem penting tidak akan dihalakan menerusi konfigurasi VPN aktif, seperti sambungan terus dengan penghala rangkaian setempat anda (yang diperlukan untuk mewujudkan dan mengekalkan sambungan rangkaian) serta perkhidmatan selular tertentu yang hanya berfungsi pada rangkaian selular (yang mungkin termasuk Mel Suara Visual, jika tersedia).

Tarikh Terbitan: 18 September 2023