App Store & Privasi

Carian, pelayaran, pembelian dan skor kepercayaan peranti anda mungkin digunakan untuk memperibadikan pengalaman anda di App Store, menghantar e‑mel dan pemberitahuan pemasaran kepada anda, meningkatkan kedai serta mencegah penipuan. Anda boleh menukar pilihan pemasaran dan pemeribadian anda pada bila-bila masa.
 

App Store direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.


Privacy Icon

  • Kami mengumpulkan data peribadi anda supaya kami dapat menyediakan kepada anda kandungan yang anda beli, muat turun atau mahu kemas kini dalam App Store dan kedai dalam talian Apple yang lain, termasuk iTunes Store dan Apple Books.
  • Kami juga menggunakan maklumat tentang akaun, pembelian dan muat turun anda dalam kedai untuk menawarkan pengiklanan bagi memastikan iklan pada App Store, Apple News dan Saham, jika tersedia, berkaitan dengan anda. Anda mempunyai pilihan berhubungan dengan pengiklanan ini, seperti yang diterangkan di bawah.
  • Kami menggunakan maklumat tentang pembelian, muat turun dan aktiviti anda yang lain dalam kedai untuk memperibadikan ciri, menawarkan pengesyoran yang diperibadikan dan menghantar pemberitahuan kepada anda, termasuk bagi pemasaran Apple. Anda boleh menarik diri daripada penggunaan data ini untuk tujuan ini, seperti yang diterangkan di bawah.
  • Untuk membantu mengecam dan mencegah penipuan, maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk bilangan anggaran panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar dan terima, akan digunakan untuk mengira skor kepercayaan peranti apabila anda cuba membeli. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai sebenar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.
  • Untuk mencari cara meningkatkan kedai, kami menggunakan maklumat tentang pelayaran, pembelian, carian dan muat turun anda. Rekod ini mungkin disimpan bersama alamat IP, pengecam unik rawak (jika wujud) dan Akaun Apple apabila anda didaftar masuk ke App Store atau kedai dalam talian Apple yang lain.

Menyediakan Kedai

Kami menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan perkhidmatan dan ciri dalam App Store. Maklumat ini termasuk, contohnya, maklumat akaun dan bayaran anda, yang boleh anda akses dan tukar dalam seting serta sejarah pembelian anda.

Kami juga boleh menggunakan data peribadi anda untuk menyediakan perkhidmatan tertentu yang anda minta, seperti permintaan bayaran balik. Ini boleh termasuk permintaan bayaran balik yang anda hantar terus kepada Apple atau yang anda hantar kepada Apple seperti yang dimudahkan oleh pembangun app. Dengan keizinan anda, pembangun boleh memberikan data peribadi tertentu kepada Apple untuk membantu memproses permintaan bayaran balik ini, seperti sama ada anda telah menggunakan pembelian.

Jika anda mengaktifkan sekatan kandungan app Masa Skrin untuk peranti anda, kami menggunakan maklumat tentang sekatan kandungan app untuk menunjukkan kepada anda kandungan yang tersedia untuk anda. Apabila anda memuat turun app daripada App Store atau memasang app pada Apple Watch anda, pengecam seperti ID perkakasan dan alamat IP peranti anda dilog oleh Apple bersama-sama Akaun Apple anda. Apple mungkin menggunakan alamat IP sambungan internet anda untuk menganggarkan lokasi anda bagi menentukan sama ada sesetengah app yang tertakluk pada pengehadan undang-undang di sesetengah rantau boleh dijadikan tersedia kepada anda.

Meningkatkan Kedai

Untuk meningkatkan dan mengoptimumkan pengalaman dalam App Store serta app dan perkhidmatan Apple lain, kami mengumpulkan maklumat tentang penggunaan App Store oleh anda, termasuk masa anda membuka atau menutup App Store, kandungan yang anda cari, kandungan yang anda lihat dan muat turun, serta interaksi anda dengan pemberitahuan push dan lencana App Store, serta mesej daripada App Store dalam app. Kami juga mengumpulkan maklumat tentang peranti anda dan akaun anda, seperti jenis peranti, versi sistem pengendalian anda dan jumlah ruang kosong pada peranti anda serta maklumat demografi tentang kumpulan umur yang akaun anda tergolong. Kami mungkin menggunakan maklumat ini melalui cara berikut, sebagai contoh:

  • Untuk menawarkan carian popular dan ciri diperibadikan seperti Lebih Banyak Permainan Yang Mungkin Anda Suka
  • Untuk menilai sama ada kandungan yang diminta boleh dimuat turun
  • Untuk memahami aliran umum dalam penggunaan storan peranti dan sama ada peranti anda disambungkan melalui Wi‑Fi atau selular

Kami juga mungkin menggunakan penilaian dan ulasan app anda di App Store dan perkara yang anda cari untuk meningkatkan model yang menguasakan App Store. Sebagai contoh, ulasan app dan pertanyaan carian yang diagregatkan daripada anda dan pengguna App Store lain digunakan untuk menyediakan ringkasan ulasan dan untuk memperhalus model carian App Store.

Memperibadikan Kedai

Kami menggunakan interaksi anda dengan App Store untuk membantu anda menemui kandungan yang paling berkaitan dengan anda. Contohnya, kami mengesyorkan kandungan yang kami berpendapat akan diminati oleh anda berdasarkan perkara yang anda telah cari, lihat, muat turun, kemas kini atau ulas sebelumnya dalam App Store. Kami juga menggunakan sejarah pembelian, termasuk pembelian in‑app, langganan dan kaedah bayaran bersama dengan maklumat akaun yang diperoleh daripada Akaun Apple anda, seperti peranti yang anda gunakan dan peranti baharu yang anda aktifkan. Untuk memberikan pengesyoran yang lebih baik, kami juga menggunakan maklumat agregat tentang pelancaran, pemasangan dan pemadaman app daripada pengguna yang memilih untuk berkongsi analitis peranti dengan Apple dan maklumat agregat tentang penilaian app. App Store menggunakan pemprosesan setempat pada peranti untuk meningkatkan pengesyoran kami. Menggunakan data penggunaan app yang disimpan pada peranti anda — seperti app yang kerap anda buka, masa yang anda luangkan untuk menggunakan app tertentu dan pemasangan serta nyahpasang app anda — App Store boleh mencadangkan app dan peristiwa dalam app yang lebih berkaitan kepada anda. Maklumat yang Apple terima berkenaan penggunaan kedai oleh anda termasuk maklumat tentang kandungan diperibadikan yang anda ketik dan lihat.

Anda boleh menyahaktifkan ciri pemeribadian dalam App Store, Apple Books, iTunes Store, Apple TV, Podcast dan untuk langganan daripada Apple dengan menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan bagi Akaun Apple anda. Pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > [nama anda] > Media & Pembelian > Lihat Akaun, kemudian ketik untuk menyahaktifkan Pengesyoran Diperibadikan. Anda boleh mengosongkan data penggunaan app yang dilog pada peranti anda untuk pemeribadian pada peranti iOS dan iPadOS dengan pergi ke Seting > App > App Store > Pengesyoran Diperibadikan dan mengetik Kosongkan Data Penggunaan App. Ini tidak akan memadamkan data yang dilog pada peranti anda, tetapi sebarang data yang dilog semasa anda mengosongkan data penggunaan app anda tidak lagi akan digunakan untuk pemeribadian. Ciri pemeribadian App Store akan menggunakan data baharu yang dilog selepas anda mengosongkan sejarah data penggunaan app anda.

App Store dan Apple Games

Jika anda menggunakan app Apple Games, maklumat di atas tentang cara anda menggunakan App Store, termasuk kandungan yang anda cari, lihat dan muat turun, seperti yang diterangkan di bahagian Meningkatkan Kedai dan Memperibadikan Kedai di atas, akan digunakan oleh app Permainan untuk memeribadikan pengalaman anda dalam Permainan, mengoptimumkan dan meningkatkan App Store serta Apple Games dan menghantar komunikasi kepada anda. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang app Permainan, lawati www.apple.com/legal/privacy/data/en/apple-games.

Berkomunikasi dengan Anda

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki dan langganan anda kepada perkhidmatan Apple, untuk berkomunikasi dengan anda tentang App Store dan produk, perkhidmatan, serta tawaran lain Apple yang mungkin menarik minat anda. Apple juga mungkin menggunakan maklumat tentang aktiviti anda dalam App Store untuk menghantar komunikasi kepada anda tentang ciri baharu, kandungan dan tawaran yang tersedia pada App Store.

Pemasaran E-mel
Anda mungkin menerima komunikasi ini melalui e-mel, jika anda bersetuju menerima pemasaran e-mel. Anda boleh menukar keutamaan e‑mel anda dan menarik diri daripada menerima e‑mel ini dengan pergi ke account.apple.com atau pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda dengan pergi ke Seting > [nama anda] > Maklumat Peribadi > Keutamaan Komunikasi.

Pemberitahuan
Anda juga mungkin menerima komunikasi ini melalui pemberitahuan push, sepanduk atau lencana. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan anda atau menarik diri daripada pemberitahuan pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > Pemberitahuan > App Store.

Pengiklanan

Pengiklanan dihantar Apple membantu orang menemui app, produk dan perkhidmatan pada App Store, Apple News dan Saham. Kami menggunakan maklumat tentang peranti, akaun, pembelian, langganan dan muat turun anda yang sebelumnya untuk memastikan iklan adalah berkaitan. Pada App Store, kami juga mungkin menggunakan maklumat kontekstual, termasuk istilah carian anda apabila anda melakukan carian dan maklumat tentang halaman yang sedang anda lihat atau app yang sedang anda muat turun untuk menyiarkan iklan yang berkaitan kepada anda. Kami mencipta kumpulan orang, yang dipanggil segmen, yang berkongsi sifat yang serupa dan kami menggunakan kumpulan ini untuk menyiarkan iklan yang disasarkan. Maklumat tentang anda digunakan untuk menentukan segmen yang ditetapkan pada anda dan dengan itu, iklan yang anda terima. Untuk melindungi privasi anda, iklan disasarkan akan disiarkan hanya jika lebih daripada 5,000 orang menepati kriteria disasarkan. Maklumat yang digunakan untuk menentukan iklan yang berkaitan dengan anda dikaitkan dengan pengecam rawak dan tidak dikaitkan dengan Akaun Apple anda.

Semasa memilih iklan untuk dipaparkan pada App Store daripada berbilang iklan yang anda layak, kami mungkin menggunakan sesetengah maklumat yang disebutkan di atas, serta carian dan aktiviti pelayaran App Store anda, untuk menentukan iklan yang berkemungkinan paling berkaitan dengan anda. Aktiviti pelayaran App Store termasuk maklumat seperti kandungan dan app yang anda ketik serta lihat semasa melayari App Store. Maklumat ini diagregatkan merentas pengguna supaya ia tidak mengenal pasti anda. Kami juga boleh menggunakan pemprosesan setempat pada peranti untuk memilih iklan bagi dipaparkan, menggunakan maklumat yang disimpan pada peranti anda, seperti app yang kerap anda buka. Platform pengiklanan Apple menerima maklumat tentang iklan yang anda ketik dan lihat daripada pengecam rawak yang tidak dikaitkan dengan Akaun Apple anda.

Jika anda membenarkan App Store mengakses lokasi anda, anggaran lokasi anda mungkin digunakan untuk menyediakan iklan yang disasarkan secara geografi pada App Store. Anda boleh menarik diri daripada fungsi berdasarkan lokasi pada bila-bila masa pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi > App Store, kemudian mengetik Jangan.

Jika seting Iklan Diperibadikan diaktifkan, platform pengiklanan Apple mungkin menggunakan maklumat anda untuk memberikan iklan yang lebih berkaitan kepada anda. Jika anda tidak mahu menerima iklan yang disasarkan pada minat anda daripada platform pengiklanan Apple, anda boleh memilih untuk menyahaktifkan Iklan Diperibadikan. Menyahaktifkan Iklan Diperibadikan akan menghalang Apple daripada menggunakan maklumat anda untuk penyasaran iklan. Ini mungkin tidak mengurangkan bilangan iklan yang anda terima, tetapi iklan mungkin kurang berkaitan kepada anda.

Ketahui lebih lanjut tentang Pengiklanan Apple & Privasi di www.apple.com/legal/privacy/data/ms/apple-advertising.

Ketahui cara menarik diri daripada iklan diperibadikan pada App Store, Apple News dan Saham di support.apple.com/105131.

Perkongsian dengan Pihak Ketiga

Kami berkewajipan untuk memberikan sedikit data bukan peribadi kepada rakan kongsi strategik yang bekerjasama dengan Apple untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kami, membantu Apple memasarkan kepada pelanggan dan menjual iklan bagi pihak Apple untuk dipaparkan dalam App Store, Apple News dan Saham. Contohnya, kami mungkin berkongsi data bukan peribadi tentang langganan dan pembelian kandungan anda dengan pembangun app, supaya mereka boleh mengukur prestasi karya kreatif mereka, memenuhi keperluan royalti dan perakaunan serta meningkatkan produk dan perkhidmatan mereka.

Kami mungkin berkongsi maklumat dengan pembangun untuk membantu mereka beroperasi dan meningkatkan app mereka. Pembangun boleh mengakses maklumat penggunaan, yang disediakan oleh pengguna yang mengikut serta, yang membolehkan mereka melihat pada data teragregat daripada kumpulan pengguna yang mempunyai sifat atau kelakuan serupa, asalkan data datang daripada kumpulan dengan tidak kurang daripada lima pengguna. Pembangun juga boleh mengakses maklumat resit untuk pembelian dan bayaran balik produk dan perkhidmatan mereka dalam App Store. Resit yang disediakan kepada pembangun tidak termasuk data peribadi; walau bagaimanapun, pembangun boleh cuba mengaitkannya dengan data peribadi daripada penggunaan dan muat turun app mereka oleh anda, jika anda telah memberikannya kepada mereka.

Jika anda membeli langganan dalam app pihak ketiga, kami mencipta ID Pelanggan yang unik untuk anda dan pembangun atau penerbit. Kami menggunakan ID Pelanggan untuk menyediakan laporan kepada pembangun yang termasuk maklumat tentang langganan yang telah anda beli dan negara atau rantau kediaman anda. Jika anda melanggan pakej langganan, setiap pembangun yang menyediakan langganan app sebagai sebahagian daripada pakej akan menerima resit dan maklumat pelaporan langganan tentang pakej. Maklumat ini diberikan kepada pembangun supaya mereka boleh memahami prestasi langganan mereka. Jika anda membatalkan semua langganan anda dengan pembangun tertentu dan jika anda tidak melanggan semula, ID Pelanggan akan direset selepas 180 hari.

Di sesetengah rantau, jika anda membuat pembelian barangan atau perkhidmatan digital untuk app secara luaran, bermakna pembelian anda tidak dibuat dengan sistem bayaran in-app Apple, pembangun app untuk app tersebut akan melaporkan kepada Apple maklumat tentang pembelian, termasuk jumlah dibayar dan item dibeli, untuk tujuan perakaunan, pelaporan dan analitis Apple. Apple tidak mengaitkan maklumat pembelian dengan Akaun Apple anda.

Selain itu, apabila muat turun automatik kandungan dalam app daripada pembangun app berlaku, alamat IP peranti anda akan kelihatan kepada pembangun app sebelum app pertama kali dibuka. Pengendalian alamat IP anda oleh pembangun app ditadbir oleh dasar privasi pembangun app. Untuk menyahaktifkan muat turun automatik kandungan dalam app daripada pembangun sebelum anda pertama kali membuka app, pergi ke Seting >App > App Store, kemudian ketik untuk menyahaktifkan Kandungan Dalam App.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam App Store umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses data peribadi mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga untuk:

  • Memaparkan kandungan berkaitan, menilai sama ada peranti anda mempunyai ruang mencukupi untuk memuat turun kandungan yang diminta dan memudahkan muat turun automatik kandungan yang dikemas kini
  • Membantu meningkatkan dan mengoptimumkan App Store serta produk dan perkhidmatan Apple lain untuk anda dan orang lain
  • Menghantar tawaran kepada anda menerusi e‑mel dan pemberitahuan yang mungkin menarik minat anda, serta untuk mencipta segmen bagi menyiarkan iklan kepada anda dalam App Store, Apple News dan Saham
  • Memproses permintaan bayaran balik
  • Menyediakan pelaporan kepada pembangun tentang pembelian dalam app mereka
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain

Data yang digunakan termasuk:

  • Penggunaan app App Store oleh anda, seperti interaksi anda dengan kandungan yang anda cari, lihat, muat turun dan beli, serta pemberitahuan dan mesej App Store, serta pemberitahuan dan mesej dalam app
  • Butiran tentang peranti dan akaun anda
  • Alamat IP anda
  • Skor kepercayaan peranti

Pengekalan

Kami mengekalkan data peribadi yang dikaitkan dengan pembelian dan muat turun anda pada App Store dan kedai dalam talian Apple yang lain selama tempoh yang ditentukan oleh undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan pelaporan kewangan, yang berbeza-beza mengikut rantau. Untuk kebanyakan pelanggan, ini memerlukan tempoh pengekalan sekurang-kurangnya selama 10 tahun, tetapi di rantau seperti China, tempoh tersebut boleh menjadi 30 tahun. Kami juga mengekalkan rekod pembelian dan muat turun kandungan oleh anda selama sekurang-kurangnya tempoh masa anda mempunyai akaun dengan kami untuk membolehkan anda memuat turun kandungan tersebut, sekali lagi selaras dengan syarat kami yang berkenaan. Kami mengekalkan maklumat lain seperti aktiviti pelayaran dan carian selama tempoh masa yang lebih pendek. Tempoh yang dipilih mengambil kira keperluan undang-undang yang berkenaan untuk mengekalkan data dan kes penggunaan perniagaan tertentu. Walau bagaimanapun, sesetengah maklumat, seperti pembelian tetapi bukan butiran kad anda yang disimpan, mungkin dikekalkan sebagai rekod perniagaan walaupun selepas anda menutup akaun anda atau berhenti menggunakan App Store.

Apabila anda menggunakan kad bayaran, Apple mungkin mengekalkan dan mengemas kini nombor kad serta maklumat pengebilan anda secara automatik untuk pembelian masa depan, transaksi berulang atau penggunaan lain yang anda benarkan. Apple mungkin mendapatkan maklumat ini daripada institusi kewangan atau rangkaian bayaran anda dan turut menggunakannya untuk pencegahan penipuan serta pengesahan.

Mencegah Penipuan dan Aktiviti Berniat Jahat Lain

Kami turut mengumpulkan data peribadi untuk mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain dalam App Store dan kedai dalam talian Apple lain, serta app dan perkhidmatan Apple yang lain. Maklumat ini termasuk maklumat peranti, seperti jenis peranti dan versi perisian, maklumat lokasi (dianggarkan dengan memadankan alamat IP sambungan internet anda dengan rantau geografi, jika tersedia), sejarah muat turun, carian dan pembelian serta interaksi lain dengan kedai.

Apabila anda memulakan pembelian atau apabila langganan disetkan kepada perbaharui auto, Apple mungkin menggunakan maklumat tentang sejarah hubungan perniagaan anda dengan Apple untuk memproses permintaan dan menentukan sama ada untuk menyediakan produk atau perkhidmatan sebelum pengesahan oleh rakan kongsi bayaran.

Kami juga mengira skor kepercayaan peranti pada peranti anda apabila anda cuba membeli menggunakan maklumat tentang cara anda menggunakan peranti anda, termasuk anggaran bilangan panggilan telefon atau e-mel yang anda hantar dan terima. Penghantaran direka bentuk supaya Apple tidak boleh mengetahui nilai mendasar pada peranti anda. Skor disimpan untuk masa yang ditetapkan pada pelayan kami.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy.

Tarikh Terbitan: 15 September 2025