Apple News & Privasi

Apple mengumpul aktiviti anda dalam News, yang tidak dikaitkan dengan Apple ID anda, untuk meningkatkan dan memperibadikan Apple News. Apabila anda mendayakan pemberitahuan untuk saluran, saluran tersebut akan dikaitkan dengan Apple ID anda. Nombor siri peranti anda mungkin digunakan untuk menyemak kelayakan bagi tawaran perkhidmatan.
 

Apple News, termasuk Apple News+, direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • Aktiviti membaca dan mendengar anda dalam News serta Saham dipautkan kepada pengecam yang khusus untuk News dan Saham, serta tidak dikaitkan dengan Apple ID anda atau dipautkan kepada perkhidmatan Apple yang lain.
  • Kami menggunakan maklumat tentang cara anda menggunakan Apple News untuk menyesuaikan ciri kepada minat peribadi anda. Maklumat ini tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.
  • Kami mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, topik dan kategori cerita yang anda baca serta penerbitan yang anda ikuti, langgan atau aktifkan pemberitahuan untuk memastikan iklan dalam News dan Saham berkaitan dengan anda. Kami juga boleh menggunakan maklumat tentang langganan anda untuk memperibadikan iklan anda pada App Store. Anda mempunyai pilihan berhubung dengan pengiklanan ini, seperti yang diterangkan di bawah.
  • Kami menyemak Apple ID anda untuk sebarang langganan aktif yang boleh digunakan dalam Apple News.
  • Apabila anda mendayakan pemberitahuan untuk saluran, kami boleh mengaitkan saluran tersebut dengan Apple ID anda.

Melindungi privasi dan keselamatan maklumat anda ialah keutamaan semua orang di Apple. Kami bekerja keras untuk mengumpul hanya data yang kami perlukan bagi menjadikan pengalaman anda lebih baik. Apabila kami mengumpulkan data, kami percaya adalah penting anda tahu tentang data yang kami kumpulkan dan sebab kami memerlukannya, supaya anda boleh membuat pilihan termaklum. Apple News, seperti setiap produk dan perkhidmatan Apple, direka bentuk berpandukan prinsip ini.

Menyediakan Apple News

Kami faham bahawa cerita yang anda baca dan dengar bersifat peribadi, jadi kami telah mereka bentuk app News dan Saham supaya aktiviti membaca dan mendengar anda dan cara anda menggunakan Apple News tidak dikaitkan dengan Apple ID anda dan tidak dipautkan dengan perkhidmatan Apple yang lain. Data yang kami kumpulkan akan dikaitkan dengan pengecam yang khusus kepada app News dan Saham.

Apple mengumpulkan maklumat tentang cara anda menggunakan Apple News untuk memperibadikan ciri kepada minat peribadi anda. Contohnya, ciri Today menyediakan anda suapan berita peribadi yang menyerlahkan cerita terbaik untuk anda daripada saluran dan topik kegemaran anda. Apple berupaya menyediakan ciri ini dengan mengumpulkan maklumat tentang interaksi anda dengan Apple News, termasuk cerita yang anda baca, simpan atau kongsi dan topik serta saluran yang anda ikuti.

Pengesyoran dalam Apple News dibuat berdasarkan maklumat yang disimpan pada peranti anda. Untuk mengosongkan sejarah bacaan dan pendengaran anda, ketik atau klik Clear dalam bahagian History pada News pada peranti iOS atau iPadOS anda. Pada Mac, pergi ke News > Clear History dan klik Clear History. Ini turut akan mereset pengecam yang digunakan untuk News dan Saham. Anda boleh mereset pengecam tanpa mengosongkan sejarah bacaan dan pendengaran anda pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > News, kemudian mengetik untuk mengaktifkan Reset Identifier. Pada Mac, buka News, kemudian pergi ke News > Clear History dan klik Reset Identifier.

Apabila anda mendayakan pemberitahuan untuk saluran dalam Apple News, kami menyimpan maklumat tersebut untuk memaklumkan anda tentang cerita penting dan keluaran baharu daripada saluran. (Pemberitahuan keluaran baharu tersedia hanya untuk pelanggan Apple News+ dan hanya pada peranti iOS dan iPadOS.)

Apabila anda menggunakan carian dalam Apple News, maklumat, termasuk langganan, dihantar kepada Apple bersama pertanyaan carian anda untuk memberi anda hasil carian yang berkaitan dan meningkatkan carian. Maklumat ini tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.

Jika anda membenarkan Apple News untuk mengakses lokasi anda, anggaran lokasi anda mungkin digunakan untuk memberikan maklumat yang berkaitan secara setempat seperti berita, cuaca, hasil carian dan pengiklanan setempat. Selain itu, saluran dan topik mungkin dicadangkan kepada anda berdasarkan lokasi anda dan aktiviti anda dalam Apple News. Maklumat ini tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.

Anda boleh menarik diri daripada fungsi berasaskan lokasi pada bila-bila masa pada peranti iOS atau iPadOS dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Perkhidmatan Lokasi, ketik News, kemudian pilih Jangan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Privasi > Perkhidmatan Lokasi, kemudian nyahpilih News.

Siri mencadangkan cerita, saluran dan topik yang mungkin anda suka berdasarkan pemprosesan maklumat pada peranti yang diperoleh daripada app yang anda gunakan dan tapak web yang anda lawati melalui Safari. Maklumat ini tidak dihantar kepada Apple. Anda boleh menyahdayakan ini pada bila-bila masa pada peranti iOS atau iPadOS anda dengan pergi ke Seting > News > Siri & Carian dan mengetik untuk menyahaktifkan Tunjukkan dalam App. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Siri & Spotlight, klik Cadangan Siri & Privasi, klik News, kemudian nyahpilih Tunjukkan Cadangan Siri dalam App.

Untuk kemudahan anda, Apple News menggunakan iCloud untuk memastikan aspek tertentu pengalaman anda dikemas kini pada semua peranti anda. Contohnya, Apple News akan menggunakan iCloud untuk mengingati saluran dan topik yang anda ikuti, sejarah bacaan dan pendengaran anda dan keutamaan bacaan dan pendengaran anda supaya anda boleh menikmati pengalaman Apple News yang sama daripada sebarang peranti anda. Sejarah bacaan dan pendengaran anda disimpan sehingga tiga bulan. Jika anda menyahikut saluran atau topik, keluarkan cerita daripada Saved Stories, atau padam cerita daripada sejarah bacaan anda, maklumat tersebut akan dipadamkan daripada pelayan Apple dengan serta-merta. Anda boleh menyahdayakan keupayaan ini pada bila-bila masa dengan menyahaktifkan iCloud untuk Apple News. Untuk berbuat demikian pada peranti iOS atau iPadOS anda, pergi ke Seting > [nama anda] > iCloud, kemudian ketik untuk menyahaktifkan News. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > [nama anda] > iCloud, kemudian nyahpilih News. Jika anda telah menyahdayakan ciri ini, saluran dan topik yang anda ikuti, sejarah bacaan dan pendengaran anda serta keutamaan bacaan dan pendengaran anda masih disandarkan ke iCloud jika Sandaran iCloud didayakan.

Langganan

Jika anda melanggan Apple News+, anda boleh mengakses kandungan langganan daripada pelbagai penerbitan. Sebagai alternatif, anda boleh mengakses kandungan langganan daripada penerbitan individu melalui salah satu daripada beberapa cara.

Pertama, Apple News akan menyemak Apple ID anda untuk melihat sama ada anda mempunyai sebarang langganan aktif daripada App Store yang boleh digunakan dalam Apple News. Jika ada, Apple News akan membuka kunci langganan anda secara automatik dan memberi anda akses kepada cerita berbayar penerbitan. Kedua, anda boleh membeli langganan untuk penerbitan individu secara terus dalam app News, yang membolehkan anda memilih untuk berkongsi maklumat peribadi anda dengan penerbitan. Ketiga, jika anda telah membeli langganan sebelum ini terus daripada penerbitan (contohnya, di tapak web penerbitan), penerbit mungkin membenarkan anda mendaftar masuk ke Apple News dengan akaun langganan anda. Penerbitan kemudian akan mengesahkan langganan anda dan memberi anda akses kepada kandungan langganan mereka dalam Apple News.

Jika anda mempunyai langganan individu untuk penerbitan yang merupakan sebahagian daripada Apple News+, anda boleh mengakses kandungan berbayar daripada penerbitan tersebut walaupun anda tidak mempunyai langganan Apple News+.

Di sesetengah negara, anda boleh mendengar versi audio cerita terpilih dan taklimat audio untuk cerita teratas hari ini yang dihoskan oleh editor Apple News. Audio tersedia pada iPhone, iPod touch dan CarPlay. Cerita audio penuh tersedia untuk pelanggan Apple News+ sahaja. Bukan pelanggan boleh mendengar pratonton pendek. Taklimat audio tersedia untuk pelanggan dan bukan pelanggan.

Versi audio cerita dan taklimat dilindungi dengan rangka kerja pengurusan hak digital (DRM) Penstriman FairPlay Apple untuk kawalan akses dan penyulitan kandungan digital. Apple News berkongsi kunci penyahsulitan merentas berbilang fail kandungan, untuk memastikan yang Apple tidak boleh memperoleh sejarah pendengaran anda daripada kunci yang diminta oleh peranti anda.

Apple Podcasts

Kandungan audio Apple News tersedia dalam Apple Podcasts. Jika anda mendengar kandungan sedemikian dalam Apple Podcasts, aktiviti pendengaran anda akan tertakluk pada Apple Podcasts & Privasi di www.apple.com/legal/privacy/data/ms/apple-podcasts/. Contohnya, Apple mengetahui kedudukan main episod podcast yang anda dengar, untuk diselaraskan merentas peranti.

Berkomunikasi dengan Anda

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki dan langganan perkhidmatan Apple anda, untuk menghantar komunikasi kepada anda tentang Apple News+ dan produk, perkhidmatan serta tawaran Apple lain yang mungkin anda berminat, termasuk Apple One. Nombor siri peranti anda mungkin digunakan untuk menyemak kelayakan bagi tawaran perkhidmatan. Jika anda berada dalam kumpulan Perkongsian Keluarga, Apple mungkin menghantar anda komunikasi tentang produk, perkhidmatan dan tawaran yang tersedia kepada anda menerusi Perkongsian Keluarga. Jika anda membeli langganan Apple One, kami mungkin menghantar e-mel dan pemberitahuan push kepada anda tentang ciri setiap perkhidmatan yang anda telah langgan. Apple juga mungkin menggunakan maklumat tentang aktiviti anda dalam Apple News untuk menghantar e-mel dan pemberitahuan push kepada anda tentang ciri, kandungan dan tawaran baharu yang tersedia dalam Apple News. Anda boleh menukar keutamaan e-mel anda dan menarik diri daripada menerima e-mel ini dengan pergi ke appleid.apple.com/my. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan anda pada peranti iOS atau iPadOS anda, pergi ke Seting > Pemberitahuan > News. Pada Mac, buka News dan pergi ke File > Manage Notifications & Email. Apple menggunakan maklumat tentang interaksi anda dengan komunikasi kami, termasuk pemberitahuan, untuk meningkatkan perkhidmatan kami.

Pengiklanan

Untuk memberikan kandungan hebat kepada anda daripada penerbit terkemuka, Apple News disokong oleh iklan. Jika seting Iklan Diperibadikan aktif, platform pengiklanan Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, topik dan kategori cerita yang anda baca dan penerbitan yang anda ikuti, langgan atau aktifkan pemberitahuan untuk menyiarkan iklan yang lebih berkaitan kepada anda. Kami juga boleh menggunakan maklumat tentang langganan anda untuk memperibadikan iklan anda pada App Store. Menyahaktifkan Iklan Diperibadikan akan menghalang Apple daripada menggunakan maklumat ini untuk penyasaran iklan. Ini mungkin tidak mengurangkan bilangan iklan yang anda terima, tetapi iklan mungkin kurang berkaitan kepada anda. Pada peranti iOS atau iPadOS anda, anda boleh menyahdayakan Iklan Diperibadikan dengan pergi ke Seting > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple dan mengetik untuk menyahaktifkan Iklan Diperibadikan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Privasi & Keselamatan > Pengiklanan Apple dan nyahpilih kotak semak Iklan Diperibadikan. Cerita yang anda baca dan dengar dalam Apple News akan digunakan hanya untuk menghantar pengiklanan kepada anda apabila anda berada dalam app News atau Saham.

Pendedahan kepada Pihak Ketiga

Kami tidak berkongsi sebarang data peribadi anda dengan pihak ketiga. Kami berkewajipan untuk menyediakan data bukan peribadi tertentu kepada rakan kongsi strategik yang bekerjasama dengan Apple untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kami, membantu Apple memasarkan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan serta menjual iklan mewakili Apple untuk dipaparkan dalam Apple News. Contohnya, Apple boleh menggunakan data bukan peribadi tentang penggunaan Apple News oleh anda untuk membayar penerbit dan mungkin berkongsi laporan agregat dengan penerbit Apple News untuk membantu mereka memahami cara pengguna membaca atau menggunakan kandungan mereka. Sesetengah laporan agregat ini termasuk demografi pengguna, seperti umur dan jantina (yang mungkin diambil daripada maklumat seperti nama serta gelaran anda dalam akaun Apple ID anda). Apple juga mungkin berkongsi maklumat dengan penyedia khidmat yang menyediakan perkhidmatan seperti pemprosesan maklumat, menyediakan khidmat pelanggan, menilai minat anda dalam produk dan perkhidmatan kami serta melakukan penyelidikan pelanggan atau tinjauan kepuasan bagi pihak kami. Syarikat ini berkewajipan untuk melindungi maklumat anda dan mungkin terletak di mana-mana tempat Apple beroperasi.

Apabila anda membeli langganan kepada terbitan individu dalam Apple News, Apple mencipta ID Pelanggan yang unik kepada anda dan penerbit. Kami menggunakan ID Pelanggan untuk menyediakan laporan kepada penerbit yang termasuk maklumat tentang langganan yang telah anda beli dan negara atau rantau kediaman anda supaya penerbit boleh memahami prestasi langganan mereka. Jika anda membatalkan semua langganan anda dengan penerbit tertentu dan jika anda tidak melanggan semula, ID Pelanggan akan direset selepas 180 hari.

Apple News turut membenarkan anda berkongsi kandungan Apple News dengan tapak web atau rangkaian sosial lain. Apabila anda berkongsi kandungan Apple News ke tempat lain seperti tapak web atau rangkaian sosial, maklumat tersebut ditadbir oleh dasar privasi tapak web atau rangkaian sosial tersebut. Jika anda tidak mahu maklumat ini dikongsi dengan pihak ketiga, jangan kongsi kandungan Apple News kepada tapak web atau rangkaian sosial pihak ketiga.

Kami mungkin mengumpulkan, menggunakan, memindahkan dan mendedahkan data bukan peribadi atas sebarang tujuan. Contohnya, kami mungkin mengagregat data bukan peribadi anda dengan maklumat pengguna Apple News yang lain untuk meningkatkan perkhidmatan.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam Apple News umumnya untuk pelaksanaan kontrak anda dengan Apple, seperti yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan dan mematuhi kewajipan undang-undang kami. Jika persetujuan ialah asas undang-undang yang bersesuaian, kami mendapatkannya selaras dengan undang-undang tempatan yang berkenaan.

Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses data peribadi mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami atau pihak ketiga untuk:

  • Memaparkan kandungan yang tersedia kepada anda
  • Menyemak kelayakan untuk tawaran, mengoptimumkan dan meningkatkan perkhidmatan untuk anda serta orang lain dan menghantar komunikasi dengan anda tentang Apple News serta produk, perkhidmatan, serta tawaran berkaitan Apple lain yang mungkin menarik minat anda, termasuk Apple One

Data yang digunakan termasuk:

  • Butiran tentang akaun, langganan penerbitan dan perkhidmatan Apple anda, produk Apple yang anda miliki dan sama ada anda berada dalam Kumpulan Perkongsian Keluarga
  • Saluran yang telah anda dayakan pemberitahuan

Pengekalan

Kami mengekalkan data peribadi berhubungan Apple News hanya selama kami mempunyai keperluan perniagaan, kewajipan kontrak atau keperluan undang-undang. Sesetengah maklumat, seperti sejarah pembelian langganan tetapi bukan butiran kad anda yang disimpan, mungkin dikekalkan sebagai rekod perniagaan walaupun selepas anda menutup akaun anda atau menyahlanggan daripada Apple News+. Apabila menilai tempoh pengekalan, kami mengkaji dengan teliti terlebih dahulu sama ada perlu mengekalkan data peribadi yang dikumpulkan, jika pengekalan diperlukan, berusaha untuk mengekalkan data peribadi bagi tempoh paling singkat yang mungkin yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 18 September 2023