Game Center & Privasi

Maklumat permainan anda, termasuk permainan yang anda mainkan dan aktiviti permainan anda digunakan untuk meningkatkan Game Center. Nama panggilan, avatar, status langganan Arcade, skor dan maklumat aktiviti lain anda yang anda pilih untuk berkongsi kelihatan kepada semua pengguna Game Center.
 

Game Center direka bentuk untuk melindungi maklumat anda dan membolehkan anda memilih perkara yang anda kongsi.

Privacy Icon

  • Game Center membolehkan anda terlibat dalam aktiviti berkaitan permainan seperti penyertaan dalam papan juara; permainan berbilang pemain; mencari, melihat dan mencabar rakan; serta menjejak pencapaian.
  • Apabila anda bermain permainan didayakan Game Center semasa didaftar masuk ke Game Center, Apple mengumpulkan maklumat seperti permainan yang anda main dan aktiviti permainan anda. Maklumat ini digunakan untuk menjejak skor tinggi, pencapaian dan cabaran anda, serta meningkatkan Game Center bagi anda dan orang lain.
  • Apple juga mengumpul senarai rakan Game Center anda, pemain yang bermain dengan anda dan masa anda bermain bersama. Maklumat ini digunakan untuk membantu anda terlibat semula dalam permainan berbilang pemain dengan mudah, melihat skor tinggi satu sama lain dengan cepat dan untuk meningkatkan Game Center bagi anda dan orang lain.
  • Nama panggilan, avatar, skor dan status langganan Arcade Game Center anda kelihatan kepada semua pengguna Game Center. Anda juga boleh memilih untuk berkongsi maklumat aktiviti Game Center yang lain, seperti permainan yang anda telah main dan kemajuan pencapaian, dengan rakan Game Center anda atau semua pengguna Game Center. Maklumat ini akan kelihatan kepada mereka yang anda kongsi dalam Game Center dan perkhidmatan Apple yang lain, seperti App Store dan Apple Arcade. Nama anda juga mungkin kelihatan kepada rakan Game Center anda.
  • Apple menggunakan maklumat bukan pengenalpastian tentang kenalan anda yang telah memautkan nama panggilan Game Center mereka dengan kad kenalan mereka untuk mencadangkan rakan kepada anda, tetapi tidak menyimpan maklumat ini. Selain itu, Game Center menggunakan pemprosesan pada peranti untuk membantu pengesyoran ini.

Melindungi privasi dan keselamatan maklumat anda ialah keutamaan semua orang di Apple. Kami berusaha keras untuk hanya mengumpulkan data yang kami perlukan untuk menjadikan pengalaman anda lebih baik. Apabila kami mengumpulkan data, kami percaya penting untuk anda mengetahui perkara yang kami kumpulkan dan sebab kami memerlukannya, supaya anda boleh membuat pilihan termaklum. Game Center, seperti setiap produk dan perkhidmatan Apple, direka bentuk berpandukan prinsip ini.

Menyediakan dan Meningkatkan Game Center

Setelah anda menyertai Game Center, anda akan dapat terlibat dalam aktiviti berkaitan permainan seperti penyertaan dalam papan juara, permainan berbilang pemain, mencari, melihat dan mencabar rakan; serta menjejak pencapaian. Apple mengumpulkan maklumat tentang penggunaan Game Center oleh anda untuk meningkatkan dan mengoptimumkan Game Center bagi anda serta orang lain, termasuk permainan yang anda main, masa anda memainkannya dan orang yang bermain dengan anda; skor dan pencapaian anda; serta cabaran yang anda hantar dan terima.

Apple juga mengumpul senarai rakan Game Center anda, pemain yang bermain dengan anda dan masa anda bermain bersama. Maklumat ini digunakan untuk membantu anda terlibat semula dalam permainan berbilang pemain dengan mudah, melihat skor tinggi masing-masing dengan cepat dan untuk meningkatkan Game Center bagi anda dan orang lain.

Apple mengumpulkan maklumat tentang interaksi anda dengan ciri Game Center untuk meningkatkan dan mengoptimumkan Game Center bagi anda serta orang lain. Maklumat ini tidak dikaitkan dengan Apple ID anda.

Bermain dengan Pemain Lain dan Rakan

Nama panggilan, avatar, skor dan status langganan Arcade Game Center anda kelihatan kepada semua pengguna Game Center untuk permainan dengan papan juara global. Anda juga boleh memilih untuk berkongsi maklumat aktiviti Game Center yang lain dengan rakan Game Center anda atau semua pengguna Game Center. Maklumat ini termasuk permainan yang telah anda main dan kemajuan pencapaian anda serta akan kelihatan kepada mereka yang anda kongsi dalam Game Center dan perkhidmatan Apple yang lain, seperti App Store dan Apple Arcade. Maklumat aktiviti Game Center kanak-kanak hanya boleh dikongsi dengan rakan Game Center mereka. Anda boleh melihat dan menukar keadaan perkongsian aktiviti anda dengan pergi ke Seting > Game Center > Privasi Profil pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda dan Seting Sistem > Game Center > Privasi Profil pada Mac.

Jika anda memilih untuk memautkan nama panggilan Game Center anda dengan kad kenalan anda, Game Center akan menggunakan alamat e-mel dan nombor telefon yang dikaitkan dengan Apple ID anda. Ini membolehkan rakan Game Center anda untuk mencari anda dengan lebih mudah berdasarkan nama yang mereka berikan kepada anda dalam app Kenalan mereka. Anda boleh mengawal seting ini pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda dengan pergi ke Seting > Game Center > Benarkan Carian oleh Rakan dan pada Mac dengan pergi ke Seting Sistem > Game Center dan menyahaktifkan Benarkan Carian oleh Rakan.

Apabila anda bermain permainan yang menyokong kefungsian berbilang pemain, pengguna Game Center lain yang mengakses permainan yang sama pada rangkaian Wi-Fi atau rangkaian kawasan setempat yang sama, atau berada dalam liputan Bluetooth akan dapat melihat yang anda berdekatan dan melihat nama panggilan dan avatar anda. Apabila pembangun menggunakan kefungsian berbilang pemain Apple, anda boleh menyahdayakan ciri ini pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda dengan pergi ke Seting > Game Center, kemudian mengetik nyahaktifkan Pemain Berdekatan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Game Center dan klik untuk menyahaktifkan “Pemain berdekatan”. Pada tvOS, pergi ke Seting > Pengguna dan Akaun > [nama pengguna] > Game Center, kemudian nyahaktifkan Pemain Berdekatan.

Apple menerima maklumat bukan pengenalpastian tentang kenalan anda yang telah memilih untuk memautkan nama panggilan Game Center mereka dengan kad kenalan mereka. Maklumat ini digunakan untuk meningkatkan pengesyoran rakan yang ditunjukkan kepada anda pada paparan Game Center, tetapi tidak disimpan oleh Apple. Selain itu, Game Center menggunakan pemprosesan pada peranti untuk membantu pengesyoran ini.

Jika anda menjalin persahabatan sebelum iOS 10, rakan tersebut mempunyai akses kepada nama sebenar anda. Dalam sebarang persahabatan yang dijalin sejak anda mengguna pakai iOS 10, hanya nama panggilan anda dapat dilihat oleh rakan anda. Nama sebenar untuk akaun kanak-kanak tidak akan dapat dilihat oleh rakan, termasuk sebelum iOS 10.

Berkomunikasi dengan Anda

Apple mungkin menggunakan maklumat tentang akaun anda, seperti produk Apple yang anda miliki dan langganan anda kepada perkhidmatan Apple, untuk berkomunikasi dengan anda tentang Game Center dan produk, perkhidmatan, serta tawaran lain Apple yang mungkin menarik minat anda. Apple juga mungkin menggunakan maklumat tentang aktiviti anda dalam Game Center untuk menghantar e‑mel dan pemberitahuan push kepada anda tentang ciri, kandungan dan tawaran baharu yang tersedia dalam Game Center. Anda boleh menukar keutamaan e-mel anda dan menarik diri daripada menerima e-mel ini dengan pergi ke appleid.apple.com/my. Untuk mengemas kini keutamaan pemberitahuan anda pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > Pemberitahuan > Game Center. Apple menggunakan maklumat tentang interaksi anda dengan komunikasi kami, termasuk pemberitahuan, untuk meningkatkan perkhidmatan kami.

Pembangun Pihak Ketiga

Apabila anda didaftar masuk ke Game Center, pembangun permainan yang anda main boleh meminta maklumat tentang anda, termasuklah nama panggilan, avatar dan pengecam Game Center unik lain. Pembangun juga boleh meminta senarai pemain berkaitan, termasuk rakan anda dan pemain yang bermain dengan anda baru-baru ini, yang termasuk nama panggilan dan avatar. Jika anda memilih untuk membenarkan app menghubungkan anda dengan rakan, app tersebut boleh mengakses senarai rakan anda yang turut bermain permainan ini. Hanya rakan yang juga telah bersetuju untuk membenarkan app ini berhubung dengan rakan mereka akan kelihatan kepada app sebagai rakan anda. Anda juga boleh memilih untuk tidak membenarkan sebarang app menghubungkan anda dengan rakan pada bila-bila masa. Untuk berbuat demikian pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > Game Center > Berhubung dengan Rakan dan ketik untuk menyahaktifkan Berhubung dengan Rakan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Game Center dan klik untuk menyahaktifkan “Berhubung dengan rakan”. Ini menghalang app daripada bertanya sama ada app tersebut boleh menghubungkan anda dengan rakan Game Center anda dan akan berhenti berkongsi senarai rakan anda dengan app yang dibenarkan sebelum ini. Setiap kali anda menggunakan app pihak ketiga, anda patut menyemak syarat, dasar privasi dan amalan pembangun untuk memahami cara mereka mengumpul dan menggunakan data anda.

Kanak-kanak dalam Game Center

Untuk kanak-kanak dalam Keluarga anda yang menggunakan Game Center, anda boleh menggunakan Pengehadan Kandungan & Privasi dalam Masa Skrin untuk mengehadkan masa yang diluangkan dalam app khusus dan menyekat ciri Game Center pada peranti anak anda, termasuk kefungsian berbilang pemain, keupayaan untuk menambah rakan dan keupayaan untuk berhubung dengan rakan yang bermain permainan yang sama. Untuk melakukan ini pada peranti iOS, iPadOS atau visionOS anda, pergi ke Seting > Masa Skrin > Pengehadan Kandungan & Privasi > Pengehadan Kandungan. Pada Mac, pergi ke Seting Sistem > Masa Skrin > Kandungan & Privasi. Pada tvOS, pergi ke Seting > Umum > Pengehadan. Selain itu, apabila berkomunikasi dengan pemain lain dalam Game Center, kanak-kanak tidak boleh menghantar atau menerima teks yang dimasukkan pengguna. Mereka dihadkan untuk menghantar dan menerima mesej praset. Perbualan suara dalam permainan dinyahdayakan untuk kanak-kanak.

Asas Undang-undang yang Berkenaan untuk Pemprosesan Data Peribadi

Kami memproses data peribadi anda dalam Game Center berdasarkan persetujuan anda dan mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami. Jika dibenarkan undang-undang tempatan yang berkenaan, kami memproses kategori data peribadi berikut mengikut keperluan untuk tujuan kepentingan sah kami:

  • Penggunaan Game Center oleh anda, termasuk permainan yang anda main dan aktiviti permainan anda
  • Nama panggilan, avatar, status langganan Arcade, skor dan maklumat aktiviti lain anda
  • Rakan Game Center anda, pemain yang bermain dengan anda dan masa anda bermain bersama

Kepentingan sah ini termasuk:

  • Mengoptimumkan dan meningkatkan Game Center untuk anda dan orang lain
  • Menghantar komunikasi kepada anda tentang Game Center dan produk, perkhidmatan, serta tawaran lain berkaitan Apple yang mungkin menarik minat anda
  • Mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain

Pengekalan

Game Center mengekalkan maklumat yang dikumpulkan tentang anda selagi anda mengekalkan Apple ID yang berkaitan dengan akaun Game Center anda.

Mencegah Penipuan dan Aktiviti Berniat Jahat Lain

Kami mengumpulkan data peribadi untuk mencegah penipuan dan aktiviti berniat jahat lain dalam Game Center serta app dan perkhidmatan Apple yang lain. Maklumat ini termasuk maklumat peranti, seperti jenis peranti dan versi perisian, maklumat lokasi (jika tersedia), sejarah muat turun dan pembelian serta interaksi lain dengan Game Center dan app serta perkhidmatan yang lain.

Pada setiap masa, maklumat yang dikumpulkan oleh Apple akan dikendalikan berpandukan Dasar Privasi Apple, yang boleh didapati di www.apple.com/my/privacy

Tarikh Terbitan: 5 Mac 2024